Berita Auto

BMW Group Malaysia Lancar Pemasangan Tempatan Terbaru – BMW X6

Di acara pembukaan ibu pejabat BMW Group Malaysia yang baru di Cyberjaya. BMW baru ini merupakan varian model kesembilan yang dipasang di Malaysia.

BMW Group Malaysia hari ini memperkenalkan BMW X6 pemasangan tempatan yang baru dalam bentuk BMW X6 xDrive35i M Sport.

Berucap pada majlis pelancaran tersebut, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia berkata, “Pengenalan BMW X6 pemasangan tempatan menjadikannya model kesembilan yang menyertai portfolio kereta pemasangan tempatan BMW Group Malaysia. Ini jelas membuktikan komitmen dan pelaburan yang kami ada di Malaysia.”

Jelas Harris lagi, “Malaysia terus menjadi hab strategik untuk BMW Group di Asia Tenggara. Selain pemasangan BMW X6 baharu di negara ini, kami juga meraikan majlis pecah tanah Pusat Pengedaran Alat Ganti serantau yang baru di Zon Perdagangan Bebas di Lapangan Antarabangsa Senai, Johor serta pengembangan ibu pejabat kami di Cyberjaya, selari dengan sambutan 11 tahun kami beroperasi di sini.”

BMW X6 xDrive35i M Sport pemasangan tempatan yang baru ini nyata mengukuhkan lagi posisinya di dalam kelasnya menerusi tarikan luar biasa, prestasi mengagumkan dan inovasi kemewahan. Semua ini ditunjukkan melalui penampilan yang lebih menyerlah di atas jalan raya.  Dengan reka bentuk yang sporty dan atletik, peningkatan prestasi, penjimatan bahan api serta rangkaian ciri standard yang lebih komprehensif, BMW X6 pemasangan tempatan baharu itu bakal melakar kejayaan buat pengeluar kenderaan premium ini di Malaysia.

“Sehingga Ogos lalu, kami telah menyerahkan sebanyak 5,610 unit kenderaan ke seluruh negara. Ia melibatkan 4,475 unit BMW, 481 MINI dan 654 motosikal BMW Motorrad. Saya yakin bahawa BMW Group Malaysia akan terus maju, sama seperti rakan-rakan kami di seluruh dunia,” kata Harris.

BMW 01 (1)

Reka bentuk: sifat atletik yang ekstrovert & kemewahan sebuah X.

BMW X6 pemasangan tempatan baharu membawakan reka bentuk ekstrovert yang menggabungkan karekter versatil model-model BMW X dengan BMW coupé yang sporty. Jika dilihat dari arah hadapan, model Sports Activity Coupé pemasangan tempatan baharu ini didominasi oleh gril kidney yang lebar sehingga ke lampu utama Adaptive LED serta lampu kabus LED. Kedua-dua lampu itu hadir sebagai ciri standard.

Tipikal sebuah model SAC dengan gaya coupé yang elegan, ia mempunyai garis bumbung yang rata. Sementara garis kedua yang runcing pada bahagian sisi memberikan gambaran prestasi untuk melengkapkan penampilan jentera ini yang tegap dan penuh kuasa. Pakej M Sport yang dipasang sebagai ciri standard terdiri daripada pakej M Aerodynamics dan Suspensi Adaptive M. Ia juga hadir bersama rim aloi ringan jejari berkembar M bersaiz 20 inci.

Ruang dalaman BMW X6 pemasangan tempatan baharu dilihat benar-benar menjelaskan peranan luar biasa jentera ini dalam segmen SAC premium. Dengan warna kabin yang istimewa, kemasan eksklusif dan upsholteri kulit Dakota, SAC baharu ini sememangnya direka untuk pemandu. Kokpit ini mengambil manfaat rekaan BMW yang berorientasikan kepada pemandu bersama ciri-ciri seperti paparan instrumen multi fungsi dengan teknologi panel hitam. Garis horizontalnya memanjang dari panel instrumen ke bahagian pintu. Sekali gus menyerlahkan ambien kabin yang mewah dan selesa. Ciri-ciri lain yang ada di ruang kabin BMW X6 pemasangan tempatan baharu ini termasuklah pendingin hawa empat zon dan lampu ambien eksklusif yang diletakkan pada ketinggian bahu.

Untuk menyerlahkan lagi aspek-aspek dinamik BMW X6 pemasangan tempatan baharu ini, pakej M Sport turut menampilkan tempat duduk sporty yag boleh dilaras secara elektrik bersama fungsi memori untuk kerusi hadapan. Stereng M yang dibalut kulit itu dilengkapi butang pelbagai fungsi, paddle shifter dan tuil pilihan kedudukan gear Sport. Kontur SAC baharu yang elegan ini juga disertakan dengan kemasan bumbung berwarna gelap dan kemasan dalaman Aluminium Hexagon.

Enjin: tawar prestasi, kecekapan mengagumkan.

Jentera ini digerakkan oleh enjin petrol enam silinder bersesaran tiga liter yang memiliki semua ciri BMW EfficientDynamics. Ia bagi memastikan SAC baharu ini menawarkan prestasi lebih hebat dan penjimatan bahan api yang telah dipertingkatkan.

BMW X6 xDrive35i M Sport pemasangan tempatan baharu ini memiliki kuasa sehingga 306hp dan tork puncak 400Nm. Ia mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa hanya 6.4 saat dengan pecutan maksimum 240 km/j. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi sport Steptronic lapan kelajuan untuk penukaran gear yang lancar dan penjimatan bahan api. BMW X6 xDrive35i M Sport pemasangan tempatan baharu berupaya mencatat purata penggunaan bahan api 8.6l/100km dan emisi CO2 200g/km.

Ciri tambahan BMW EfficientDynamics termasuklah fungsi Launch Control dan jangkaan rangkaian kuasa. Jika dilihat dengan lebih teliti, BMW X6 xDrive35i M Sport pemasangan tempatan baharu juga dilengkapi Air Curtains, Air Breathers dan corong udara untuk meningkatkan aliran udara dan mengurangkan penggunaan bahan api. Ciri Driving Experience Control dengan mode ECO PRO yang tampil sebagai ciri standard pula menawarkan ciri penjimatan bahan api seperti fungsi luncuran.

Lakaran chasis termaju melibatkan suspensi hadapan jenis double-wishbone dan sistem pacuan semua roda pintar xDrive dipasang pada BMW X6 xDrive35i M Sport pemasangan tempatan baharu. Ia menawarkan pemanduan yang selesa dan lebih stabil.  Tahap keselesaan dan sporty BMW X6 xDrive35i M Sport pemasangan tempatan baharu ini dipertingkatkan lagi menerusi pakej Adaptive M Suspension yang merangkumi Dynamic Damper Control dan suspensi belakang pneumatik bersama talaan sporty.

BMW 02 (1)

BMW ConnectedDrive: sistem ketersambungan pintar tidak kira ke mana pun destinasinya.

BMW X6 xDrive35i M Sport pemasangan tempatan baharu memiliki ciri lengkap untuk menawarkan keseronokan pemanduan yang cukup sinonim dengan BMW. Contoh paling jelas ialah rangkaian ciri BMW ConnectedDrive yang ekstensif, merangkumi paparan berdefinisi tinggi Head-Up Display berwarna dan BMW Selective Beam untuk menjelaskan penanda aras segmen SAC premium.

Satu lagi sistem bantuan pemanduan unik yang ada pada BMW X6 xDrive35i M Sport pemasangan tempatan baharu ialah Surround View 360◦. Ia menawarkan pandangan 360 darjah ketika memarkir kenderaan, mengubah haluan dan masuk ke dalam ruang-ruang tertentu. Driving Assistant, satu sistem berasaskan kamera menggabungkan ciri-ciri amaran seperti Lane Departure Warning dengan Approach Warning dan Pedestrian Warning serta fungsi brek membuatkan pemandu lebih peka apabila kenderaan mula keluar dari garis jalan raya. Jika wujud kemungkinan berlakunya pelanggaran, sistem ini akan menekan brek kecemasan. Ciri infotaimen tambahan termasuklah BMW Apps yang menawarkan asas integrasi telefon pintar seperti akses Facebook, Twitter, Spotify dan banyak lagi di dalam kenderaan.

BMW X6 xDrive35i M Sport pemasangan tempatan baharu didatangkan dalam warna putih (Alpine White), merah (Flamenco Red), hitam (Carbon Black) dan kelabu (Space Grey), bersama pilihan warna upholsteri kulit Dakota seperti hitam (Black), merah (Coral Red) dan coklat (Cognac).

Harga runcit (di atas jalan, tidak termasuk insurans bersama Jaminan Perbatuan Tanpa Had selama 5 tahun BMW Malaysia dan Program Servis Berjadual Percuma) untuk BMW X6 xDrive35i M Sport baharu yang dipasang tempatan ialah RM 666,888.

BMW 03 (2)

 

Previous post

4-Gen Toyota Prius Generasi Keempat Terungkap. Jualanan Akhir 2015

Next post

Isuzu Kekal Sebagai Penaja Utama Borneo Safari

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *