Terengganu Prihatin Pembonceng Naik Motosikal Dengan Bukan Muhrim
KUALA TERENGGANU, 17 Feb (Bernama) — Kerajaan negeri akan mencari kaedah terbaik bagi menangani perbuatan individu membonceng motosikal dengan penunggang bukan muhrim, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof.
Beliau berkata langkah bersesuain perlu diambil bagi mencegah perbuatan itu.
“Setakat ini penguatkuasaan yang dijalankan belum menyeluruh dan perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Selamat di hadapan Plaza Padang Negara di Kuala Terengganu, Selasa.
Hadir sama Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa dan Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie.
BERNAMA sebelum ini melaporkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan meningkatkan penguatkuasaan khusus terhadap golongan remaja yang berkelakuan tidak sopan di tempat awam termasuk mereka yang menaiki motosikal bersama individu yang bukan muhrim.
–BERNAMA
No Comment