Gaya Hidup / Lifestyle

‘Fish’ Karya Gan Yu Long Menang Hadiah Utama BMW Shorties 2015.

BMW Shorties menganugerahkan ‘Fish’, sebuah filem pendek karya Gan Yu Long sebagai pemenang pada malam anugerah pertandingan BMW Shorties 2015 edisi kesembilan.

Selaku pemenang Hadiah Utama BMW Shorties 2015, Gan Yu Long menerima geran produksi berjumlah RM75,000 daripada BMW Group Malaysia. Gan Yu Long juga akan menerima bimbingan daripada panel juri untuk menghasilkan filem pendek profesional beliau yang seterusnya.

Menerusi filem pendek ‘Fish’, pembikin filem Gan Yu Long menginterpretasikan gaya hidup dan falsafah kerja keras serta ketaatan dalam sebuah keluarga Cina konservatif di Malaysia. Ia berkisar tentang kisah seorang budak lelaki berbangsa Cina di mana keghairahan dan kreativitinya dihalang oleh pandangan konservatif tentang kerja keras dan pencapaian keluarganya. Filem pendek itu berbicara tentang hilangnya semangat dan kreativiti akibat kepercayaan tradisional terhadap aspek ketaatan dan kesamaan yang membosankan. Watak utamanya dilihat melupakan cita-cita kreatif, minat dan sikap yang periang kerana terpaksa akur dengan rutin harian, kebiasaan dan tindakan yang melulu. Gabungan itulah yang menjadikan filem pendek beliau pilihan utama dalam panel kalangan juri pada tahun ini.

BMW 02

Pada majlis anugerah tersebut, Gan Yu Long berkata, “Memenangi hadiah utama BMW Shorties sememangnya satu kejutan yang menyenangkan. Saya dan seluruh pasukan sangat teruja dengan kemenangan ini. Kami kini tidak sabar untuk menghasilkan filem seterusnya dengan geran produksi ini. Apabila tema ‘Perubahan’ diumumkan, muncul idea untuk saya menghasilkan sebuah filem yang bercerita tentang tingkah laku ketaatan dan kerja keras yang sering diamalkan oleh keluarga Cina tradisional di Malaysia. Anda boleh lihat perkara ini dengan jelas dalam karekter para pelajar di sekolah Cina di seluruh Malaysia. Saya ingin menjelaskan perkara ini dalam satu cerita tentang impian, kesungguhan dan cita-cita.”

‘Fish’ mampu memberi kesan mendalam sewaktu sesi perbincangan para juri pada tahun ini kerana Gan Yu Long bijak menggunakan pengisahan visual yang mantap tentang sikap konservatif masyarakat Cina. Malah, ‘Fish’ dipilih sebagai pemenang Hadiah Utama kerana kemampuannya untuk berkomunikasi dengan penuh impresi dan fenomenologi. Tetapi pada masa yang sama menggambarkan budaya masyarakat Cina kepada penontonnya.

Salah seorang juri BMW Shorties 2015, Affandi Jamaluddin berkata, “Setelah kembali menjadi juri BMW Shorties selepas lapan tahun, tidak dapat dinafikan bahawa ‘Fish’ adalah bukti kematangan pembikin filem muda di Malaysia. Secara asasnya, ia mungkin kelihatan seperti sebuah filem pendek yang jelas dan mudah. Namun, sebaik sahaja minit pertama berlalu, filem pendek ini mula menawarkan pandangan-pandangan kritis  menerusi momen-momen yang adakalanya seperti sukar difahami, tetapi sebenarnya penuh dengan emosi. Ia disampaikan melalui input-input yang bijak oleh pengarahnya  sepanjang filem pendek ini dimainkan.”

Seorang lagi juri BMW Shorties 2015, Ismail Kamarul setuju dan menyatakan bahawa  ‘Fish’ menunjukkan keupayaan luar biasa pengarahnya untuk meneroka kesan psikologi di antara seorang bapa yang tegas dengan anaknya.

BMW 03 (1)

Sementara itu, Rajay Singh yang juga seorang juri BMW Shorties 2015 mengakui beliau kagum dengan hala tuju kreatif pengarah yang digambarkan dengan begitu baik. Jelas Rajay, “Walaupun ia nampak ringkas, sinematografi yang bijak dan rekaan bunyi benar-benar membantu membawa kita menyusuri kisah ini. Memang mengagumkan untuk melihat bakat sebegini ada dalam diri seorang pembikin filem muda di Malaysia.”

Menurut Juri BMW Shorties 2015, Nandita Soloman, “Filem pendek adalah satu karya yang berpengaruh. Menerusi penggunaan rekaan produksi yang bijak, anda boleh melihat sejumlah pandangan dinyatakan satu sebuah filem pendek. Sekali gus menjadikannya lebih menarik, jujur dan dramatik.”

Penerbit dan pembuat filem komersial veteran, Lina Tan yang juga juri untuk BMW Shorties pada tahun ini berkata, “Kesan visual yang mengasyikkan dalam ‘Fish’ ditingkatkan dengan bijak menerusi rekaan bunyi. Ia memainkan peranan penting dalam aspek penceritaan. Maka, tidak dapat dinafikan bahawa ini adalah kombinasi perkataan, muzik, bunyi dan gambar yang bijak.”

Secara keseluruhannya, ‘Fish’ membawa pulang anugerah Pengarah Terbaik, Sinematografi Terbaik, Reka Bunyi Terbaik dan Rekaan Produksi terbaik.  ‘Fish’ turut dicalonkan untuk anugerah Lakon Layar Terbaik dan Suntingan Terbaik.

“Sepanjang sembilan tahun program BMW Shorties dijalankan, kami telah melihat para pemenang dan peserta sebelum ini berjaya membina kerjaya dalam industri pengiklanan dan perfileman di Malaysia. Mereka mampu mencapai kejayaan lebih hebat dalam bidang pembikinan filem sama ada di Malaysia atau di luar negara. Kami di BMW Group Malaysia sangat bangga kerana dapat mencungkil bakat dan memberi mereka peluang-peluang seperti ini,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Alan Harris.

Menurut Harris lagi, dengan tema ‘Perubahan’ pada tahun ini, para juri mendapati bahawa rakyat Malaysia sememangnya mempunyai kreativiti, kesungguhan, idea dan kemampuan. Bukan sahaja untuk menghasilkan filem pendek yang bagus serta hasil seni hebat, malah berkongsi pandangan sosial dan menyuarakan kebimbangan mereka menerusi seni.

Pada tahun ini, syarikat produksi yang dipimpin oleh Lina Tan, Red Films akan menawarkan geran kepada pemenang lakon layar terbaik Audrie Yeo dan Fatimah Ruzaimi dalam ‘Gigi’ untuk menghasilkan filem pendek yang akan dipaparkan di Feefo.TV.

Senarai Pemenang Hadiah Utama dan finalis filem pendek BMW Shorties boleh dilihat di laman web BMW Shorties (www.bmwshorties.com.my). Maklumat lanjut, sila layari laman Facebook BMW Shorties di http://www.facebook.com/BMWShorties.

Previous post

Volvo Mendapat Anugerah Keselamatan Industri Tertinggi

Next post

HondaJet Disahkan Oleh FAA sebagai Type Certified

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *