Cuba Try

Pandu Uji: Volkswagen Passat Trendline

Tidak dinafikan ada di antara mereka yang melabel Volkswagen Passat sebagai sebuah sedan yang “membosankan” dan tidak mempunyai jiwa tersendiri. Ini selalunya merujuk kepada reka bentuk Passat yang sering kali dikatakan tidak menarik kerana menggunakan terlalu banyak garisan lurus, membuatkannya kelihatan seperti sebuah kotak dengan empat tayar.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Apa yang dikatakan mungkin ada benarnya terutamanya jika dilihat pada model-model generasi terdahulu. Volkswagen sudah pastinya mahu mengubah persepsi negatif itu dan pengeluar dari Jerman itu mungkin telah mencapai objektif mereka dengan Passat generasi B8. Setelah memandunya untuk beberapa hari, penulis boleh mengatakan yang secara keseluruhannya sedan ini ada kekuatannya tersendiri dan tidak sama sekali terlintas bahawa ia sebuah sedan yang membosankan.

Reka bentuk lebih menarik perhatian

Volkswagen Passat 05

Ini bermula dengan rekaannya yang telah dikemas kini. Walaupun ada yang mengatakan ia kelihatan hampir sama dengan model generasi terdahulu (B7), Passat kini sebenarnya tampil lebih mengancam dengan muka hadapan yang lebih tajam berbanding model terdahulu yang kelihatan bersegi semata-mata.

Volkswagen Passat 08

Bukan itu sahaja, rekaan badan yang lebih lebar dan garis bumbung lebih rendah turut memainkan peranan dalam memberikan penampilan yang lebih rapi. Tidak dinafikan Passat mempunyai reka bentuk belakang yang hampir sama dengan Jetta, namun ia tetap kelihatan kemas dan elok dipandang.

Bahagian dalaman yang kemas

Volkswagen Passat 16

Jika anda menggemari kesederhanaan bahagian luaran Passat, rekaan bahagian dalamannya yang sama kemas pastinya menyenangkan hati anda. Susun atur yang tidak berserabut juga menyenangkan pemandu untuk memberikan fokus sepenuhnya ke atas jalan.

Volkswagen Passat 18

Kemasan Silver Diamond yang digunakan pada papan pemuka, konsol tengah dan sebahagian dari panel pintu memberikan suasana yang berlainan berbanding kemasan kayu yang biasa digunakan dalam kelasnya. Cuma, pantulan cahaya akibat matahari terik sedikit sebanyak boleh mengganggu pemanduan.

Volkswagen Passat 11

Jam analog yang diletakkan di atas paparan multimedia di bahagian tengah juga adalah satu sentuhan menarik terutamanya bagi mereka yang meminati jam.

Ruang kabin cukup besar dan selesa

Volkswagen Passat 14

Di Malaysia, sedan eksekutif seperti Passat kebanyakannya dimiliki oleh mereka yang mempunyai keluarga dan sering digunakan sebagai kenderaan utama. Ruang tidak menjadi masalah di sini, lebih-lebih lagi dengan jarak roda (wheelbase) yang berukuran 2,791 mm, 79 mm lebih panjang daripada sebelum ini.

Volkswagen Passat 15

Walaupun ia mempunyai bumbung lebih rendah, ruang lega kepala di bahagian belakang tidak terjejas dan dikira masih boleh memuatkan penumpang dewasa dengan selesa. Sistem pendingin hawa tiga zon dengan lubang belakang membuatkan perjalanan jauh terasa lebih pendek.

Volkswagen Passat 20

Perjalanan pulang ke kampung juga menjadi lebih mudah untuk seisi keluarga dengan ruang but sebesar 586 liter. Untuk perbandingan, Toyota Camry mempunyai ruang but berkapasiti 515 liter, Mazda6 486 liter manakala Honda Accord mempunyai 461 liter.

Kelengkapan yang cukup

Volkswagen Passat 10

Passat Trendline mempunyai ciri-ciri yang lengkap walaupun ia adalah varian paling rendah. Antara yang boleh didapati termasuklah butang penghidup enjin (kunci masih diperlukan), lampu hadapan dan pengelap cermin automatik, roda stereng dengan butang kawalan audio, brek parkir elektronik, pendingin hawa tiga zon serta paparan bersaiz lima inci dengan lapan pembesar suara.

Volkswagen Passat 19

Lebih penting, ia didatangkan dengan ciri keselamatan yang setanding dengan varian Comfortline dan Highline iaitu enam beg udara, ABS dengan EBD, kawalan stabiliti (ESC), Anti-Skid Regulation, Hill-Hold Assist dan cagak Isofix.

Prestasi mengujakan

Volkswagen Passat 17

Varian Trendline dan Comfortline dikuasakan oleh enjin TSI 1.8-liter empat silinder yang ‘dikahwinkan’ dengan transmisi automatik dwi-klac (DSG) tujuh kelajuan yang ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke roda hadapan. Biarpun berkapasiti paling kecil, teknologi turbo yang digunakan meletakkan Passat di tempat kedua dalam carta kuasa kuda dengan 178 hp pada 5,100 rpm dan 250 Nm dari 1,250 rpm, hanya 7 hp kurang berbanding Mazda6 2.5L.

Volkswagen Passat 13

Ia mungkin tidak kelihatan sporty, namun tidak dinafikan Passat adalah sebuah sedan dengan pemanduan dan prestasi versatil. Ia selesa dan lancar jika dipandu bersahaja, tetapi sebaik sahaja pendikit ditekan kuat, anda akan terasa kuasa pecutan yang memang mengagumkan untuk sedan bersaiz seperti ini.

Ligat namun tetap selesa

Volkswagen Passat 04

Jangan disangka jentera sebesar ini tidak mampu beraksi di jalan berselekoh. Passat adalah antara yang teringan dalam kelasnya, jadi tidak hairanlah ia mempunyai tindak balas yang baik walaupun dipaksa bekerja keras.

Volkswagen Passat 09

Seperti yang diharapkan dari sebuah kereta Jerman, pemanduan di lebuh raya amat selesa bukan sahaja dari segi suspensi yang digunakan, malah keseluruhan kabin terasa senyap. Penggunaan rim bersaiz 16 inci dengan tayar 215/60 adalah antara faktor.

Berbaloi atau tidak?

Volkswagen Passat 06

Lebih adil jika soalan ini dijawab oleh pemilik dan bakal pemilik. Penulis hanya boleh menyatakan bahawa pada harga sekitar RM160,000 ia adalah antara model ‘entry-level’ paling mahal jika dibandingkan dengan apa yang ditawarkan oleh jenama-jenama Jepun.

Volkswagen Passat 02

Namun, perbezaan harga tidaklah terlalu besar. Sebagai contoh, Honda Accord 2.0 dan Toyota Camry 2.0 kedua-duanya dijual pada harga sekitar RM150,000. Jadi anda sebenarnya membayar lebih sedikit untuk membeli sebuah sedan Eropah yang cukup berkebolehan. Bagi penulis, itu adalah tawaran yang berbaloi.

Spesifikasi Volkswagen Passat Trendline
Enjin: TSI turbo empat silinder
Kapasiti: 1,798 cc
Kuasa: 178 hp @ 5,100 rpm
Tork: 250 Nm @ 1,250 rpm
Transmisi: DSG tujuh kelajuan
0-100 km/j: 7.9 saat
Kelajuan maksimum: -
Harga: RM160,000

 

 

Previous post

Eropah Mahu Memastikan Powertrain Diesel Tidak Pupus

Next post

General Motors Juga Akan Elektrik Untuk Bersaing Dengan Toyota & Daimler

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>