Berita Auto

BMW 330e Plug-in Hybrid Tiba di Pasaran Malaysia – RM248,800

BMW Group Malaysia hari ini meraikan 100 tahun inovasinya pada acara BMW Innovation Days Malaysia 2016 dengan memperkenalkan model 330e baharu. Ia merupakan kenderaan hibrid dengan teknologi eDrive kedua yang dipasang di negara ini selepas X5 xDrive40e.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Mengekalkan reka bentuk luaran BMW 3 Series, 330e menyerlahkan sifat hibridnya melalui soket panel pengecas yang diposisikan di bahagian kiri hadapan, lencana “eDrive” ala BMW i serta rim aloi ringan jejari V bersaiz 18 inci dengan saiz tayar yang berbeza-beza. Lebih menarik lagi, lampu berwarna biru pada soket akan menyala sebaik sahaja proses mengecas bermula bagi menunjukkan aliran tenaga elektrik.

BMW 330e

Rangkaian hibridnya terdiri daripada enjin TwinPower Turbo bersesaran 2.0 liter empat silinder dan motor elektrik synchronous eDrive yang diintegrasikan bersama transmisi Steptronic lapan kelajuan.

Kuasa maksimum yang mampu dijananya ialah 252hp dan tork puncak 420Nm. Sementara gabungan penggunaan bahan apinya adalah sekitar 2.1 liter bagi setiap 100km dan pelepasan CO2 adalah pada kadar 49 gram per kilometer.

BMW 330e

Sementara itu, motor elektriknya menawarkan 88 hp dan mampu bergerak pada kelajuan maksimum 120km/j dengan kuasa elektrik sepenuhnya. Dari segi prestasi, 330e boleh mencatat pecutan dari 0 ke 100km/j dalam masa hanya 6.1 saat dengan kelajuan maksimum 255km/j.

Kawalan rangkaian kuasa boleh dikonfigurasi menerusi butang eDrive dan suis Driving Experience Control. eDrive menawarkan tiga mode pemanduan – Auto eDrive, Max eDrive dan Save Battery. Butang Driving Experience Control pula membolehkan konfigurasi dilakukan ke atas stereng, fungsi chasis dan karekter penukaran gear melalui mod Comfort, Sport atau Eco Pro.

BMW 330e

Selain itu, 330e juga dipasang dengan Head-Up Display, kamera undur dan bumbung kaca elektrik sebagai ciri standard. Ia juga didatangkan dengan ciri BMW ConnectedDrive yang merangkumi kemudahan-kemudahan seperti Navigation System Professional, Parking Assistant, Online Office,  Intelligent Emergency Call, Concierge Services, BMW Teleservices dan MyBMW Remote App.

Bateri 7.6 kWh itu pula boleh dicas melalui mana-mana soket kuasa domestik.  Caj penuh menggunakan soket konvensional akan mengambil masa selama lima jam. Manakala BMW Wallbox Pro, menawarkan tempoh pengecasan lebih pantas iaitu 3 jam setengah.

BMW 330e

Sebagai sebahagian daripada BMW 360° ELECTRIC, para pelanggan akan ditawarkan dengan perkhidmatan ChargeNow. Ia terdiri daripada sekeping kad ChargeNow yang menawarkan akses terus ke stesen-stesen pengecasan seperti ChargEV, hasil kerjasama di antara BMW Malaysia dan Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia). Stesen-stesen ChargEV kini beroperasi di 19 lokasi strategik di Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Melaka dan Johor.

BMW 330e didatangkan dalam warna hitam (Black Sapphire), kelabu (Mineral Grey), biru (Mediterranean Blue) dan putih (Alpine White) bersama uplshoteri kulit hitam (Dakota Black).

BMW 330e

Ia dijual pada harga RM248,800 iaitu  harga runcit (di atas jalan, tidak termasuk insurans bersama Jaminan Perbatuan Tanpa Had Selama Lima Tahun BMW Group Malaysia, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Jaminan Tayar BMW).

Previous post

Showroom Utama Volvo di Menara MBMR Dibuka

Next post

Chevrolet Cruze Sport Edition - Masihkah Anda Ingat?

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *