Isuzu Kekal Sebagai Penaja Utama Borneo Safari
Edisi jubli perak Borneo Safari pada tahun ini akan menerima sokongan penuh daripada Isuzu Malaysia selepas syarikat tersebut mengesahkan dirinya sebagai Penaja Berlian (Diamond Sponsor).
Pengesahan itu diumumkan selepas mesyuarat di antara Pengarah Eksekutif Isuzu Malaysia, Hajime Machimura dan Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah, Faez Nordin di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dengan perjanjian ini, Isuzu Malaysia akan terus menyokong acara off-road paling mencabar di Asia itu untuk sembilan tahun berturut-turut. Ia mula terlibat dalam acara itu sebagai rakan media pada tahun 2006.
“Hubungan rapat kami dengan Borneo Safari sudah berlangsung hampir sedekad apabila Isuzu Malaysia mula bertapak di negara ini. Kami berbesar hati untuk melihat sepanjang tahun-tahun tersebut, acara Borneo Safari dan reputasi Isuzu sebagai salah sebuah kenderaan 4×4 paling lasak di pasaran telah berkembang dengan signifikan,” kata Machimura.
Pada tahun ini, Borneo Safari akan diadakan pada 25 Oktober hingga 1 November 2015. Ia dijangka menarik minat jumlah penyertaan yang sangat memberangsangkan dengan konvoi dijangka mencecah lebih daripada 200 buah kenderaan. Acara pada tahun ini direka agar lebih kompak dari segi jaraknya, namun cabaran tetap sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Acara tahun ini akan tertumpu kepada kawasan tinggi Keningau dan Tenom, di mana laluannya dijangka sangat sukar dan mencabar.
Bercakap selepas menyuarat itu, Faez Nordin mengakui bahawa sumbangan Isuzu sepanjang beberapa tahun ini telah memberi kesan mendalam ke atas Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah, terutama dari segi pendedahan tentang acara Borneo Safari.
“Kami sangat berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh Isuzu Malaysia kepada Borneo Safari selama ini. Bukan sahaja dari segi penajaaan, malah membantu memberi publisiti media terhadap acara ini. Ia telah menjadi satu bentuk kerjasama yang berpanjangan dan penuh makna. Kami sangat gembira kerana dapat bersama Isuzu sekali lagi bagi acara edisi jubi perak ini,” kata Faez.
Dengan peningkatan minat media terhadap acara ini, Isuzu Malaysia akan menyediakan tiga buah unit Isuzu D-MAX yang sangat berkemampuan kepada penganjur untuk membawa media-media tempatan sepanjang acara tersebut.
Ketiga-tiga unit Isuzu D-MAX akan menerima modifikasi yang minimum bagi membolehkannya disesuaikan dengan pemanduan off-road yang cukup mencabar. Antara penambahbaikan itu adalah pemasangan tayar untuk laluan berlumpur, pelindung enjin dan badan kenderaan serta winch elektrik.
No Comment