Berita Auto

Go Auto Tandatangani Perjanjian Dengan Fukuta Untuk Bina Kenderaan Elektrik

Go Automobile Manufacturing (Go Auto) telah memeterai perjanjian teknikal dengan Fukuta Electric & Machinery baru-baru ini bagi membangunkan ekosistem kenderaan elektrik (EV), sekaligus menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluar dan komponen EV di pasaran Asean.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Selaras dengan Dasar Automotif Negara (NAP), Malaysia telah menetapkan sasaran 1 juta jumlah jualan industri (TIV) menjelang 2020, di mana 10 peratus daripadanya ialah EV.

Penglibatan Go Auto dalam membangunkan EV dan komponen berteknologi tinggi adalah hasil daripada program STRIKE yang dianjurkan oleh MIGHT Technology Nurturing.

STRIKE adalah satu program bersepadu baharu dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-11 yang bertujuan membuka peluang kepada syarikat tempatan bagi memajukan industri teknologi hijau. Program itu memfokuskan kepada empat kluster utama iaitu Tenaga Boleh Diperbaharui (solar), Mobiliti Hijau, Bahan Bio-Degradasi dan Bandar Pintar. Go Auto mengetuai kluster Mobiliti Hijau semasa program STRIKE dijalankan memandangkan Go Auto adalah syarikat peneraju utama yang membangunkan ekosistem EV.

Majlis perjanjian Go Auto-Fukuta disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Go Auto, Dato’ SM Azli Tan Sri SM Nasimuddin Kamal bersama Pengarah Urusan Fukuta, Gordon Chang dalam lawatan kerja yang berlangsung pada 21 hingga 26 November 2016.

Turut serta di majlis perjanjian itu ialah Presiden Pusat Dagangan dan Persahabatan Malaysia-Taiwan, Datuk Adeline Leong dan Pengarah MIDA Taiwan, Nurullydia Ahmad, wakil Kerajaan dan Timbalan Menteri di Kementerian Hubungan Ekonomi Taiwan, Jong Chin Shen dan Dekan UNIKL, Profesor Abu Talib Othman bagi mengetuai Pembangunan Modal Insan dalam Teknologi Hijau. Pengarah Bahagian Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Dato’ Ir. Hj. Mohamad Dalib juga turut hadir. Beliau berperanan sebagai pemantau bagi memastikan Go Auto menepati syarat pematuhan yang ditetapkan JPJ.

Photo 3 (2)

“Antara objektif kerjasama kedua-dua pihak adalah membangunkan fasiliti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bagi sistem EV seperti pembuatan komponen ‘High Efficiency Power Motor ‘ dan sistem transmisi, termasuk fasiliti pengeluaran bagi tujuan pasaran tempatan dan eksport. Kolaborasi itu juga turut membabitkan pembinaan prototaip bas, teksi dan trak makanan EV.

“Fukuta memiliki pengalaman luas dalam industri EV membabitkan pembangunan ‘High Efficiency Power Motor’, pengeluaran peralatan tulen (OEM), dan pembuatan rekaan tulen (ODM). ‘High Efficiency Power Motor’ buatan Fukuta mendapat sijil pengiktirafan antarabangsa menerusi Pertubuhan Standard Antarabangsa (ISO) dan Sijil Penyiapan dan Pematuhan China (CCC) serta mendapat pengiktirafan CSA/C/US,” kata Azli.

Fukuta mula mengeluarkan kereta sport elektrik secara besar-besaran pada tahun 2007. Fukuta juga adalah penerima anugerah industri nasional pertama di Taiwan. Selain itu, ia turut bertanggungjawab membangunkan tren kuasa untuk model-model Tesla Motor. Selain Tesla Motor, pelanggan utama Fukuta ialah Luxgen dan Alta Motors. Kilang Fukuta berkeluasan 5,950 meter persegi dengan perolehan jualan sebanyak AS$40 juta (RM179 juta).

Selain ‘High Efficiency Power Motor ‘, Go Auto juga membangunkan komponen lain iaitu bateri EV dan sistem kawalan komunikasi (Telematics). Semua komponen itu akan dibangunkan oleh kumpulan vendor Go Auto di bawah program pembangunan vendor (PPV) anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Menerusi program tersebut, Go Auto bakal melahirkan banyak vendor baharu bagi mengeluarkan dan membekalkan komponen EV, seterusnya melahirkan lebih banyak peluang pekerjaan di dalam Mobiliti Hijau seperti yang diunjurkan di dalam program STRIKE.

Di dalam lawatan kerja yang sama, selain Fukuta, Go Auto juga memeterai perjanjian dengan Higer, iaitu syarikat pengeluar bas elektrik yang akan dipasarkan di Malaysia menjelang akhir 2017.

Tambah Azli lagi, rancangan pembangunan fasiliti dan pembangunan sedang berjalan lancar. Fasiliti yang bakal dibina dianggarkan mempunyai kapasiti pengeluaran pada peringkat permulaan sebanyak 10,000 unit setahun.

Previous post

DNC Asiatic Holdings Dilantik Pengedar MV Agusta di Malaysia

Next post

Pandu Kereta Secara Program Pajakan 'MyMotor SmartLease oleh MyEG'

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *