Cuba Try

Pandu Uji: Honda Accord 2.0 VTi-L

Di Malaysia, pasaran segmen D boleh dikatakan didominasi oleh para pembeli yang rata-rata berusia setengah abad atau golongan profesional yang tidak jauh dari kemuncak karier mereka. Maka tidak hairanlah jika pilihan model yang ada dalam segmen ini semuanya kelihatan kurang menarik dan sporty jika dibandingkan dengan segmen lain yang mempunyai profil pelanggan yang lebih muda.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Itu cerita dulu. Kini, landskap segmen D dilihat mengalami sedikit demi sedikit perubahan dari segi produk yang ditawarkan. Tidak kira sama ada dari pengeluar Jepun atau Korea, anda boleh melihat model-model baharu yang dilancarkan semuanya mempunyai reka bentuk yang lebih bergaya dan segak yang mampu menarik pembeli lebih muda.

Honda Accord Review 04

Contoh terdekat adalah Honda Accord versi facelift ini yang dilancarkan hampir setahun lalu. Jika diteliti, ia mempunyai reka bentuk yang matang dengan garisan-garisan yang lebih teratur dan kemas, terutamanya di bahagian hadapan. Penulis berani mengatakan yang ia mempunyai impak visual yang tinggi, setanding dengan sedan-sedan lain yang lebih mahal di pasaran.

Seperti model pra-facelift, Accord terbaru ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu 2.0 VTi, 2.0 VTi-L serta 2.4 VTi-L sebagai pilihan tertinggi. Kami sempat memandu uji varian pertengahan ini yang dijual pada harga kurang dari RM150,000.

Honda Accord Review 07

Versi facelift ini tidak mempunyai sebarang perubahan teknikal, namun ia didatangkan dengan beberapa penambahan luaran seperti rekaan jeriji baharu yang membentuk muka hadapan ‘Solid Wing Face’ dan bahagian bawah bampar hadapan yang lebih agresif. Di belakang, Accord mendapat lampu LED baharu serta kemasan krom pada bonet dan bampar.

Sebahagian besar kabin tidak disentuh, namun Honda telah memberikan sedikit sentuhan segar menerusi venir kayu dan kemasan hitam dan perak baharu pada papan pemuka. Walaupun venir kayu selalu dikaitkan dengan kereta berimej ‘pakcik’, kehadirannya dalam kabin Accord tidak terlalu menonjol. Upholsteri kulit berwarna hitam juga sangat membantu.

Honda Accord Review 12

Dari segi kelengkapan, varian ini dilengkapi dengan fungsi pelarasan lapan cara bagi tempat duduk pemandu, sistem pendingin hawa automatik dwi zon dengan lubang untuk penumpang belakang, pengelap cermin automatik, serta penghadang cahaya matahari di belakang.

Sistem infotainment pula terdiri daripada skrin sentuh berukuran tujuh inci dengan fungsi-fungsi seperti HDMI, MP3, MirrorLink dan Apple CarPlay. Ciri Android Auto untuk pengguna Android pula bakal menyusul. Terletak di bahagian atas papan pemuka adalah skrin 7.7 inci di mana segala maklumat kenderaan dipaparkan.

Honda Accord Review 16

Accord varian 2.0 dipacu oleh enjin SOHC i-VTEC empat silinder yang menghamburkan 153 hp pada 6,500 rpm dan 190 Nm pada 4,300 rpm. Sama seperti enjin 2.4 Earth Dreams pada varian tertinggi, unit ini juga digabungkan dengan transmisi automatik lima kelajuan yang ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke gandar hadapan.

Ini meletakkannya sedan segmen D dengan output kedua tertinggi di belakang pesaing terdekatnya, Camry 2.0. Kuasa yang dibekalkan adalah mencukupi dan penghantarannya ke roda dilakukan dengan baik dan lancar. Untuk pemanduan yang agresif, Accord 2.0 sentiasa bersedia untuk menjalankan tugasnya, namun penulis mendapati kereta ini beroperasi pada tahap optimumnya ketika dipandu dengan lebih bersahaja.

Honda Accord Review 11

Ditambah pula dengan sistem suspensi yang boleh dikatakan agak lembut dan mesra tulang belakang, Accord lebih seronok dipandu di lebuhraya yang luas terbuka berbanding di kawasan berselekoh. Di kawasan bandar, sterengnya yang ringan membuatkan sedan ini selesa untuk dipandu di setiap ceruk.

Untuk lebih nilai kepada pembeli, varian ini turut didatangkan dengan ciri Honda LaneWatch yang hanya ditawarkan pada varian 2.4 VTi-L sebelum ini. Ciri tersebut merangkumi sebuah kamera yang diletakkan pada cermin sisi bahagian kiri bagi tujuan mengurangkan titik buta, sekaligus memudahkan pemandu untuk menukar lorong. Bagaimana pun, ia hanya berfungsi jika isyarat kiri digunakan terlebih dahulu.

Honda Accord Review 19

Oleh kerana Accord juga popular sebagai kenderaan keluarga, keselesaan untuk penumpang juga dititikberatkan dengan model ini dengan ciri-ciri seperti pendingin hawa dua zon, penghadang cahaya matahari serta ruang kaki yang luas. Tempat duduk kulit yang lembut dan pemegang cawan di setiap pintu adalah antara kelengkapan yang membuatkan perjalanan lebih selesa untuk seisi keluarga.

Hati juga pasti terasa lega mengetahui bahawa varian ini didatangkan dengan senarai ciri keselamatan yang sama dengan varian tertinggi – enam beg udara, ABS, EBD, Brake Assist, Vehicle Stability Assist (VSA), Hill Start Assist (HSA) dan ISOFIX.

Honda Accord Review 23

Secara umumnya, penulis melihat Honda Accord sebagai sedan yang serba boleh dari pelbagai segi. Selain daripada rupa, ia juga mempunyai tahap kelengkapan yang dirasakan berbaloi dengan harga yang ditawarkan. Jika kuasa yang dibekalkan oleh enjin 2.0 tersebut dirasakan tidak mencukupi, varian 2.4 VTi-L yang mempunyai 175 hp dan 225 Nm boleh dipilih dengan perbezaan harga yang tidak melampau.

Spesifikasi Honda Accord 2.0 VTi-L
Enjin: SOHC empat silinder
Kapasiti: 1,997 cc
Kuasa: 153 hp @ 6,500 rpm
Tork: 190 Nm @ 4,300 rpm
Transmisi: automatik 5 kelajuan
0-100 km/j: -
Kelajuan maksimum: -
Harga: RM153,800

Honda Accord Review 02

Previous post

Mercedes-AMG Project One - 1,000 HP, 350 Km/j

Next post

Kenapa Geely Mahu Lotus?

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>