Motosikal / Lain Lain Roda

Yamaha 125ZR Dijual Lebih Mahal Dari Harga Yang Disyorkan

Walaupun dikeluarkan lebih 16 tahun lalu, motosikal dua-lejang Yamaha 125ZR masih lagi popular di kalangan mat motor di negara ini. Dengan harganya yang terus meningkat setiap tahun, ditambah pula dengan senarai menunggu yang selalunya panjang, motosikal ini selalunya dijual pada harga yang lebih mahal dari yang disyorkan pengeluar.

Hari ini kami mengenengahkan topik ini untuk menyatakan bahawa terdapat banyak kedai-kedai motosikal yang mengambil kesempatan atas kadar pengeluaran 125ZR yang rendah untuk menjualnya pada harga sekurang-kurangnya RM1,000 lebih mahal dari harga asal.

Yamaha 125ZR Brochure 01

Pemeriksaan kami di kedai-kedai motosikal sekitar Petaling Jaya, Shah Alam dan Jalan Ipoh mendapati bahawa model ini dijual dengan harga premium berbeza-beza dari RM1,000 hingga RM1,800. Seorang pemilik kedai berkata, “Tak mengapa kalau anda tak nak beli kerana ramai lagi yang sanggup membayar harga ini.” Kata-katanya ternyata benar apabila dua pelanggan datang masuk ke kedai dan terus bersetuju untuk membeli motosikal ini dengan harga tersebut.

Yamaha 125ZR edisi terkini didatangkan dengan tag harga jualan asas RM7,269 termasuk GST. Bagaimanapun, harga terendah yang kami temui adalah RM8,900 (harga atas jalan termasuk GST), bermakna harga premium yang dikenakan adalah melebihi 15%. Di internet pula, ada pihak yang menjual model ini pada harga RM9,800 selepas pendaftaran. Apabila kami menghubungi Hong Leong Yamaha Motor melalui pihak ketiga, respon yang diberi agak mengecewakan. Email yang dihantar kepada pengurus jualan serantau syarikat itu juga tidak berbalas.

Yamaha 125ZR Brochure 02

Ini membawa kami kepada persoalan; jika harga bawang dijual pada harga 10 sen lebih mahal, tindakan pantas pasti akan diambil pihak berkuasa yang sepatutnya. Namun, apakah perkara yang sama akan berlaku terhadap kedai-kedai motosikal yang mengambil kesempatan ini? Perbuatan ini jelas tidak adil terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah yang menggunakan motosikal sebagai pengangkutan utama.

 

Previous post

Produk Teknologi Bantu Anda Kurangkan Bil Bulanan

Next post

Nikmati Promosi Hari Raya Besar-Besaran Dari Mitsubishi Motors Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *