MIROS Kembali Berkerjasama Dengan SCANIA Mempromosikan Pemanduan Selamat
Keselamatan jalan raya bermula dengan etika memandu yang baik, satu-satunya kesedaran dan amalan yang patut diutamakan semua pemandu kenderaan di jalan raya. Satu daripada agensi kerajaan Malaysia yang membuat kajian dan mempromosikan amalan tersebut ialah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), yang kini kembali untuk bekerjasama menjayakan Pertandingan Pemandu Scania 2014/2015 Malaysia-Singapore (SDC). Dilangsungkan pada Oktober ini, SDC juga berjaya mendapat penglibatan satu daripada jabatan pengangkutan darat terpenting di negara ini, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR). MIROS membuat penyelidikan berimpak tinggi untuk diterjemahkan kepada polisi keselamatan jalan raya, mengenalpasti objektif kebangsaan dalam usaha tersebut, memantapkan dan meningkatkan pengetahuan keselamatan jalan raya, dan memberi konsultasi serta nasihat berkaitan dengan isu keselamatan jalan raya di pusatnya.
MIROS dan SDC kedua-duanya mengutamakan advokasi pemanduan selamat, penjimatan bahan api dan penjagaan alam untuk memelihara kepentingan pemandu, operator kenderaan pengangkutan dan semua pengguna jalan raya, dengan tumpuan diberikan kepada pemandu kenderaan pengangkutan yang merupakan aset terpenting sesebuah syarikat dari segi keselamatan. Semua ini akan diterjemahkan kepada keuntungan bagi operator kenderaan komersial. “Pemanduan berhemah adalah baik untuk keselamatan pemandu lain, baik untuk penumpang, baik untuk menjaga muatan yang dihantar, baik untuk mengoptimumkan hayat kenderaan, baik untuk mengurangkan kos penyelenggaraan dan baik untuk meningkatkan keuntungan bagi operator kenderaan; dan kami amat berbesar hati untuk berkongsi landasan ini bersama-sama MIROS di SDC untuk mempromosikannya,” kata Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Scania Asia Tenggara, Ian Tan. Banyak daripada langkah keselamatan yang dipromosikan MIROS dapat disaksikan dalam SDC, satu daripada pemanduan bas dan trak yang paling mencabar yang pernah dialami pemandu profesional di negara ini. Sebagai contoh, dalam situasi kenderaan terbakar, peserta SDC akan diajar tindakan susulan yang wajar dan cara menggunakan alat pemadam api dengan betul sementara menunggu ahli bomba tiba ke tempat kejadian.
Kajian MIROS telah menunjukkan bahawa aplikasi pemikiran logis dalam teknik memandu, seperti memperlahankan kenderaan dengan separuh muatan di bulatan jalan untuk mengimbangkan berat beban harus diamalkan oleh semua pemadu demi keselamatan. “Semua amalan dan tabiat terbaik diutarakan oleh pihak kami yang menghasilkan situasi menang-menang kepada semua pihak akan diuji dalam SDC untuk mencerminkan objektif MIROS ke arah meningkatkan kesedaran keselamatan di jalan raya. Operator angkatan kenderaan Scania juga dapat kesempatan untuk membangunkan angkatan pemandu yang lebih profesional dan stabil dengan kemahiran lengkap untuk menjayakan perniagaan mereka, sekali gus membawa keuntungan lumayan dan berterusan dalam jangka waktu panjang,” kata Professor Dr Wong Shaw Voon, Ketua Pengarah MIROS. Pertandingan Pemandu Scania 2014/2015 Malaysia-Singapura akan meneruskan tradisi Scania untuk meningkatkan status pemandu dan memberi landasan untuk menyebarkan peraturan dan isu-isu jalan raya terkini, dengan objektif utama meningkatkan keselamatan jalan raya untuk semua pengguna di Malaysia dan Singapura.
No Comment