Jeep Wrangler Rubicon 2 Pintu #LiveFree
Nostalgia – Kenangan saya dengan Jeep Wrangler masa zaman sekolah saya dulu. Kawan abang saya ada satu yang warna putih dan kami banyak mengembara dengannya. Masuk hutan keluar hutan. Ke pantai. Ke bukit. Ke mana saja kami nak pergi, kami naik Wranglernya dan jalan saja. Takda apa yang dapat menghalang perjalanan kami. Itu dulu…
Fast forward 40 tahun dan saya di belakang stering sebuah Wrangler terbaru. Jeep Wrangler Rubicon 2 pintu. Pertama kali membawanya terasa agak pelik. Ini kerana tayar 17 inci off-roadnya yang tebal dan besar dengan sistem suspensi heavy dutynya. Tetapi selepas sehari membiasakan diri, Jeep Wrangler Rubicon ini mula terasa seperti kereta biasa.
Malahan ianya sebuah kereta yang agak licik dan laju. Enjin Pentastar 3.6 V6 VVT dengan transmisi otomatik 5 kelajuannya lebih pada cukup memecut ke sana kemari. Ya memecut. Satu perkataan yang tidak sepatutnya berada dalam satu ayat dengan sebuah kereta off-road seperti ini.
Saya benar benar terpegun dengan kelajuan dan kestabilannya dijalanraya, jika dibandingkan dengan Jeep zaman persekolahan saya. Penambahbaikan yang amat ketara sekali. Kuasa kuda 209KW (284HP) @ 6350 RPM / Tork 347 NM @ 4300 RPM. Pengunaan bahan apinya ialah lebih kurang 9.4L/100 KM.
Bahagian dalamannya diperbuat dengan bahan-bahan yang berkualiti tinggi. Kulit pada dashboard, pintu, stering. Kerusi berkulit sepenuhnya pada depan dan belakang. Yang hadapan turut berlogo Rubicon.
Sistem Uconnect 431 dengan touchscreen besar 6.5 inci siap dengan CD/DVD/HDD. Alpine Premium Sound System dengan 9 speaker. Bumbung Freedom Top yang senang dibuka.
Jeep Wrangler Rubicon ini pasti akan mengembalikan zaman remaja dan sifat pengembaraan anda. Semasa membawanya merata, ramai yang memberi pandangan double take. Reka bentuknya tidak luput ditelan zaman. Bergaya lasak.
Adakah saya akan membelinya? Sudah tentu. Ianya memenuhi kesemua citarasa saya cuma buat masa ini saya agak tak mampu. Harga diatas jalan termasuk insuran RM348,010.85
Untuk melihat lebih dekat dan pandu uji kunjungi bilik pamerannya. Untuk keterangan lanjut, temu janji, lokasi terdekat, sila layari http://www.jeep.my/
No Comment