Honda Malaysia Sasar Jualan 90,000 Unit Pada Tahun 2016
Honda Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia atau Syarikat) hari ini berkongsi tentang prestasi jualan Syarikat untuk tahun 2015, selain mengumumkan perancangan dan strategi bagi tahun 2016.
Berucap pada majlis itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Encik Yoichiro Ueno berkata, “2015 adalah tahun yang mencabar buat industri automotif Malaysia kerana kita berdepan dengan kelembapan ekonomi berikutan penyusutan nilai Ringgit, pelaksanaan GST (Goods and Services Tax) dan kejatuhan harga minyak. TIV (Total Industry Volume) di Malaysia mencatat 666,674 unit, hampir tidak berganjak berbanding tahun sebelumnya. Namun di sebalik keadaan pasaran yang sukar dan kompetitif, Honda masih mampu memperoleh pencapaian yang baik. 2015 menjadi tahun signifikasi buat Honda Malaysia.
“Buat pertama kalinya, kami berjaya menjadi No. 1 dalam Segmen Kenderaan Bukan Nasional dengan rekod jualan 94,902 unit. Ia merupakan pertumbuhan Tahun ke Tahun sebanyak 22% disamping menguasai 14.2% perkongsian pasaran. Pada Disember 2015, jualan kami mencecah rekod bulanan tertinggi dengan 10,741 unit, pertama kali mencapai jualan lima angka,” tambah Encik Ueno.
Honda melancarkan dua model SUV pada tahun 2015. Honda CR-V serta HR-V nyata mendapat sambutan hangat daripada pengguna di Malaysia dan kami kini menerajui segmen SUV. Permintaan pasaran terhadap City dan Jazz juga kukuh, sekali gus menyumbang kira-kira 58% kepada jualan keseluruhan. Kedua-dua model ini menerajui segmen masing-masing. Honda juga berjaya menembusi pasaran Malaysia Timur yang menyumbang pertumbuhan jualan paling tinggi iaitu 36% berbanding tahun sebelumnya.
Untuk tahun 2016, Honda telah menetapkan sasaran jualan sebanyak 90,000 unit. Sasaran ini dibuat meskipun TIV dijangka akan menyusut di antara 4% hingga 5% atau sebanyak 630,000 hingga 640,000 unit pada tahun 2016. Ini berikutan tekanan ekonomi, kejatuhan harga minyak dan penyusutan nilai Ringgit. Biarpun jumlah keseluruhan TIV menurun pada dua bulan pertama 2016, Honda bagaimanapun ingin mengekalkan sasaran ini untuk terus kukuh di pasaran Malaysia.
Bagi menyokong sasaran jualan yang agresif itu, Honda merancang untuk melancarkan dua model CKD (Completely Knock-Down) yang dilengkapi pelbagai ciri termaju. Honda terus komited untuk menawarkan produk yang berbaloi selain memberi keseronokan dan inspirasi kepada para pelanggan. “Fokus kami adalah untuk terus mencapai kepuasan pelanggan ke tahap paling tinggi dengan meningkatkan jenama Honda dan menawarkan pengalaman pelanggan yang terbaik. Kami akan menambah jumlah pengedaran serta Pusat Badan dan Cat (BP) demi memberi perkhidmatan kepada lebih ramai pelanggan di seluruh negara. Kami mensasarkan untuk menambah kepada 95 pengedar dan 20 pusat BP, berbanding 87 pengedar dan 14 pusat BP pada masa sekarang. Kami juga akan memperkenalkan pengedar Satelit 2S untuk menjangkau para pelanggan di kawasan pinggir bandar. Kami ingin menawarkan perkhidmatan selepas jualan profesional kepada semua pelanggan, tidak kira di mana mereka berada,” kata Encik Ueno.
Bagi pasaran Malaysia Timur pula, Honda akan terus melabur dan mengembangkan kewujudannya untuk menembusi pasaran tersebut. “Pada November 2015, kami berjaya membuka Pejabat Serantau di Kota Kinabalu untuk menyokong dan meningkatkan operasi di Malaysia Timur. Kami juga akan membuka sebuah pusat latihan teknikal dalam usaha menyediakan latihan intensif untuk menambah baik kemahiran juruteknik servis,” jelas Encik Ueno.
Menerusi inovasi dan komitmen yang semakin kukuh, Honda tidak sabar untuk memberikan pengalaman Keseronokan Membeli buat para pelanggannya dengan menawarkan produk-produk berkualiti tinggi dan pengalaman perkhidmatan pelanggan yang cemerlang.
No Comment