Perodua Bezza Dibuka Untuk Tempahan Mulai 16 Julai
Akhirnya, sedan pertama Perodua yang diberi nama ‘Bezza’ telah pun dibuka untuk tempahan di semua 181 pusat jualan di seluruh negara bermula 16 Julai ini. Sedan itu adalah kenderaan cekap tenaga (EEV) yang direka sepenuhnya oleh anak tempatan dengan sokongan dari Daihatsu Motor Company of Japan.
Menurut presiden dan CEO Perodua Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh, nama Bezza berasal dari perkataan ‘beza’ yang membawa maksud kelainan. Dua huruf ‘Z’ itu yang tampak seperti nombor 22 pula adalah bersempena 22 tahun syarikat itu beroperasi.
Ia ditawarkan dalam lima pilihan varian iaitu Standard G dengan enjin 1.0L automatik dan manual, Premium X 1.3L automatik dan manual dan Advance Version 1.3L dengan transmisi automatik. Model 1.0L dikuasakan enjin 1KR-VE engine dengan VVT-i manakala model 1.3L menerima enjin 1NR-VE dengan dwi VVT-i.
Bezza dengan enjin 1.0L boleh mencapai sehingga 22.8 km seliter untuk transmisi manual manakala versi automatik mampu mencapai 21.3 km seliter dengan pemanduan ECO. Model 1.3L pula boleh mencapai 21.7 km setiap liter manakala model Advance dengan Eco Idle System pula mampu pergi sehingga 22 km seliter. Ia dijangka mampu bergerak sejauh 792 km dengan tangki penuh.
Sistem Eco Idle akan mematikan enjin secara automatik jika kereta berada dalam keadaan melahu (idle) dan akan menghidupkannya kembali jika brek dilepas. Fungsi ini boleh dinyahaktifkan. Sementara itu, semua model 1.3L juga dilengkapi dengan butang penghidup enjin dan sistem ‘smart entry’ dengan kunci pintar.
Menurut Aminar lagi, Bezza direka berdasarkan maklum balas yang diterima dari responden dari dalam dan luar bandar. Oleh itu, ia mempunyai ruang kargo sebesar 508 liter dan tempat duduk boleh lipat 60:40 dalam 8 + 1 konfigurasi untuk memenuhi keperluan pelbagai gaya hidup.
Untuk sistem multimedia, model Advance mendapat ciri Smart Link yang menghubungkan kereta dengan telefon pintar Android. Aplikasi seperti Waze dan Google Maps juga boleh diakses menggunakan ciri ini. Penumpang boleh mengecas telefon dengan menggunakan USB yang terletak pada konsol tengah di belakang.
Ciri-ciri lain seperti antenna sirip jerung, ‘Remote Boot Release’, tingkap kuasa satu-sentuh dengan perlindungan kerosakan, sensor depan dan belakang, sensor undur, dan kamera undur juga disertakan.
Model Advance dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan termasuk Vehicle Stability Control (VSC), Brake Assist, Traction Control dan Hill Start Assist, melayakkannya untuk menerima rating lima bintang dalam ujian keselamatan ASEAN NCAP. Varian lagi juga dilengkapi dengan ABS, EBD dan ‘speed sensing wiper’ yang berubah mengikut kelajuan kenderaan.
Perodua Bezza didatangkan dalam pilihan enam warna, termasuk Lava Red, Ebony Black, Glittering Silver dan Solid Ivory White yang sedia ada dan warna metalik baru iaitu Sugar Brown dan Ocean Blue untuk model 1.3L. Harga akan diumumkan pada tarikh pelancarannya pada 21 Julai ini.
No Comment