Cuba Try

Pandu Uji: BMW 118i M Sport

Segmen kompak dilihat menjadi pilihan pelbagai jenis pembeli kenderaan – sama ada yang bujang dan baru bekerja, atau mereka yang berkeluarga yang inginkan kenderaan kedua. Bagi jenama premium, segmen ini menjadi ‘pintu masuk’ kepada mereka yang baru sahaja mempunyai kemampuan kerana harganya yang paling mampu milik berbanding model-model lain yang ditawarkan.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Di Malaysia, BMW menawarkan model 1 Series dalam versi 118i Sport dan 118i M Sport sebagai seteru utama kepada A-Class. Beza antara kedua-dua versi ini kebanyakkannya terletak pada aspek kelengkapan, di mana 118i M Sport – seperti yang jelas tertera pada namanya – didatangkan dengan pakej M Aerodinamics dan sistem suspensi M Sport.

BMW 118i M Sport Review 03

Berfungsi untuk menyerlahkan lagi gaya agresif 1 Series, pakej M Aerodinamics tersebut merangkumi kit badan (bumper hadapan dan belakang, dan skirt sisi) dengan logo ‘M’ di bahagian sisi dan rim aloi ringan ‘Style 461’ bersaiz 18 inci berwarna kelabu.

BMW 118i M Sport Review 11

Di bahagian kabin, tema sporty diteruskan dengan roda stereng ‘M’ yang dibalut kulit, sill pintu ‘M’, serta kemasan aluminium yang ditemani jalur biru matte yang merentasi papan pemuka. Tempat duduk pula dikemaskan dengan upholsteri kulit Dakota yang lembut dan empuk. Bentuk tempat duduk berergonomik memberi sokongan yang cukup ketika memandu, terutamanya ketika mengambil selekoh.

BMW 118i M Sport Review 18

Aspek teknikal 118i M Sport terdiri daripada enjin pengecas turbo dengan sesaran 1.5-liter tiga silinder yang turut digunakan pada model 318i serta MINI Cooper, Clubman dan Countryman. Ia menghasilkan 136 hp pada 4,400 rpm dan 220 Nm dari 1,250 hingga 4,300 rpm, disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi lapan kelajuan automatik.

BMW 118i M Sport Review 22

Ya, selari dengan slogan BMW iaitu ‘Sheer Driving Pleasure’ atau ‘Keseronokan Memandu Semata-mata’, 118i mengekalkan resipi pacuan roda belakang yang sinonim dengan pengendalian yang lebih lincah. Ditambah dengan spring yang lebih keras dan rendah sebanyak 10 mm, hatchback Munich ini ternyata gemar ‘didera’ di jalan-jalan berselekoh.

BMW 118i M Sport Review 16

118i mempunyai casis yang responsif dan peka dengan segala input dari stereng, membuatkan ia lebih terkawal walaupun dipandu secara agresif. Dari segi keselesaan, ia cukup bagus untuk kereta dengan rim 18 inci. Anda akan merasakan segala bentuk permukaan jalan dengan jelas namun hentakan dan gegaran yang terhasil semasa melalui jalan berlubang diserap dengan baik.

BMW 118i M Sport Review 20

Ada yang mengatakan enjin 1.5-liter agak kecil untuk menghasilkan prestasi bertenaga, apatah lagi ia hanya mempunyai tiga silinder berbanding empat pada pesaing terdekatnya. Tidak semestinya, kerana 118i mempunyai pecutan yang agak baik dengan tork terhasil seawal 1,250 rpm – bermakna anda tidak perlu menekan pendikit dengan agresif untuk membuatkan kereta ini memecut. Tambahan pula, selain Eco Pro, mod Sport juga disediakan sekiranya anda memerlukan lebih respon untuk pemanduan yang lebih bersemangat.

BMW 118i M Sport Review 08

Sudah tentu, ini dibantu oleh transmisi automatik konvensional yang dirasakan begitu cekap dan lancar pada masa yang sama. Semasa pemanduan yang lebih relaks dan bersahaja, ia menukar gear dengan lebih cepat untuk mengekalkan rpm pada tahap yang rendah namun jika pendikit ditekan agresif, unit keluaran ZF ini mempamerkan kemampuannya untuk menukar dari satu ke satu gear dengan begitu lancar.

BMW 118i M Sport Review 14

Secara ringkasnya, 118i M Sport adalah kereta yang seronok dipandu dan mampu membuatkan anda tersenyum. Namun adakah ia cukup bagus untuk dimiliki? Dari segi kelengkapan, hatchback ini cukup lengkap dengan ciri-ciri seperti lampu LED depan dan belakang, pendingin hawa automatik dwi zon, kemasukan tanpa kunci Comfort Access, sistem iDrive dengan skrin 6.5 inci serta pelbagai lagi. Aspek keselamatan pula terdiri dari enam beg udara, ABS, Dynamic Stability Control (DSC), Automatic Stability Control (ASC), Dynamic Traction Control (DTC) serta Cornering Brake Control (CBC).

BMW 118i M Sport Review 19

Bagaimana pula dengan ruang dan praktikaliti? Dengan wheelbase berukuran 2,690 mm (9 mm lebih pendek berbanding pesaing terdekatnya), 118i masih dilihat cukup besar untuk sebuah keluarga kecil. Ia mempunyai ruang but dengan kapasiti 360 liter (19 liter lebih luas), jadi bagasi tidak menjadi masalah jika anda ingin membawa seisi keluarga ke lokasi percutian, misalnya.

BMW 118i M Sport Review 13

Dengan harga RM188,800, BMW 118i M Sport dilihat sebagai model permulaan yang baik untuk mereka yang ingin merasai bagaimana rasanya memiliki sebuah BMW. Tidak seperti 3 Series, 5 Series dan 7 Series, ia bukanlah model utama yang menjadi ‘wajah’ bagi jenama itu, namun ia mampu meninggalkan pandangan pertama yang berkekalan.

BMW 118i M Sport Review 24

Spesifikasi BMW 118i M Sport
Enjin: pengecas turbo, tiga silinder
Kapasiti: 1,499 cc
Kuasa: 136 hp @ 4,400 rpm
Tork: 220 Nm @ 1,250 rpm
Transmisi: automatik 8 kelajuan
0-100 km/j: 8.7 saat
Kelajuan maksimum: 210 km/j
Harga: RM188,800

Previous post

BMW Z4 Serba Baru Akan Didedahkan Esok

Next post

Laporan Separuh Tahun Geely Auto dikeluarkan, Hasil Meningkat 118% kepada RMB 39.424 Bilion

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>