Para Pereka Kitar Semula Fabrik Tempat Duduk Kereta Ford Menjadi Busana Mewah
Ford Motor Company dan Redress – sebuah NGO yang komited dalam mempromosikan kelestarian alam sekitar dalam industri fesyen mengumumkan Pan Wen dari China dan Amy Ward dari United Kingdom sebagai pemenang Forum Redress 2016: Cabaran Rekaan Ford (The Redress Forum 2016: Ford Design Challenge). Diadakan pada 15 Januari, acara itu mencabar 10 orang finalis dalam pertandingan Anugerah Reka Bentuk EcoChic 2015/16 untuk menghasilkan rekaan fesyen busana menggunakan fabrik-fabrik tempat duduk mapan yang digunakan di dalam kenderaan Ford.
Para pereka yang sedang meningkat naik dari Hong Kong, China, Thailand, Poland, Sepanyol dan United Kingdom – mempersembahkan gabungan rekaan mengagumkan yang terdiri daripada gaun-gaun couture (busana mewah yang dihasil menggunakan jahitan tangan) hinggalah pakaian berinspirasikan spiritual.
Rekaan yang menang ialah sehelai gaun tidak simetrikal labuh. Ia menggunakan fabrik-fabrik semula jadi dan tembaga berwarna kontras yang diinspirasikan daripada laluan bawah jambatan yang sunyi di Victoria Peak, Hong Kong, lokasi popular buat para pelancong untuk merakam gambar ikonik bandaraya tersebut. Rekaan itu nyata menyerlahkan kemapanan industri fesyen.
“Dengan rekaan jelas dan kemasan yang tersebunyi, kami mahu menghasilkan sesuatu yang mendorong pemakainya untuk meneroka dan mengetahui tentang pakaiannya,” kata Amy Ward. “Daripada mengambil gambaran hutan batu untuk inspirasi, kami sebaliknya melihat lebih dekat dan gemarkan suasana industri lokasi tersebut, kemudian fokus kepada perinciannya dengan lebih halus.”
Pakaian yang memenangi anugerah itu dijahit dalam masa cuma tiga jam setengah, sebelum diikuti dengan satu bengkel pendidikan berkaitan impak reka bentuk terhadap kelestarian produk. Dialog di dalam bengkel tersebut mempromosikan pandangan berbilang industri untuk penyelesaian yang mapan.
Semua pakaian yang dihasilkan dalam cabaran ini akan dipamerkan di pentas peragaan pada Minggu Fesyen Hong Kong HKTDC. Ia adalah sebahagian daripada pertunjukan fesyen terakhir untuk Anugerah Rekaan EcoChic 2015/2016. Acara ini juga akan menjadi debut kepada fabrik mapan Ford dalam Minggu Fesyen Hong Kong secara rasminya.
“Dalam cabaran rekaan ini, kami melengkapkan para pereka fesyen berbakat ini dengan fabrik tempat duduk Ford yang diperbuat daripada botol plastik kitar semula,” kata Pereka Kanan, Warna dan Reka Bentuk Material Ford Asia Pasifik, Marie Smyth. “Kami memberikan mereka peluang untuk menggunakan material alternatif ini dan menunjukkan bahawa fabrik-fabrik mesra alam boleh datang daripada sumber-sumber yang tidak disangka.
“Sebagai pereka fesyen, kami sentiasa perlu berpandangan jauh – sama ada dari segi gaya masa depan dan cabaran alam sekitar. Apabila kami duduk untuk mereka bentuk sesuatu produk, kami sentiasa mencari cara baharu untk mengurangkan impaknya ke atas alam sekitar. Jadi, apabila ia berkaitan dengan aspek kelestarian, para pereka fesyen mempunyai tanggungjawab yang besar – sesuatu yang menjadi minat utama kami.”
Pengasas dan ketua Pegawai Eksekutif Redress, Christina Dean berkata, “Setiap industri perlu mengambil tanggungjawab dan berinovasi untuk perubahan yang amat diperlukan dalam perniagaan, demi menjaga masa depan planet ini.
“Bahan buangan tekstil merupakan masalah yang kian meruncing di banyak negara, berikutan produksi dan penggunaan pakaian yang terus meningkat. Ini merupakan tahun kedua berturut-turut kami bekerjasama dengan Ford. Kami sangat teruja bekerjasama dengan mereka untuk meningkatkan kesedaran mengenai cara-cara yang inovatif bagi mengurangkan bahan buangan menerusi rekaan yang lebih baik. Rekaan mapan adalah relevan untuk industri fesyen dan automotif.”
“Kami menjangkakan material-material yang digunakan dalam cabaran ini adalah lebih berat dan sukar untuk diuruskan. Namun kami terkejut ia boleh digunakan dengan begitu mudah,” kata Pan Wen. “Bekerja menggunakan fabrik Ford pada hari ini sememangnya memberikan saya inspirasi untuk mendapatkan lebih banyak fabrik yang mapan dalam rekaan saya pada masa depan.”
Penajaan Ford terhadap The EcoChic Design Award 2015/16 membuktikan komitmen jangka panjang dan berterusannya terhadap kajian rekaan yang mapan. Selain fabrik tempat duduk, Ford turut menghasilkan kotak-kotak penyimpanan barang menggunakan jerami, papan pemuka dialas dengan kain kapas terbuang daripada jeans kitar semula dan busa tempat duduk bioplastik yang diperbuat daripada kacang soya.
Hari ini, syarikat terus bereksperimen dengan biomaterial-biomaterial yang baru. Ini termasuklah menggunakan serat daripada kulit tomato, benih, stem dan wang kertas lusuh bagi mengurangkan penggunaan petroleum dalam penghasilan bekas sampah serta alat-alat ganti plastik yang lain dalam ruang kabin kenderaan. Pasukan penyelidikan juga bereksperimentasi dengan biomimicry untuk membangunkan pelekat mapan bagi kegunaan di bahagian bawah hud. Semua usaha ini adalah sebahagian daripada strategi kelestarian global Ford untuk mengurangkan impak ke atas alam sekitar.
No Comment