Honda City Facelift Dilancarkan di Malaysia
Honda City facelift telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia, sebulan selepas tempahannya dibuka. Kali ini, sedan segmen B itu ditawarkan dalam tiga varian – S, E dan V – dengan senarai kelengkapan standard yang lebih menyeluruh berbanding model terdahulu.
Namun begitu, tiada perubahan dari aspek mekanikal, di mana City baharu ini mengekalkan kombinasi enjin 1.5-liter i-VTEC dan transmisi CVT yang menghasilkan 120 PS pada 6,600 rpm dan 145 Nm tork pada 4,600 rpm. Penggunaan bahan api dikatakan berada pada tahap 5.7 liter bagi setiap 100 km, membolehkan ia mendapat pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).
Dari segi rekaan, City kini menampilkan muka hadapan ‘Solid Wing Face’ dengan lampu serta gril krom baru yang lebih menyerlah seperti Civic. Bahagian dalamannya pula kekal dengan prinsip ‘Man Maximum, Machine Minimum’ dengan ruang kargo sebesar 536 liter dan tempat duduk belakang yang boleh dilipat dalam konfigurasi 60:40.
Untuk varian tertinggi iaitu V, ia didatangkan standard dengan lampu depan LED dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan LED, lampu belakang LED serta spoiler ‘ducktail’ dengan lampu brek terbina LED.
Di dalam kabin, City varian V menampilkan tempat duduk kulit, stereng dan tombol gear kulit, paddle shifter, paparan audio bersaiz 6.8 inci dan kamera undur pelbagai sudut. Untuk perbandingan spesifikasi yang lebih jelas, sila rujuk jadual di bawah.
Bagi tahap keselamatan yang lebih tinggi, kesemua varian City kini didatangkan standard dengan Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS). Varian V mempunyai enam beg udara termasuk beg udara sisi dan tirai, manakala varian E dan S masing-masing mempunyai empat dan dua beg udara. Untuk itu, ia juga mendapat penarafan lima bintang daripada ASEAN NCAP.
Honda Malaysia berjaya mengekalkan harga City pada RM84,600 untuk varian E dan RM92,000 untuk varian V. Varian S pula dijual pada harga RM78,300, iaitu RM1,000 lebih rendah berbanding varian S+ sebelum ini walaupun mempunyai lebih banyak kelengkapan.
Terdapat lima warna yang disediakan iaitu perak (Lunar Silver Metallic), merah (Dark Ruby Red Pearl), putih (Taffeta White), kelabu (Modern Steel Metallic) dan hitam (Crystal Black Pearl). Untuk sentuhan lebih sporty dan individual, Honda Malaysia juga menawarkan pakej aksesori tulen pada harga bermula RM820.
Jaminan untuk City baru dikekalkan pada lima tahun dengan perbatuan tanpa had dan selang servis 10,000 km yang boleh dibuat di mana-mana 88 pengedar Honda di seluruh negara. Selain itu, Honda Malaysia akan memberi ganjaran kepada para pelanggannya, terutama pemilik City baru menerusi Promosi 3S (Jualan, Servis, Alat Ganti) di mana mereka boleh menikmati servis percuma (alat ganti dan buruh) selama dua tahun.
No Comment