Berita Auto

BMW Motorrad Malaysia Perkenalkan BMW S 1000 XR dan BMW R 1200 RS Baharu.

BMW Motorrad Malaysia hari ini memperkenalkan BMW S 1000 XR dan BMW R 1200 RS baharu yang bakal menetapkan penanda aras baru untuk motosikal sports, touring dan adventure di negara ini.

Sebagai model keempat dalam rangkaian motosikal berprestatasi tinggi BMW Motorrad yang dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris, BMW S 1000 XR dibina di atas gabungan unik teknologi inovatif, prestasi dan keselamatan yang diwarisi daripada model-model terdahulu. Jentera itu kemudian membawa aspek tersebut ke tahap seterusnya apabila menawarkan karakteristik-karakteristik utama berkenaan ke dalam satu segmen baharu yang dikenali sebagai “Adventure Sport”. Motosikal “Adventure Sport” dikatakan memiliki kualiti jentera touring yang dinamik, prestasi sporty, tahap keselesaan yang tinggi dan sesuai untuk kegunaan pada setiap hari.

“Tampil tersendiri sebagai sebuah jentera crossover, BMW S 1000 XR baharu menggabungkan keupayaan touring sebuah model GS dengan karakteristik supersport RR yang sudah menjadi signatur BMW Motorrad. Kami yakin bahawa BMW S 1000 XR baharu mampu memenuhi keperluan ramai peminat tegar motosikal di sini yang mahukan gabungan prestasi dinamik sebuah jentera sports, versatiliti motosikal enduro dan keselesaan model touring,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Alan Harris.

Sementara itu, BMW R 1200 RS pula membawa jentera sports touring ke satu tahap baru dan benar-benar mengujakan. Dikuasakan oleh enjin boxer berkembar (flat-twin)  yang telah berjaya menyerlahkan kualiti serba boleh model konsep asal BMW RS sejak 40 tahun hingga ke zaman moden ini, BMW R 1200 RS ialah sebuah motosikal yang sesuai untuk perjalanan jauh dan tunggangan sporty.

“BMW R 1200 RS baharu menambah keupayaan baru kepada tradisi hebat motosikal sports tourer daripada BMW Motorrad. Ketika ia menjadi wakil klasik untuk segmen sports tourer, RS baharu juga menawarkan gabungan kelincahan dan dinamik sebuah mesin sports boxer BMW. Ia merupakan satu pilihan terbaik untuk pengalaman tunggangan yang dinamik dan selesa. Daripada perjalanan jauh di atas lebuh raya sehinggalah tungangan sporty di laluan yang bengkang-bengkok,” tambah Harris.

BMW Group Malaysia yakin dengan pengenalan BMW S 1000 XR dan BMW R 1000 RS baharu, prestasi pengeluar kenderaan premium itu di pasaran Malaysia akan terus berkembang. Jelas Harris, “Kami bangga untuk mengumumkan bahawa lebih 600 unit motosikal BMW Motorrad telah diserahkan kepada pelanggan sehingga Julai 2015. Angka itu mengatasi 581 unit BMW Motorrad yang diserahkan sepanjang tahun 2014. Melalui pengenalan dua motosikal premium baharu yang mampu memenuhi keperluan segmen pelanggan lebih luas ini, saya yakin BMW Group Malaysia akan terus berkembang, sekali gus mengikut jejak langkah rakan-rakan kami di peringkat global.”

BMW 04

BMW S 1000 XR

BMW S 1000 XR baharu: kesempurnaan jentera adventure sports.

Selepas memperkenalkan model superbike BMW S 1000 RR, BMW HP4 dan roadster BMW S 1000 R, BMW Motorrad kini mengetengahkan pula model keempat dalam rangkaian motosikal berprestasi tinggi yang dijana oleh unit enjin empat silinder sebaris.

Karekter yang menyerlah, tarikan emosional dan versatiliti BMW S 1000 XR baharu diperagakan pada reka bentuknya yang mengagumkan. Rekaan bahagian luarannya yang begitu kontras dan berarca menyerlahkan wajah dinamik motosikal tersebut. Manakala lapisan strukturnya membolehkan aspek kelenturan plastik dan tiga dimensi pada bahagian fairing.  Bahagian sisi fairing yang bersimetri menjelaskan hubungannya dengan jentera segmen sports. Manakala garis-garis tajamnya pula menggambarkan keringanan dan kelincahan BMW S 1000 XR baharu.

Rekaan dinamik dan ketelitian terhadap perincian pada motosikal adventure sports pertama BMW itu boleh dikenal pasti dengan mudah menerusi reka bentuk tidak simetri lampu utama yang diletakkan di dalam perumah berbentuk simetri. Lampu utama berkembar dengan gaya dinamik itu memancarkan cahaya yang tidak simetrikal. Ia bukan sahaja menawarkan cahaya lampu yang berkuasa dan iluminasi optimum ke atas jalan di hadapan, malah memberikan BMW S 1000 XR wajah yang mudah untuk dikenali. Motosikal adventure sport baharu itu juga boleh ditambah dengan pilihan lampu nyalaan siang (DRL) LED yang diletakkan di tengah-tengah unit lampu utama.

Corong pengambilan udara pada bahagian tengah (hadapan) menyerlahkan kembali rekaan “split face” yang menjadi tanda dagang model RR, sekali gus menjelaskan pengaruh supersport. Sementara rekaan bahagian belakang yang nipis, ringan, pendek dan bergaya pula mewakili gambaran visual  BMW S 1000 XR yang lincah dan stabil. Bahagian belakang jentera ini memiliki rekaan yang nipis dan kompak, bersama pemegang nombor plat baharu. Bahagian hujung peredam bunyi berbentuk pentagon menawarkan sudut yang tinggi. Ia bukan sahaja membolehkan penunggang memasang kotak penyimpanan barang pada bahagian sisi, malah dapat menyediakan tapak kotak belakang untuk kapasiti mengangkut beban yang mengagumkan.

Aspek sofistikasi dan teknikal telah ditambah pada BMW S 1000 XR baharu. Ini dapat dilihat dengan jelas menerusi yok yang direka mewah dan disalut dengan manik kaca. Bar pemegang aluminium yang tirus itu menggabungkan rasa kawalan optimum dan mantap dalam bentuk yang elegan. Perincian seterusnya dapat dilihat pada bahagian keliling tangki minyak yang kontras dan berarca. Penutup tangki pula terdiri daripada dua komponen iaitu permukaan bergetah pada tukup pengisi dan bahagian rentangnya. Perehat kaki yang ditempa untuk penunggang dan pembonceng jelas menunjukkan ia adalah hasil pengilangan yang sofistikated serta dihasilkan dengan cukup teliti.

Rekaan dinamik BMW S 1000 XR diserlahkan lagi menerusi aspek ergonomiknya yang sempurna – satu tradisi penting dalam reka bentuk motosikal BMW. Dengan lekuk pada bahagian lulut serta rekaan segi tiga yang ergonomik melibatkan perehat kaki, tempat duduk dan bar pemegang, motosikal ini menawarkan pengendalian yang jitu dan lincah kepada penunggang bertubuh rendah atau tinggi.

Teknologi terkini pada motosikal adventure sport baharu ini tidak mengabaikan aspek gaya dan fungsi. BMW S 1000 XR baharu mendefinisikan semula spektrum prestasi, bermula daripada gaya tunggangan adventure, sport kepada touring menerusi gayanya yang tersendiri dan mempersonakan. Jentera adventure sport baharu ini dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris, sama dengan unit enjin DOHC yang menggerakkan model roadster BMW S 1000 R. Ia memiliki nisbah lejang/gerek 49.7 hingga 80mm, selain menggunakan rangkaian injap bersama lengan jumpelang (rocker arms) tunggal yang kecil dan ringan. Dengan gabungan aci sesondol pacuan rantai yang digerakkan oleh gegancu pendek, kestabilan rpm maksimum dan pemasaan injap yang tepat dapat dicapai.  Gabungan formasi yang berterusan disediakan oleh pemancit bahan api pada silinder tertentu yang beroperasi secara berjujukan sepenuhnya bersama dua unit pemancit untuk setiap silinder.

Biarpun begitu, demi memastikan silinder dapat berfungsi secara optimum pada kelajuan enjin yang rendah dan sederhana, susunan port kepala silinder telah diubah suai  dan lengkuk daya angkat injap pun dinilai semula. Kelajuan rev diturunkan sekitar 2,000rpm. Motosikal ini juga menggunakan sistem pengurusan enjin terkini, sekali gus membuka jalan kepada aplikasi sistem ride-by-wire E-Gas sepenuhnya.

Enjin bersesaran 999cc sebaris ini mampu menghasilkan kuasa maksimum 160hp dan tork mencecah 112Nm. Untuk memberikan maklum balas segera pada rev enjin yang rendah dan sederhana, enjin dengan sistem penyejukan cecair ini memiliki kuasa tork yang banyak dan boleh digunakan secara serta-merta. Situasi ini menawarkan kuasa tarikan dan pecutan mengujakan bersama kuasa yang tinggi serta julat rev yang boleh digunakan sehingga 10,000rpm. Menerusi pilihan Gear Shift Assist Pro, penunggang tidak perlu menukar gear dengan kerap jika ingin mengadaptasi gaya tunggangan sporty atau sekadar mengharung perjalanan yang jauh dengan BMW S 1000 XR baharu.

Satu lagi ciri penting motosikal adventure sports baharu ini ialah sistem ekzos tahan karat berkualiti tinggi. Turut melibatkan satu peredam bunyi berbentuk pentagon pada bahagian belakang, ia membolehkan BMW S 1000 XR baharu untuk mematuhi garis panduan emisi dan bunyi bising paling ketat tanpa perlu mengorbankan aspek tujahan kuasanya.

Jentera adventure sports baharu ini hadir bersama dua mode tunggangan iaitu “Rain” dan “Road”.  Automatic Stability Control (ASC) pula didatangkan sebagai satu ciri standard. Ciri-ciri ini membolehkan BMW S 1000 XR baharu untuk memenuhi keperluan individu, pada masa yang sama menawarkan tahap keselamatan tunggangan yang tinggi. Dengan sistem ABS sebagai ciri standard, ASC turut meningkatkan tahap keselamatan BMW S 1000 XR, terutama ketika menunggang di atas permukaan jalan yang tidak rata.

Untuk prestasi yang lebih sporty, BMW S 1000 XR baharu boleh dipasang dengan pilihan tunggangan Pro yang menambah dua lagi mode tunggangan iaitu “Dynamic” dan “Dynamic Pro”, ciri Dynamic Traction Control (DTC) serta sistem standard ASC. Dengan menggunakan satu kotak alat pengesan, sistem kawalan cengkaman ini menawarkan maklum balas yang lebih sensitif bagi membolehkan penunggang memecut dengan lebih selamat terutama ketika berada pada posisi mengiring atau mengambil selekoh. Mode tunggangan ini boleh dipilih dengan hanya menekan satu butang. Apa yang perlu penunggang lakukan adalah tidak memulas pendikit, kemudian pilih mode yang ingin diaktifkan.

BMW S 1000 XR baharu juga didatangkan dengan fungsi ABS Pro yang kini lebih maju dan membuatkan membrek ketika mengambil selekoh menjadi lebih selamat. Dalam situasi sebegini, ABS Pro menghalang roda daripada terkunci, walaupun brek ditarik dengan kuat. Ini akan mengurangkan berlakunya perubahan mendadak pada daya stereng terutama ketika penunggang membrek secara mengejut kerana panik. Ia berfungsi dengan mengubah suai kawalan ABS berdasarkan kepada sudut kecondongan semasa motosikal.

Bagaimanapun corak tunggangan anda, chasis yang baru dibangunkan untuk BMW S 1000 XR baharu itu direka untuk memenuhi gaya tunggangan yang sporty, selesa dan jarak jauh (touring). Sama seperti enjinnya, chasis motosikal  sports adventure baharu ini turut berasaskan kepada prinsip-prinstp reka bentuk yang sudah pun menjadi karakter kepada model-model superbike seperti RR, HP4 dan roadster BMW S 1000 R.

Chasis ini dibina menggunakan kerangka perimeter yang baru dibangunkan. Diperbuat daripada aluminium yang dipateri bersama empat bahagian – kepala stereng, enjin, cagak lengan ayun dan dua bahagian sisi.  Kerangka belakang diperbuat daripada aluminium yang kukuh bersama profail berbentuk pentagon. Ia bagi memberikan motosikal adventure sports ini kapasiti membawa beban yang lebih baik bagi tujuan perjalanan jauh. Kedudukan roda belakang pula diletakkan pada lengan ayun di kedua-dua belah sisi yang baru dibangunkan dan dipateri bersama dengan bahagian aluminium-aloi.

Dengan berat 228kg apabila tangki minyak dipenuhkan, sedikit perubahan pada geometri chasis telah dibuat untuk memenuhi keperluan sebuah motosikal adventure sports. Sebagai contoh, sudut castor 65.4 darjah adalah 0.8 darjah lebih condong berbanding model BMW S 1000 R. Manakala castor roda pula adalah 117mm, 18.5mm lebih panjang berbanding model roadster. Lengan ayun belakang dipanjangkan sebanyak 65mm menjadi 670mm dan tapak rodanya adalah 1,548mm. Semua ini bertujuan memberikan cengkaman terbaik dan pengendalian yang stabil untuk tunggangan sporty di laluan-laluan pinggir bandar. Ia juga akan memberi kestabilan apabila menunggang di atas lebuh raya pada kelajuan tinggi, biarpun ketika membawa pembonceng dan beg bersama-sama.

Roda hadapan BMW S 1000 XR baharu dilengkapi dengan fork terbalik yang hadir bersama ciri kemasukan katrij pada bahagian dalamnya. Ini membolehkan tahap lantunan dan tekanan redaman diubah suai. Jarak keseluruhan pergerakan gegelung adalah 150mm. Sementara redaman suspensi belakang adalah 140mm apabila topang gegelung tengah dengan gegelung pra-regangan dan peredam lantunan boleh ubah digunakan.

Kualiti suspensi  BMW S 1000 XR baharu boleh ditingkatkan lagi dengan sistem suspensi yang dikawal secara elektronik generasi terbaharu, Dynamic ESA (Electronic Suspension Adjustment). Suspensi ini mampu menawarkan tahap keselamatan, prestasi dan keselesaan yang tiada tandingan. Ini kerana peredam tersebut akan mengadaptasi kondisi permukaan jalan secara automatik untuk disesuaikan dengan corak tunggangan dan selekoh yang dilalui. Selain Dynamic ESA, motosikal adventure sports baharu ini juga ditawarkan dengan chasis yang direndahkan. Ini bagi membolehkannya dapat dikendalikan dengan lebih mudah oleh penunggang yang rendah. Tetapan ini menyaksikan pergerakan gegelung hadapan 120mm dan 110mm di belakang.

Reka bentuk sporty dan karakter dinamik BMW S 1000 XR baharu turut diserlahkan melalui rekaan rimnya. Rim aluminium 10 jejari yang bergaya dan dinamik itu sama seperti rim pada model BMW S 1000 RR dengan saiz tayar 120/70 ZR 17 di hadapan dan 190/55 ZR 17 di belakang. Untuk menyerlahkan rekaan yang paling ringan, cakera brek pada motosikal adventure sports baharu ini tidak dipasang dengan cagak berbeza. Sebaliknya, bahagian hab roda telah direka khas untuk membolehkan brek cakera dipasang secara langsung.

Sama seperti semua motosikal BMW Motorrad, sistem brek yang mantap, stabil dan selamat ini terdiri daripada dua brek cakera bersama dua radial angkup empat omboh serta dua cakera besi bersaiz 320mm untuk roda hadapannya. Brek roda belakang pula terdiri daripada brek cakera tunggal dengan angkup omboh berkembar yang dikawal secara hidraulik. Brek cakera itu bersaiz 265mm dan menggunakan wayar brek yang dibalut besi untuk memberikan kuasa membrek yang optimum apabila tuil tangan ditarik.

Beralih ke bahagian kokpit motosikal adventure sport ini, anda akan mendapati sebuah paparan LCD yang besar dan mudah dibaca bersama satu meter rev pada kluster instrumen. Selain kedudukan gear, paparan itu juga memaparkan mode tunggangan yang sedang digunakan. Penunggang boleh menukar mode tunggangan itu dengan mudah melalui butang kawalan pada bar pemegang sebelah kanan, walaupun sedang bergerak dan pendikit minyak tidak dipulas. BMW S 1000 XR baharu juga memenuhi keperluan spesifik untuk perjalanan jauh apabila menyediakan satu soket kuasa 12V pada bahagian kokpitnya.

Bagi menyempurnakan karekter adventure sport BWM S 1000 XR baharu yang penuh kuasa, dua skim warna ditawarkan – merah (Racing Red), skim warna sporty dengan grafik tersendiri; warna putih (Light White) yang tampil dengan kombinasi warna hitam/merah pada grafiknya.

BMW 05

BMW R 1200 RS.

BMW R 1200 RS baharu: dimensi baru jentera sports touring.

Pada tahun 1976, BMW Motorrad memperkenalkan genre motosikal sports tourer menerusi model BMW R 100 RS. Ia merupakan motosikal yang dikeluarkan secara massa di dunia yang dilengkapi fairing penuh yang dibangunkan di dalam terowong angin. Selain menawarkan gabungan terbaik dari segi kemampuan tunggangan yang sporty dan jarak jauh, BMW 100 RS juga meningkatkan reputasi model lagenda motosikal produksi RS daripada BMW Motorrad yang telah dinikmatinya sejak sekian lama.

Dengan kehadiran BMW R 1200 RS baharu, BMW Motorrad dilihat akan meneruskan tradisi ini sebaik mungkin apabila memperkenalkan sebuah jentera sports tourer baharu. Ia dikuasakan oleh enjin flat-twin yang terbukti berjaya menyerlahkan semua kualiti konsep asal BMW RS ke dalam dunia moden bersama impak yang luar biasa. Sama ada menunggang di laluan sempit, menguji prestasi dinamiknya atau pergi bercuti ke destinasi yang jauh, BMW R 1200 RS baharu sememangnya membawa jentera sports touring ke satu tahap baru yang lebih mengujakan.

BMW R 1200 RS baharu ialah wakil klasik dalam segmen sports tourer. Ia dilihat berjaya menyatukan semua kualiti dan keselesaan jentera touring dengan kelicahan serta dinamik sebuah mesin boxer sports BMW. Perkadaran separuh fairing yang sempurna bersama bahagian hadapan yang rendah dan bahagian ekor yang kelihatan seperti terjuntai itu memberikan jentera ini bentuk seperti baji yang panjang serta dinamik.  Gayaannya yang kompak, berkuasa dan aerodinamik itu menjanjikan pengalaman tunggangan yang lincah serta dinamik. Bersama kualiti jentera touring dan tunggangan untuk jarak jauh.

Jika dilihat dari sudut mana sekali pun, RS baharu jelas menunjukkan keseronokan menunggang – saiznya yang pendek, bahagian belakang tinggi, tangki berbentuk maskular, serta bahagian hadapan yang kompak dan rendah membuatkan jentera sport tourer ini kelihatan seperti sentiasa ingin mara ke hadapan, biarpun ketika sedang berhenti. Bahagian atas fairing hadapan memang menyerlah dengan penampilan yang lebih atletik. Wajah itu kemudian diserlahkan lagi dengan komponen-komponen berwarna hitam yang membuatkan motosikal ini kelihatan lebih kurus dan ringan.

Bukan itu sahaja, jurang dan bukaan direka dengan tepat agar dapat selari dengan rekaan separuh fairing yang aerodinamik. Ini bagi memberikan RS baharu rasa yang sangat ringan dan mudah untuk dikendalikan. Setiap permukaan juga dihasilkan dengan begitu teliti. Ia dapat dilihat dengan jelas pada bahagian sayap lawi (winglet) yang direka untuk mengalihkan aliran udara ke bahagian pinggang penunggang. Warna yang kontras pada bahagian atas fairing pula membuatkan jentera sports tourer ini terasa ringan dan lincah.

Wajah BMW R 1200 RS baharu dibentuk oleh lampu utama berkembar yang dinamik dengan bentuk yang simetri, sama seperti model-model touring BMW Motorrad. Sementara reflektor-reflektor pula memiliki bentuk tidak simetri seperti motosikal sports BMW Motorrad. Sebuah lampu nyalaan siang (DRL) LED (opsyen) diletakkan di antara dua lampu utama dalam perumah plastik berwarna hitam.

BMW R 1200 RS baharu jelas menunjukkan kuasa, dinamik dan keselesaan – biarpun dilihat dari arah belakang. Dua jalur berbenntuk C digabungkan menjadi ekor yang nipis dan membentuk lampu belakang. Manakala peredam berbentuk pentagon itu menggambarkan maklum balas jentera sports tourer ini yang mengagumkan.  Ekor motosikal ini dipasang dengan hendal pemegang untuk pembonceng dan tempat meletak nombor plat yang bergaya. Ruang meletak beg tambahan nyata meningkatkan kemampuan touring model RS baharu ini.

BMW R 1200 RS baharu juga mewarisi semua kualiti asal model motosikal produksi RS sejak 40 tahun lalu. Dengan enjin boxer flat twin, enjin DOHC sama yang menggerakkan model BMW R 1200 GS, BMW R 1200 GS Adventure dan BMW R 1200 RT baharu, ia mampu menghasilkan kuasa maksimum 125hp dan tork mencecah 125Nm. Kualiti enjin boxer itu nyata menyerlah menerusi dua unit overhead aci sesondol yang menawarkan penghantaran kuasa tork yang seragam, julat rev yang luas serta kuasa tujahan dinamik.  Lebih 100Nm kuasa tork boleh diperoleh pada bila-bila masa sepanjang julat rev. Ia hasil daripada kotak udara yang telah diubah suai dan peredam belakang baharu. Malah, jumlah tork pada rev rendahnya adalah lebih tinggi berbanding varian BMW R 1200 GS, GS Adventure dan RT baharu.

Enjin boxer bersesaran 1,170cc dilengkapi sistem penyejukan udara/cecair dengan larutan air/glycol bertindak sebagai agen penyejukannya. Ini bagi memastikan haba dihilangkan dengan lebih efisien dan suhu yang stabil. Ia juga memastikan hanya komponen-komponen enjin yang  terdedah kepada haba sahaja yang akan disejukkan. Aliran menegak menerusi kepala silinder pula membolehkan pengecasan yang optimum. Kotak gear enam kelajuan dengan klac basah, bersama fungsi anti-alih dan kuasa operasi yang rendah disepadukan ke dalam perumah enjin.

Pacuan sekunder digerakkan melalui aci kardan yang tidak perlu diselenggara dan diletakkan pada bahagian kiri motosikal ini. Bahagian kanan RS baharu ini pula menempatkan sistem ekzos 2 dalam 1 bersama injap kawalan ekzos. Kotak udara yang direka semula, snorkel pengambilan udara dan radiator kompak yang diletakkan pada bahagian tengah membolehkan pelbagai elemen dipakejkan sekali, akhirnya memberikan siluet bahagian hadapan yang kemas.

Sebagai sebuah jentera sports tourer yang dibangunkan untuk memenuhi keperluan ramai peminat tegar motosikal yang mahukan tunggangan sporty, selesa dan boleh ditunggang dalam jarak jauh, BMW R 1200 RS baharu dibina menggunakan chasis yang baru. Kerangka tiub besi, merangkumi enjin flat-twin yang bertindak sebagai elemen yang mampu berdiri sendiri dibina khas untuk jentera ini. Kerangka belakang dengan perehat kaki yang ditempa untuk penunggang dan pembonceng jelas membuktikan kualiti utama BMW R 1200 RS baharu – tunggangan yang sporty dan dinamik.

RS baharu juga menjanjikan pengendalian yang ringan, tepat dan sangat stabil. Aspek ini dijelaskan menerusi sudut kepala stereng 62.3 dan castor roda 114.8mm. Di samping agihan berat yang seimbang iaitu 51:49 dan tapak roda sepanjang 1,530mm.

Roda hadapan jentera sports tourer baharu ini dilengkapi fork teleskopik terbalik yang terbaik dalam kelasnya dengan sanchions 45mm. Ia mampu menyediakan asas untuk brek yang mantap dan tunggangan yang tepat. Sistem suspensi itu juga menawarkan maklum balas yang jelas daripada roda hadapan, dengan jarak pergerakan gegelung 140mm. Roda belakang pula menggunakan lengan ayun sebelah EVO Paralevel yang sudah terbukti keberkesanannya. Suspensi dan redaman roda menggunakan gegelung topang pada bahagian tengah. Dengan hanya menggunakan tangan, gegelung pra-bebenan boleh diubah suai secara hidraulik. Lantunan redaman juga boleh diubah suai mengikut keperluan.

Versatiliti BMW R 1200 RS baharu boleh ditingkatkan lagi dengan dua mode tunggangan iaitu “Rain” dan “Road”. Di samping Automatic Stability Control (ASC) dan sistem brek ABS yang merupakan ciri standard. Semua ciri tersebut nyata meningkatkan corak penggunaan dan keselamatan jentera sports tourer ini. Penunggang juga boleh menambah mode tunggangan “Dynamic” dan “User” bersama ciri Riding mode Pro yang merangkumi sistem Dynamic Traction Control (DTC) dan ABS.

Pengalaman tunggangan BMW R 1200 RS baharu yang dinamik boleh ditingkatkan jika penunggang memilih suspensi elektornik BMW Motorrad Dynamic ESA (Electronic Suspension Adjustment) generasi terbaru. Dengan Dynamic ESA (Electronic Suspension Adjustment), jentera sports tourer itu mampu menawarkan tahap keselamatan, prestasi dan keselesaan yang terbaik kerana peredam ini akan mengadaptasi kondisi permukaan jalan secara automatik untuk disesuaikan dengan situasi tunggangan. Sebagai contoh, ketika berada dalam talaan “Road”, Dynamic ESA menawarkan tahap redaman yang sesuai pada apa jua situasi tunggangan atau beban yang dibawa. Walaupun talaan redaman Dynamic ESA berada pada mode “Road” sebagai konfigurasi standardnya, penunggang bagaimanapun boleh beralih kepada pemetaan redaman “Dynamic” dengan mudah ketika sedang menunggang. Mereka hanya perlu menekan butang pada bar hendal untuk mengaktifkan talaan redaman yang lebih keras.

Perubahan talaan Dynamic ESA dapat dilakukan dalam tempoh mili saat sahaja oleh injap yang dikawal secara elektrik, biarpun ketika motosikal berada pada kedudukan mengiring. Ciri ini membolehkan penunggang menikmati tahap redaman yang selesa dan karekter kestabilan pengendalian luar biasa.  Sudah tentu, dinamik tunggangan BMW R 1200 RS baharu boleh ditingkatkan menerusi Gear Shift Assist Pro (opsyen) yang membolehkan penunggang memecut dengan lebih selamat. Dengan menggunakan kotak alat pengesan dan ciri pengesanan sudut mengiring, menurunkan dan menaikkan kedudukan gear boleh dibuat tanpa perlu menggunakan klac atau injap pendikit.

RS baharu juga dilengkapi sistem brek penuh kuasa untuk dipadankan dengan prestasinya. Sistem brek itu terdiri daripada dua brek cakera bersama dua radial angkup empat omboh serta cakera brek bersaiz 320mm untuk roda hadapannya. Sementara brek roda belakang pula dikawal oleh sistem brek cekra tunggal dengan angkup omboh berkembar.

Gayaan BMW R 1200 RS baharu yang ringan diserlahkan lagi dengan rim aluminium 10 jejari pada tayar hadapan dan belakang. Saiz tayar adalah 120/70 ZR 17 di hadapan dan 180/55 ZR 17 di belakang. Untuk mengurangkan lagi beratnya, roda hadapan dipasang dengan “hub cage”. Ini membolehkan cakera brek dipasang terus tanpa memerlukan komponen tambahan.

Melihat dengan lebih dekat, BMW R 1200 RS baharu dipasang dengan perehat kaki dan mempunyai posisi duduk yang memberikan pengendalian tepat dan sangat ergonomik, kualiti yang sememangnya cukup sinonim dengan BMW Motorrad. Tempat duduk ergonomik termaju membentuk asas terbaik untuk hubungan di antara penunggang dengan jentera. Ia juga menawarkan tunggangan yang tidak memenatkan, walaupun terpaksa menempuh perjalanan yang jauh. Tempat duduk yang berbeza dari segi ketinggian, reka bentuk dan keselesaan tersedia untuk tujuan naik taraf. Sekali gus memberi peluang kepada penunggang untuk memilih mengikut keselesaan masing-masing.

Bagi mengekalkan tujuan  asalnya sebagai sebuah motosikal untuk kegunaan di atas jalan raya biasa, model sports tourer baharu ini dilengkapi kluster instrumen pelbagai fungsi yang turut menampilkan satu speedometer analog. Satu paparan TFT pula menawarkan pelbagai maklumat kepada penunggang. Satu alat pengesan cahaya digunakan untuk mengubah suai tahap kecerahan cahaya di sekeliling secara automatik, serta boleh menukar rekaan untuk hari siang atau malam.  RS baharu juga hadir didatangkan dengan satu komputer sebagai satu ciri standard. Ia menawarkan pilihan tiga mode paparan – mode penuh Style 0, mode sporty Style 1 dan mode pelancong Style 2. Semua mode itu akan memaparkan maklumat berbeza berdasarkan kepada keperluan penunggang. Bagaimanapun, rangkaian maklumat tunggangan boleh ditambah dengan memasang komputer Pro sebagai salah satu ciri naik taraf.

Bagi melengkapkan lagi personaliti sports touring yang tersendiri dan penuh kuasa BMW R 1200 RS baharu, dua varian dengan gayaan berbeza ditawarkan. Varian asas menawarkan skim warna biru (Lupin Blue Metallic) atau kelabu (Light Grey Metallic). Sementara varian “Style 2” pula tampil dengan warna kelabu (Granite Grey Metallic Matt) atau hitam metalik (Black Storm Metallic).

Harga runcit di atas jalan, termasuk GST dan tanpa insurans untuk BMW S 1000 XR dan BMW R 1200 RS adalah seperti berikut:

BMW S 1000 XR – RM 112, 900.00

BMW R 1200 RS – RM 101, 900.00

Motosikal-motosikal baharu BMW Motorrad ini turut hadir bersama program pembiayaan khas selama empat tahun daripada BMW Credit Malaysia. Ia menawarkan pembelian BMW S 1000 XR dengan bayaran bulanan bermula RM1,588.00 dan BMW R 1200 RS bermula RM 1,488.00 sebulan.

BMW 06

Kedai pop-up ‘BMW Motorrad On Tour’ tidak lama lagi akan menjelajah di seluruh Malaysia.

Previous post

Thailand Akan Membina Kereta Sports Asia Tenggara Yang Pertama ?

Next post

BMW M4 GTS Disahkan

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *