Penurunan Harga Kenderaan Perodua Sehingga 1.6%. Harga Alat Ganti Di Kekalkan
Mulai hari ini (1 April 2015) Perodua akan mengurangkan harga kenderaannya di antara 0.1% dan 1.6% bergantung kepada model berikutan implementasi GST. Perodua juga akan mengekalkan harga alat ganti di samping menanggung kesan GST.
“Kami sentiasa menyokong usaha Kerajaan dan memenuhi harapan pelanggan di dalam menawarkan kenderan-kenderaan mampu milik dan yang bernilai,” kata Presiden & CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh.
“Kami telah menilai semula harga beberapa model kenderaan kami dan menambah nilai di antara 3% hingga 12% sejak 2013. Semua model kenderaan kami mempunyai jaminan selama 5 tahun yang menyenangkan hati pelanggan kami,” kata beliau lagi.
Aminar berkata, Perodua S-Series, produk pertama di bawah inisiatif penjimatan kos telah mendapat penerimaan ramai dan telah mengumpul hasil jualan sebanyak lebih kurang 153 000 unit dari Mac 2013 dan Januari 2015.
Beliau berkata Perodua telah mengurangkan harga jualan di samping menambahbaik produk mereka dan menawarkan pelbagai faedah kepada para pelanggan mereka.
“Kami juga komited di dalam memperbaiki rantaian pembekal domestik dengan menyokong dan memberikan bantuan kepada para pembekal dan penjual dengan penubuhan pembiayaan kewangan, kadar bayaran yang lebih baik dan membekalkan program pembangunan modal insan kepada mereka,” ujar Aminar.
Berikutan perlaksanaan GST, Aminar berkata Perodua menyokong pengenalan cukai baru kerana ianya memberi kebaikan kepada rakyat Malaysia sekiranya ia dilaksanakan dengan adil oleh semua pihak yang berkaitan.
“Dengan perlaksanaan GST, ianya akan memberi kesan penurunan di dalam beberapa bidang perniagaan kami. Walaubagaimanapun, ia juga akan mengakibatkan kenaikan kos di dalam beberapa bidang perniagaan yang lain,” kata Aminar.
“Dengan mengambil kira semua ini termasuklah penilaian mata wang US Dollar kepada RM, kami dengan sukacita dan berbesar hati mengumumkan kepada para pelanggan penjimatan harga kenderaan, dengan pihak kami menanggung kos yang dikenakan kepada alat ganti,” tambah beliau lagi.
“Kami berterima kasih kepada Kerajaan, rakan kongsi, pembekal, penjual dan pelanggan di atas sokongan dan kepercayaan yang berterusan kepada Perodua,” tambah beliau lagi.
No Comment