Infiniti Lancar Q70 Serba Baharu di Malaysia
- Sedan Mewah Prestasi Unggul Infiniti
- Penampilan Luaran yang Tegap dan Penuh Gaya serta Rekaan Dalaman Halus
- Prestasi dan kecekapan luar biasa Enjin V6 hadir dalam varian 2.5L, 3.7L dan 3.5L Hibrid
Infiniti Malaysia hari ini melancarkan kereta sedan mewah prestasi unggulnya, iaitu Infiniti Q70, sekali gus menambah lagi barisan model keretanya selepas pelancaran Sedan Sport Premium Infiniti Q50 tahun lepas.
Infiniti Q70 serba baharu ini merangkumi semua ciri intipati Infiniti dari segi gaya, prestasi, kemewahan, kehalusan pembinaan dan teknologi.
“Matlamat kami ialah untuk menawarkan kepada mereka yang tidak berselesa dengan sekadar kesederhanaan. Malah untuk mereka yang mengejar kepelbagaian dalam hidup serta berani untuk mendampingi kepelbagaian dan perbezaan. Bagi mereka yang ingin mencapai impian dengan Infiniti Q70 serba baharu ini,” ujar En. Michael Cope, Pengurus Kanan Serantau, Pasaran Asia & Oceania, Infiniti Motor Ltd.
Dengan pengenalan ini, Infiniti seiring dengan strateginya menawarkan tiga jenis enjin V6 iaitu varian Q70 2.5L, 3.7L dan 3.5L Hibrid bagi pasaran Malaysia.
REKABENTUK FLAGSHIP EKSPRESIF
Keharmonian rekabentuk teperinci Infiniti Q70 menyerlahkan luaran yang tegap dan penuh gaya, menjadikan ia lebih menonjol berbanding dengan kereta sedan mewah tradisional buatan Eropah. Infiniti Q70 serba baharu ini didatangkan dengan lampu depan LED yang menggerunkan, rekaan signatur dwi lengkung hadapan berserta gril dengan alunan corak gelombang, bamper depan sport dan lampu kabut LED bersepadu. Manakala bahagian belakangnya menampilkan lampu kombinasi LED, bentuk bonet yang baru dengan kemasan krom di belakang. Bamper belakang dipasang dengan dwi ekzos yang besar dengan kemasan berkilat menampilkan kestabilan dan kekuatan.
Luaran Infiniti Q70 yang dengan pelbagai lapisan menyeimbangkan sistem pacuan roda belakang dengan hod yang panjang dan rendah, serta dek yang lebih tinggi, bagi menghasilkan pemalar heretan aerodinamik yang rendah pada 0.27 (Cd) di samping menyediakan ruang kabin yang cukup lapang. Penampilan sporty Q70 diserlahkan dengan rim standard Infiniti 18 inci (atau rim 20 inci yang tersergam gah sebagai pilihan) serta garis lekuk dapra dan pintu yang lebih tegap, menjadikan ia tampil sporty, dinamik dan penuh bertenaga.
Ciri-ciri luaran Infiniti Q70 serba baharu termasuk bumbung moonroof kaca gelap yang dibuka/ditutup dengan satu sentuhan, peredup sendeng dan gelongsor, cermin sayap pemanasan boleh lipat dan sendeng terbalik yang diintegrasikan dengan lampu penunjuk LED, bilah pengelap cermin hadapan dengan pengesan hujan dan lampu aluan pada pemegang pintu.
REKAAN DALAMAN YANG MANAMBAT HATI
Di samping rekaan luaran yang menawan, keselesaan pemandu dijadikan tumpuan rekabentuk dalaman. Tujuannya demi menghasilkan rekabentuk berfungsi dan memperlihatkan penampilan elegan, yang menggabungkan kemahiran seni dengan kejituan, keselesaan dengan inovasi – memberi sokongan kepada peningkatan mutu memandu dan nikmat buat penumpang.
Kerusi balutan kulit, kawalan suhu, tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan berkuasa 10 cara dengan penyokong lumbar berkuasa 2 cara merupakan ciri standard bagi semua varian, bersamaan dengan sistem peringatan dua penumpang untuk tempat duduk pemandu, roda steering dan cermin sayap – boleh dipautkan dengan kunci pintar individu. Tambahan pula, setiap kunci pintar ini dilengkapi daya ingat kawalan suhu dan audio terakhir. Kemasan kayu White Ash berkilat bersama kemasan perak menyerlahkan lagi kemewahan dan keanggunan Infiniti Q70.
Kawalan Bunyi Aktif menjana bunyi “pembatalan” dari empat pembesar suara pintu (dan subwufer untuk model yang dilengkapi dengan sisitem audio Bose®) untuk mengurangkan harmonik enjin. Tahap bunyi dalam kabin dikawal oleh dua mikrofon yang terletak di bumbung kereta Q70, membolehkan pemandu dan penumpang menikmati ketenangan dan keselesaan dalam kabin tanpa melakukan apa-apa.
Dalam Sistem Audio Premium BOSE®, 10 unit pembesar suara dilengkapi dengan pembesar suara Neodymium yang ringan dan berkuasa tinggi mengelilingi anda, untuk menghasilkan kualiti bunyi yang lebar dan luas, lagi imersif. Sistem Navigasi Cakera Keras Infiniti dipaparkan melalui skrin sesentuh warna beresolusi tinggi saiz 8-inci. Pemainan audio melalui Bluetooth dan Music Box® 9.3GB dapat menyediakan koleksi lagu-lagu pilihan peribadi.
KEUNGGULAN ENJIN, PEMANDUAN DINAMIK SEMULA JADI
Q70 serba baharu berenjin 2.5L V6 218hp dan 253Nm berputaran tinggi dipadankan dengan CVTCS (Continuosly Variable Valve Timing Control System). CVTCS mampu mengoptimalkan pembukaan injap pengambilan dan ekzos untuk mempertingkatkan tindak balas dan kecekapan.
Sementara enjin 3.7L V6 Q70 pula dilengkapi dengan sistem VVEL (Variable Valve Event & Lift). Sistem VVEL menggabungkan hydraulic-controlled variable valve timing dengan electronically controlled variable valve lift di bahagian pengambilan untuk membantu meningkatkan prestasi dan tindak balas. Enjin V6 bersesaran VVEL dan DOHC 24 injap, model Q70 3.7L ini menghasilkan kuasa sehingga 320hp pada 7,000rpm dan tork 360Nm pada 5,200rpm.
Prestasi Q70 model 3.5 hibrid yang tiada tandingannya menampilkan rangkaian kuasa hibrid selari 2-klac, 1-motor, menerusi sistem kombinasi menjana kuasa 360hp dan 350Nm. Ia mampu memecut dari 0 – 100km/j dalam tempoh kurang daripada 6 saat. Rekabentuk dengan kejuruteraan mahir, teknologi kawalan bermotor kelajuan tinggi ini membenarkan peralihan tanpa jeda di antara enjin petrol dan motor elektrik, menawarkan pemanduan yang lancar dan responsif dengan daya pecutan yang menakjubkan yang menjangkaui apa yang biasa difikirkan daripada hibrid.
Semua varian Q70 dipadankan dengan transmisi automatik 7-kelajuan terperinci Infiniti yang standard dan disertakan dengan teknologi Adaptive Shift Control (ASC) dan mod peralihan manual. Salah satu kelebihan ialah Downshift Rev Matching yang sangat agresif, ia mampu membantu kuasa enjin meningkat kepada rpm yang betul secara mendadak demi anjakan menurun yang cepat dan lancar.
Ciri-ciri unik seperti Pilihan Mod Memandu (Drive Mode Selector), merupakan sistem kawalan integrasi yang membenarkan pemandu membuat pilihan daripada empat jenis mod pemanduan bergantung kepada keadaan jalan atau corak pemanduan yang diingini, dengan satu butang dail yang terletak di konsol tengah. Setiap mod pemanduan, sama ada Standard, Eco, Sport atau Snow, menyesuaikan kepekaan pendikit dengan pemetaan transmisi untuk membantu mengoptimumkan prestasi.
Mod pemanduan Sport diprogramkan dengan titik anjakan transmisi yang lebih tinggi dan daya pecutan yang lebih kuat.
Anggaran penjimatan bahan api (kombinasi) dicatatkan pada 12.1km/L untuk varian Q70 2.5L, 11.8km/L untuk varian Q70 3.7L dan 14.5km/L untuk varian Q70 3.5 Hibrid.
Susun atur enjin depan-tengah Q70 dengan enjin diletakkan di belakang gandar, tetapi di bahagian hadapan pemandu, dapat mengagihkan berat kereta dari depan hingga belakang dengan baik.
Dengan berat gandar depan yang lebih sedikit daripada gandar belakang, ia berkemampuan untuk mengoptimumkan respons dan halaan. Ia adalah sedan sport sepenuhnya.
Setiap jenis varian Q70 didatangkan dengan Vehicle Dynamic Conrol (VDC) bersama Traction Control System (TCS) Infiniti yang canggih. VDC dapat menyelaraskan tekanan brek dan tork enjin secara automatik pada keadaan tertentu semasa kenderaan hampir mencapai had pengendalian, agar membantu pemandu mengawal kenderaan dengan berkesan.
CIRI-CIRI KESELAMATAN
Infiniti Q70 dilengkapi dengan 6 beg udara; beg udara depan, dua beg udara tepi yang dipasang pada tempat duduk hadapan dan beg udara langsir standard yang dipasang pada bumbung kereta, memberikan perlindungan kepala kepada penumpang depan dan belakang.
Ia juga dilengkapi tali pinggang keledar Pre-Crash hadapan dengan pra-penegang dan pengehad beban yang akan menegang pada ketika brek, manakala Sandaran Kepala Depan Aktif membantu melindungi bahagian kepala daripada kecederaan jenis whiplash. Perlindungan untuk semua penumpang dan pemandu dengan binaan Zon Badan zon remuk hadapan dan belakang serta Sistem cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.
Penampilan Infiniti Q70 disempurnakan dalam lima warna pilihan: Hermosa Blue, Malbec Black, Liquid Platinum, Graphite Shadow dan Moonlight White dengan kemasan mutiara.
Q70 akan dipamerkan dan sedia menerima pandu uji di Pusat Infiniti Kuala Lumpur mulai 10hb Jun.
Harga jualan termasuk GST (kecuali insurans):
- Q70 2.5L : RM295,000
- Q70 3.7L : RM375,000
- Q70 3.5L Hibrid : RM420,000
No Comment