Jualan Bulan Januari Ford Dipacu oleh Ranger Baharu
Ford hari ini mengumumkan jualan runcit pada bulan Januari di Malaysia mencecah 792 unit. Ia dipacu oleh trak pikap Ranger yang mendefinisikan kembali kelasnya dengan menyumbang jualan sebanyak 687 unit.
Selain menjadi trak pikap paling berkuasa di Malaysia, Ranger turut menampilkan gabungan keupayaan yang tiada tandingannya. Ini termasuklah kemampuan mengangkut beban dan mengharung air dalam kelasnya, serta teknologi tercanggih.
Ranger dilengkapi rangkaian sistem keselamatan pasif dan aktif. Antaranya, sehingga enam beg udara dan teknologi bantuan pemandu seperti Lane Keeping Aid dan Adaptive Cruise Control. Electronic Stability Control (ESC) dan cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak, ISOFIX juga didatangkan sebagai ciri standard. Sekali gus menjadikan Ranger sebagai satu-satunya trak pikap yang menawarkan dua ciri keselamatan penting itu pada semua variannya di Malaysia.
Kemampuan sistem keselamatan pada Ranger baharu baru-baru ini diiktiraf oleh Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN NCAP) menerusi penarafan maksimum lima bintang. Ranger turut menerima skor paling tinggi dari segi Perlindungan Penumpang Dewasa berbanding mana-mana trak pikap lain yang pernah diuji.
“Kami mempunyai momentum kerana permintaan terhadap Ranger terus kukuh di seluruh negara,” kata Pengarah Urusan, Malaysia dan Pasaran Membangun Asia Pasifik, Ford Motor Company, David Westerman. “Rakyat Malaysia nyata memberi maklum balas yang positif kerana Ranger baharu menggabungkan kemampuan dan kelasakan yang mendahului kelasnya dengan tahap kehalusan yang biasanya ada pada kereta penumpang premium.”
Ford menjangkakan jualan akan terus meningkat pada beberapa bulan akan datang kerana syarikat merancang untuk melancarkan beberapa model baharu seperti Mustang yang ikonik, Focus baharu, SUV Everest dan MPV S-MAX serba baharu.
No Comment