Uncategorized

Keputusan Anugerah Kenderaan Tahunan DSF.my (VOTY 2018)

Rakan media kami iaitu DSF.my dan Allianz Malaysia Berhad sebagai penaja utama telah menganjurkan Anugerah Kenderaan Tahunan 2018 (Vehicle of the Year 2018) pada 11 Mei yang lalu. Berikut adalah senarai pemenang bagi 20 kategori yang dipertandingkan.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Kenderaan Tahunan 2018 – Perodua Myvi

Perodua Myvi

Kini dalam generasi ketiga, hatchback kegemaran rakyat Malaysia tampil dengan reka bentuk lebih menarik dan lebih banyak kelengkapan yang bertujuan untuk memudahkan pemandu, termasuk pembaca Smart Tag. Walaupun tampil dengan lebih banyak teknologi dan enjin baharu, Myvi kekal sebagai kenderaan mampu milik dengan harga dari RM44,300 hingga RM55,300 bagi varian tertinggi iaitu 1.5 Advance. Dengan ciri Advance Safety Assist (ASA) dan penarafan lima bintang oleh ASEAN NCAP, Myvi benar-benar layak digelar sebagai Kenderaan Tahunan 2018.

Crossover Tahunan – Subaru XV

Subaru XV

Subaru XV 2018 mungkin kelihatan seperti ia tidak mempunyai banyak perubahan, namun ia menjanjikan pengalaman pemanduan yang lebih baik dengan penggunaan Subaru Global Platform baharu yang 70 peratus lebih tegar berbanding sebelum ini. Digabungkan dengan enjin dan sistem pacuan semua roda simetrikal yang lancar, crossover ini terasa lebih seronok dipandu berbanding sesetengah kereta sedan yang ada di pasaran.

SUV Tahunan – Mazda CX-5

SAM_2639

Tidak dinafikan bahawa Mazda CX-5 adalah antara SUV paling cantik yang ada di pasaran Malaysia ketika ini. Tema reka bentuk Kodo disempurnakan lagi dengan model terbaru ini manakala bahagian kabin, walaupun bukan yang paling luas di dalam segmennya, tampak dan rasa lebih premium berbanding pesaing terdekatnya. Ia selesa untuk dipandu dan pada yang sama mampu untuk mengambil selekoh dengan lebih laju dengan adanya ciri G-Vectoring Control (GVC).

Sedan Mewah Tahunan – Porsche Panamera

SAM_2287

Porsche Panamera generasi kedua layak digelar sebagai Sedan Mewah bagi tahun ini dengan reka bentuk keseluruhan yang lebih matang dan prestasi yang setanding dengan kebanyakan kereta sport dua pintu. Bahagian dalaman bukan sahaja lebih luas malah tampil lebih mewah dengan kehadiran panel sentuh pada bahagian konsol tengah sebagai pengganti kepada punat fizikal yang digunakan pada model sebelum ini. Walaupun dalam versi asas dengan enjin turbo tunggal 3.0 V6, Panamera membuktikan yang ia mampu untuk beraksi dengan masa pecutan 0-100 km/j dalam 5.5 saat dengan Chrono Package dan kelajuan maksimum mencecah 264 km/j.

MPV Mewah Tahunan – Kia Grand Carnival

Kia Grand Carnival

Kehadiran Kia Grand Carnival generasi ketiga dalam pasaran tempatan bermakna pelanggan tidak perlu lagi mengunjungi pengedar kereta terpakai untuk mendapatkan sebuah MPV. Mengapa beli model ‘recond’ sedangkan anda boleh mendapatkan sebuah Grand Carnival baharu dengan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan dengan harga yang tidak jauh berbeza? Keupayaan MPV ini dari segi kualiti, ruang serta prestasi juga setanding dengan apa yang ditawarkan oleh model-model pesaing yang lain.

SUV Mewah Tahunan – Mazda CX-9

Mazda CX-9

CX-9 baharu menunjukkan bahawa Mazda mempunyai kapasiti untuk bersaing di dalam segmen premium. Dari segi reka bentuk dan tahap kemewahan yang ditonjolkan, sudah tentu model generasi kedua ini jauh lebih baik berbanding model generasi pertama yang dikeluarkan lebih 10 tahun dahulu. Masuk ke dalam kabin, jelas bagaimana jenama Jepun ini sangat mementingkan kualiti dan perincian. Bukan itu sahaja, ciri ergonomik yang baik seperti yang ditunjukkan menerusi kedudukan tombol gear dan butang kawalan lain juga memudahkan pemanduan.

Sedan Kompak Mewah Tahunan - Audi A4 Quattro

Audi A4-quattro

Umum tahu bahawa segmen sedan kompak mewah di Malaysia dikuasai oleh dua model iaitu Mercedes-Benz C-Class dan BMW 3 Series. Ini bagaimanapun tidak bermakna bahawa Audi tidak mempunyai tawaran yang baik untuk bersaing dalam segmen tersebut. Selain dari A4 1.4TFSI dan 2.0TFSI standard, Audi Malaysia turut membawa masuk A4 2.0TFSI quattro sebagai varian tertinggi. Walaupun agak mahal, anda sebenarnya membayar untuk sebuah sedan import (CBU) dengan pacuan empat roda, sesuatu yang tidak ada pada pesaing-pesaingnya. Bukan itu sahaja, biarpun tidak mempunyai kuasa tambahan daripada sistem hibrid, A4 menunjukkan bahawa ia tidak kurang hebatnya dengan kuasa berjumlah 252 hp dan 370 Nm. Penggunaan sistem quattro pula memberikan pengendalian yang lebih meyakinkan.

Hibrid Tahunan – Honda City Hybrid

honda-city-hybrid

Malaysia merupakan satu-satunya negara selain Jepun yang memasarkan City Hybrid dan Jazz Hybrid. Keputusan Honda Malaysia untuk membawa masuk kedua-dua model tersebut dilihat sebagai satu langkah yang bijak apabila ia menerima lebih 1,200 tempahan dalam tempoh dua bulan. Dengan harga RM89,200, City Hybrid juga hadir sebagai kereta hibrid paling mampu milik dalam pasaran tempatan. Dengan harga tersebut, anda bukan sahaja mendapat sedan kompak yang praktikal, malah efisyen dan menjimatkan dari segi penggunaan bahan api. Pelanggan juga tidak perlu risau tentang isu bateri kerana dilindungi oleh jaminan selama lapan tahun tanpa had perbatuan.

Hibrid Plug-in Tahunan – Volvo XC60

Volvo XC60

Volvo XC60 T8 Twin Engine dipilih sebagai pemenang jelas bagi kategori ini kerana ia menawarkan rangkaian hibrid yang berkuasa tetapi masih efisyen. Dengan susunan enjin petrol dan motor elektrik yang sama seperti S90 dan XC90, model ini tampil dengan kuasa keseluruhan sebanyak 407 hp dan 640 Nm. Pada masa yang sama, SUV ini juga boleh dipandu dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh kira-kira 25 km jika bateri dicas sepenuhnya dan ini sudah tentu dapat mengurangkan perbelanjaan petrol bulanan. Dan oleh kerana ia dibuat oleh Volvo, XC60 juga adalah antara SUV paling selamat yang ada dalam pasaran. Harga yang diberikan juga sangat kompetitif iaitu RM343,888 bagi versi CKD.

Kereta Kompak Tahunan – Kia Picanto

Kia picanto

Kia Picanto tidak mempunyai banyak saingan di negara ini. Dari segi saiz, ia bersaing dengan Perodua Axia dalam segmen A manakala dari segi harga, Picanto adalah seteru kepada hatchback segmen B seperti Myvi dan Proton Iriz. Apa yang membuatkan ia layak untuk memenangi anugerah ini adalah pemanduan yang jauh lebih baik berbanding versi terdahulu dan pesaingnya, serta senarai kelengkapan standard yang berbaloi seperti skrin sentuh 7 inci lengkap dengan Apple CarPlay dan Android Auto, kamera undur, stereng pelbagai fungsi dan sebagainya. Dari segi keselamatan, ciri-ciri seperti enam beg udara, ABS, Brake Assist serta ESC sudah tentu memberikan ketenangan minda kepada pemandu.

Sedan Kompak Tahunan – Hyundai Elantra 1.6 Turbo

Hyundai Elantra review 03

Bagi anda yang sudah bosan dengan lambakan Honda Civic di jalan raya, Hyundai Elantra 1.6 Turbo hadir sebagai tawaran yang tidak kurang menariknya dengan reka bentuk luaran yang lebih matang dan ruang kabin yang sporty terutamanya jika dilihat pada stereng flat-bottom serta warna merah yang digunakan. Bukan itu sahaja, ia juga lebih berkuasa berbanding Civic Turbo dengan kuasa sebanyak 201 hp dan 265 Nm yang disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac (DCT) tujuh kelajuan.

MPV Kompak Tahunan – Nissan Serena S-Hybrid

Nissan Serena S-Hybrid

Jika Kia Grand Carnival terlalu besar untuk anda, Nissan Serena S-Hybrid baharu yang diperkenalkan baru-baru ini dilihat sebagai alternatif terbaik. Walaupun ia lebih kompak, MPV Jepun ini masih mampu untuk memuatkan sehingga tujuh orang penumpang (termasuk pemandu) dengan kerusi kapten yang selesa pada barisan kedua. Selain dari rekaan yang lebih segar, model ini juga menampilkan enjin yang lebih berkuasa serta lebih efisyen dengan adanya ‘dual-arm tensioner’. Ditambah dengan motor elektrik yang dibangunkan untuk menghasilkan pecutan lebih bertenaga, Serena S-Hybrid menawarkan pakej lengkap yang boleh dikatakan cukup lengkap.

Sedan Eksekutif Tahunan – Mercedes-Benz E350e

mercedes-benz e350e

Dua calon terakhir bagi kategori ini merupakan Mercedes-Benz E350e dan BMW 530e Sport. Kami memutuskan untuk memberi kemenangan kepada E350e kerana ia secara keseluruhannya adalah pakej yang lebih menarik walaupun dijual kira-kira RM50,000 lebih mahal berbanding 530e. Anda sebenarnya bukan sahaja berbelanja lebih untuk kit AMG Line yang membuatkan sedan ini lebih segak, malah untuk sistem hibrid yang lebih berkuasa. Bukan itu sahaja, sebagai varian tertinggi dalam barisan E-Class, ia juga didatangkan dengan pelbagai kelengkapan mewah seperti sistem suspensi udara, skrin digital sepenuhnya, upholsteri kulit dan sistem audio Burmester dengan 13 pembesar suara.

Supercar Tahunan – Lexus LC500

Lexus LC500

Tidak keterlaluan jika kami katakan bahawa LC500 adalah kereta keluaran Lexus paling menarik selepas LFA. Reka bentuk luarannya tidak jauh berbeza dengan konsep LF-LC yang diperkenalkan pada tahun 2012 manakala ruang dalamannya jelas lebih mementingkan perincian dan kemewahan berbanding aspek pemanduan tetapi ini bukan bermakna ia tidak sedap dipandu. Enjin ‘naturally aspirated’ 5.0 V8 yang tersimpan di bahagian hadapan mempamerkan dua sifat yang berlainan – lancar dan senyap jika dipandu perlahan, dan bertenaga jika dipandu secara agresif. Ngaumannya juga sukar untuk dilupakan hingga ke hari ini.

Kereta Sport Tahunan – Mercedes-Benz SLC300 AMG

Mercedes-Benz SLC300 AMG

Jika ada di antara anda yang masih tidak tahu, SLC merupakan nama baharu roadster yang dikenali sebagai SLK sebelum ini. SLC 300 AMG merupakan varian pertengahan yang diposisikan di antara SLC 200 dan AMG SLC 43. Walaupun mengekalkan bentuk badan yang sama dengan model terdahulu, SLC 300 tampil dengan sentuhan terkini yang membuatkan ia tampil lebih segar. Bahagian dalamannya mungkin kelihatan agak ketinggalan zaman, namun aspek kualiti dan kekemasan yang ditampilkan masih menepati standard Mercedes-Benz. Dengan 241 hp dan 370 Nm serta bumbung ‘hardtop’ yang boleh dibuka dengan mudah, model ini menawarkan pengalaman pemanduan tanpa bumbung yang sangat mengujakan.

Trak Pikap Tahunan – Ford Ranger WildTrak 2.2

FORD-RANGER-2.2WILDTRAKP1018713

Sebut sahaja trak pikap, nama Ranger pastinya antara yang pertama menjadi sebutan. Sime Darby Auto Connextion (SDAC), sebagai pengedar sah kenderaan Ford di Malaysia, baru-baru ini mengembangkan lagi rangkaian model Ranger dengan pengenalan varian 2.2L WildTrak yang menampilkan tahap kelengkapan yang sama dengan varian 3.2L WildTrak yang sudah lama berada di pasaran. Ini termasuklah ciri bantuan pemandu seperti Lane Departure Warning, Lane Keeping Assist dan Adaptive Cruise Control. Penampilannya juga lebih garang dengan kehadiran elemen kelabu metalik pada bahagian luaran dan upholsteri kulit dengan jahitan oren pada bahagian dalam.

Rekaan Terbaik Tahunan – Toyota C-HR

toyota c-hr

C-HR adalah bukti yang terbaik untuk menunjukkan bahawa pereka Toyota juga mampu untuk menghasilkan sesuatu yang radikal jika diberikan kebebasan. Garisan bersudut yang digunakan mungkin agak keterlaluan bagi sesetengah pihak, namun pada pandangan kami ia cukup untuk membuatkan C-HR lebih menonjol berbanding pesaing terdekatnya. Ia juga kelihatan lebih mahal, terutamanya jika dilihat dari bahagian sisi di mana rekaan tiang C-nya hampir menyerupai Lexus RX.

Enjin Petrol Tahunan – Mazda Skyactiv 2.0L

Mazda-Skyactiv-petrol

Menurut Mazda, enjin pembakaran konvensional memanfaatkan hanya 30 peratus daripada potensi tenaga bahan api. Oleh itu, ia telah membangunkan rangkaian enjin petrol Skyactiv-G yang lebih pintar dan mampu menghasilkan jumlah tork yang tinggi menggunakan jumlah bahan api yang kecil. Versi 2.0-liter empat silinder yang terdapat pada CX-5 menghasilkan 162 hp pada 6,000 rpm dan 210 Nm pada 4,000 rpm, lebih tinggi berbanding pesaing-pesaing terdekatnya. Dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan, enjin ini membuktikan bahawa ia mampu untuk memikul tugas dengan pecutan pada julat rendah dan pertengahan yang memuaskan.

 

Previous post

Pemasangan Tempatan AUDI Dengan Oriental Assemblers Dalam Perbincangan?

Next post

Sejak Keputusan PRU14 Jualan Kereta Adalah Kosong! Tiada Jualan Langsung!

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>