Berita Auto

Mercedes-Benz C-Class Coupe Tiba Di Malaysia – Harga Dari RM308,888

Mercedes-Benz Malaysia hari ini memperkembangkan lagi barisan model mereka dengan pelancaran Mercedes-Benz C-Class Coupe baharu. Sedan dua pintu itu didatangkan dalam tiga varian – C200 Coupe, C250 Coupe dan juga C300 Coupe.

Mercedes-Benz C 300 Coupe (3)

Walaupun ketiga-tiga varian ini dikuasai enjin dua liter, empat-silinder yang sama, tahap kuasa bagi setiap satu adalah berlainan. C200 Coupe yang merupakan model asas dalam barisan ini mempunyai 184 hp dan 300 Nm, manakala varian C250 Coupe mempunyai kuasa sebanyak 211 hp dan tork 350 Nm. Sebagai varian yang paling berkuasa, C300 Coupe mendapat 245 hp dan 370 Nm.

Dari segi prestasi, C200 Coupe mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 7.3 saat dan mencapai kelajuan maksimum sehingga 235 km/j. C250 Coupe memerlukan 6.8 saat untuk mencapai 100 km/j dari pegun, manakala C300 Coupe mencapai kelajuan yang sama dalam hanya enam saat. Kedua-dua model ini mampu memecut sehingga 250 km/j.

Mercedes-Benz C 300 Coupe (11)

Kesemua varian C-Class Coupe dipadankan dengan transmisi automatik tujuh kelajuan 7G-Tronic Plus. Pemandu boleh menggunakan sistem Dynamic Select untuk memilih lima mod pemanduan yang ditawarkan: Eco, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual.

Reka bentuk C-Class Coupe tidak banyak berbeza jika dibandingkan dengan C-Class sedan, kecuali di bahagian belakang dimana model coupe ini kelihatan lebih bergaya. Ia juga mempunyai beltline yang rendah, pintu tidak berbingkai sertai cermin sisi free-standing. Kesemua elemen ini dipadankan dengan suspensi yang 15 mm lebih rendah serta rim AMG bersaiz 18 inci untuk C200 Coupe dan 19 inci untuk C250 Coupe dan C300 Coupe.

Mercedes-Benz C 300 Coupe (13)

Seperti model-model Mercedes-Benz yang lain, bahagian kabin C-Class Coupe dilengkapi ciri-ciri sporty yang diadun dengan material eksklusif seperti kulit dan microfibre. Selain itu, terdapat juga roda stereng pelbagai fungsi, pedal AMG, dan kemasan aluminium pada papan pemuka. Sistem multimedia bagi varian C200 Coupe dan C250 Coupe terdiri dari sistem Audio 20, Garmin MAP Pilot serta Touch Pad. C300 Coupe pula dipasang dengan sistem COMAND Online, Touch Pad, pemain DVD serta sistem bunyi Burmester.

Aspek keselematan pula diterajui oleh ciri-ciri seperti tujuh beg udara, ABS dengan EBD, Attention Assist, dan juga Collision Prevention Assist Plus yang merangkumi Adaptive Brake Assist.

Mercedes-Benz C 300 Coupe (5)

Mercedes-Benz C-Class Coupe serba baharu ditawarkan pada harga bermula dari RM308,888 untuk varian C200 Coupe, RM333,888 untuk C250 Coupe dan RM388,888 untuk C300 Coupe. Harga-harga yang disebut termasuk GST tanpa insurans.

Previous post

Volkswagen Vento Baharu - Harga Dari RM79,888

Next post

Volvo XC40 Akan Tiba Tidak Lama Lagi

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *