Cuba Try

Pandu Uji: Peugeot 3008 Generasi Kedua

Diperkenalkan buat pertama kali di Paris Motor Show 2016, Peugeot 3008 generasi kedua meninggalkan imej MPV yang tidak begitu menarik sebelum ini untuk reka bentuk SUV yang lebih garang dan mengujakan.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Perubahan bentuk badan ini juga bermakna 3008 kini bersaing dalam segmen yang lebih mencabar yang terdiri daripada model-model yang lebih dikenali seperti Honda CR-V, Mazda CX-5 dan Volkswagen Tiguan.

Peugeot 3008

Bersaing dengan model-model tersebut bukanlah sesuatu yang mudah, terutamanya dalam pasaran negara ini di mana persepsi terhadap jenama memainkan peranan yang begitu penting. Seperti yang kita sedia maklum, Peugeot tidak mempunyai ‘track record’ yang baik di Malaysia.

Peugeot 3008

Namun, 3008 dilihat sebagai percubaan yang sangat baik dari jenama Perancis itu dalam usahanya untuk memenangi hati pelanggan kembali. Dan ini dibantu dengan penggayaan moden dan mewah yang tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan model-model lebih mahal seperti Range Rover Evoque dan Lexus NX.

Peugeot 3008

Bahagian depan varian tertinggi iaitu Allure dilengkapi dengan lampu LED bersama lampu nyalaan siang LED dan isyarat membelok ‘sequential’, manakala bahagian belakang menampilkan lampu dengan efek cakaran 3D yang sangat sesuai dengan logo singa Peugeot.

Peugeot 3008

Sesiapa sahaja yang memasuki ruang kabin 3008 (digelar i-Cockpit) pasti terpegun dengan konsep minimalis yang digunakan. Selain dari kemasan fabrik pada papan pemuka, apa yang paling menarik perhatian adalah butang ala papan kekunci piano serta rekaan tombol gear yang sedap digenggam. Lampu ambient pula memberikan suasana tenang terutamanya ketika memandu di waktu malam.

Peugeot 3008

Bukan itu sahaja, pemandu disajikan pula dengan paparan kluster digital bersaiz 12.3 inci yang memamparkan pelbagai maklumat dan info mengenai kenderaan tidak jauh dari garis pandangan mata. Untuk paparan lebih ringkas, anda boleh memilih dua mod paparan lain yang ada disediakan.

Peugeot 3008

Kabin 3008 juga menyediakan ruang simpanan yang secukupnya untuk kemudahan penumpang. Selain dari ruang di tepi pintu, terdapat juga ruang storan 11 liter yang terletak di bahagian tengah.

Peugeot 3008

Ruang but juga cukup besar untuk keperluan seisi keluarga dengan 591 liter dalam konfigurasi standard dan 1,670 liter dengan tempat duduk belakang dilipat rata. Ini boleh dilakukan dengan hanya menarik tuil yang terletak di dalam ruang but. Sayangnya, ia tidak mempunyai ciri tailgate automatik yang penulis kira satu ciri yang sangat digemari oleh pengguna kenderaan seperti ini.

Peugeot 3008

Ia mungkin sebuah SUV, namun 3008 mempunyai pemanduan yang mantap dan stabil seperti sebuah kereta. Ini kerana ia dibina di atas platform Efficient Modular Platform 2 (EMP2) yang turut menjadi asas kepada model hatchback 308.

Peugeot 3008

Casisnya tidaklah begitu tangkas namun 3008 masih mampu memberikan respon terhadap input dari pemandu dengan baik. Ditambah pula dengan roda stereng kompak dan kedudukan memandu yang sedang elok, penulis kadang-kadang terlupa bahawa ia sebuah SUV. Sistem suspensinya tidak sekeras kebanyakan model Eropah yang lain.

Peugeot 3008

Kuasa dibekalkan oleh enjin 1.6-liter Turbo High Pressure (THP) dengan kuasa berjumlah 165 hp pada 6,000 rpm dan 240 Nm tork dari 1,400 rpm. Dipadankan dengan transmisi automatiik enam kelajuan, kenderaan pacuan roda hadapan ini hanya memerlukan 8.9 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j.

Peugeot 3008

Angka pecutan bukan sesuatu yang penting bagi sebuah SUV, tetapi ia sekurang-kurangnya dapat memberi bayangan tentang prestasi yang ditawarkan. Kuasa dan tork yang dihasilkan terbukti cukup untuk memberikan kenderaan seberat 1,300 kg ini kuasa pecutan yang memuaskan.

Peugeot 3008

Ketika ‘cruising’ pada kelajuan 110 km/j, putaran enjin berada pada tahap bawah 2,000 rpm dan derumannya tidak menceroboh ruang kabin. Bunyi angin selalunya berada pada tahap minimum dan hanya menjadi lebih jelas jika kenderaan memecut laju. Bunyi dari tayar juga tidak begitu jelas, walaupun ia menggunakan rim 18 inci.

Peugeot 3008

Walaupun ianya pacuan roda hadapan, 3008 mampu menghadapi permukaan licin dan berbukit dengan adanya ciri Advanced Grip Control. Ia mempunyai lima mod pemanduan untuk situasi berbeza dan boleh diakses menerusi butang kawalan berdekatan dengan tombol gear.

Peugeot 3008

Ciri tersebut digabungkan dengan Hill Assist Descent Control yang membantu mengawal kenderaan ketika meneruni cerun. Ini bermakna kenderaan bukan sahaja sesuai digunakan di bandar, malah di kawasan luar bandar.

Peugeot 3008

3008 mempunyai ciri-ciri keselamatan yang cukup lengkap dengan enam beg udara, Hill Start Assist serta Front + Rear Park Assist dengan kamera undur. Ia juga didatangkan dengan Lane Departure Warning yang memberi amaran visual dan audio jika pemandu tersasar dari lorong atau memotong tanpa menggunakan isyarat.

Peugeot 3008

Secara keseluruhan, penulis berpendapat bahawa 3008 adalah kenderaan yang bagus dan patut dipertimbangkan bagi mereka yang ingin mendapatkan sebuah SUV. Dengan harga yang kompetitif iaitu RM155,888 bagi varian Allure, anda mendapat sebuah kenderaan dengan penggayaan dan pemanduan berstandard Eropah. Ditambah dengan pelbagai teknologi yang ditawarkan, 3008 adalah pakej yang lengkap.

Peugeot 3008

Spesifikasi Peugeot 3008 Allure THP
Enjin: Turbo High Pressure empat silinder
Kapasiti: 1,598 cc
Kuasa: 165 hp @ 6,000 rpm
Tork: 240 Nm @ 1,400 rpm
Transmisi: automatik enam kelajuan
0-100 km/j: 8.9 saat
Kelajuan maksimum: 206 km/j
Harga: RM155 ,888

 

 

Previous post

Tesla Model 3 Ada Beberapa Isu Kejuruteraan Yang Agak Serius

Next post

Toyota Avanza 1.5X Dibuka Untuk Tempahan Dengan Harga RM82,700

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>