Berita Auto

BMW Group Malaysia Perkenalkan BMW X1 dan BMW X4 Pemasangan Tempatan. 

BMW Group Malaysia hari ini memperkenalkan dua model pemasangan tempatan yang baru. BMW X1 dan BMW X4 serba baharu menjadi model kesembilan dan kesepuluh yang menyertai portfolio kenderaan yang dipasang di Malaysia.

Ketika berucap dan merasmikan majlis pengenalan tersebut, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II (MITI),  Yang Berhormat Dato’ Seri Ong Ka Chuan berkata, “Kami di MITI gembira kerana BMW Group meneruskan komitmen dan pelaburan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab strategik mereka di rantau ini. Langkah ini bukan sahaja menunjukkan bahawa Malaysia memiliki infrastruktur, tenaga kerja dan kemampuan sewajarnya selaku sebuah negara strategik untuk pelaburan asing. Malah membuktikan Malaysia berada di landasan yang betul untuk menjadi hab automotif Kenderaan Cekap Tenaga di rantau ini.”

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, “BMW X1 dan BMW X4 baharu yang dipasang tempatan ini sememangnya menjadi bukti komitmen dan pelaburan jangka masa panjang kami kepada Malaysia selaku satu hab strategik untuk BMW Group di rantau Asia Tenggara. Secara keseluruhannya, Kilang Pemasangan BMW di Kulim kini memasang lebih 20 varian kenderaan BMW dan MINI di negara ini.”

Jelas Han lagi, pada awal tahun ini, pengeluar kenderaan premium tersebut telah menyemak semula strategi harga sehingga 8% lebih rendah untuk varian-varian BMW 1 Series and BMW 3 Series kerana kenderaan tersebut menerima Insentif Status EEV Khas.

“Hari ini, saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa kami telah menerima insentif sama bagi model BMW 3 Series Gran Turismo, BMW X3 dan BMW 5 Series. Kami akan memanjangkan keistimewaan daripada kerajaan Malaysia ini kepada para pelanggan dengan menurunkan harga sehingga 9%.”

BMW Group Malaysia turut mengumumkan pada tahun 2018, Malaysia akan menjadi hab eksport untuk varian model BMW 3 Series, BMW 5 Series serta BMW 7 Series ke pasaran Vietnam dan Filipina. Kata Han, “Malaysia terus menjadi hab strategik untuk BMW Group di Asia Tenggara. Kami di BMW Group Malaysia gembira kerana dapat meningkatkan tahap kecekapan di sini untuk memasang dan mengeksport kenderaan-kenderaan premium ke pasaran membangun di rantau ini, sekali gus meningkatkan keupayaan kami di rantau ASEAN.”

BMW 02 (4)

BMW X1 Pemasangan Tempatan Baharu.

BMW X1 baharu yang dipasang tempatan ini sudah melalui proses kematangan yang lama. Ia  dapat dilihat dengan jelas melalui rekaan luaran dan dalaman model Kenderaan Aktiviti Sports (SAV) ini. Sebagai SAV paling sporty dalam kelasnya, BMW X1 baharu yang dipasang tempatan ini menyerlahkan aspek rugged dan atletik melalui bentuk baji yang dinamik, sudut arca roda dan posisi sel penumpang yang lebih ke tengah.

Bahagian hadapannya dipasang dengan lampu utama, lampu nyalaan siang dan lampu parkir  LED, lampu membelok dan lampu agihan adaptif. Manakala di bahagian belakang pula menampilkan lampu LED berbentuk L yang lebar.

Perbezaan paling ketara BMW X1 CKD baharu adalah dari segi kefungsian, keselamatan dan keselesaannya. Posisi duduk yang dinaikkan sebanyak 40mm memberikan pemandu dan penumpang beberapa faedah. Antaranya pandangan sekeliling yang lebih baik, sekali gus memberi keselamatan tambahan ketika berada di atas jalan raya. Urusan masuk dan keluar dari kereta juga semakin mudah untuk semua penumpang. Ini hasil kombinasi posisi panel instrumen yang direndahkan dan permukaan tingkap yang besar. Ia nyata memberikan rasa kabin yang luas.

BMW X1 CKD baharu memiliki satu rangkaian inovasi untuk menawarkan pemanduan yang sporty. Ini termasuklah enjin bersesaran 2.0 liter dengan teknologi BMW TwinPower Turbo yang mampu menjana 192hp dan tork puncak 280Nm. Kuasa tarikan serta-merta membolehkannya memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa hanya 7.7 saat dengan pecutan maksimum 225km/j. Purata penggunaan bahan api ialah sekitar 5.9 kilometer bagi setiap 100km. Manakala emisi C02 berada pada 136 grams bagi setiap kilometer.

Angka-angka yang mengagumkan ini kemudian digabungkan dengan ciri BMW EfficientLightweight dan aerodinamik yang sofistikated untuk meminimumkan seretan serta meningkatkan penjimatan bahan api BMW X1 CKD baharu.

Semua ini disempurnakan dengan teknologi termaju dalam segmennya serta pilihan sistem bantuan pemandu dan perkhidmatan mobiliti yang pelbagai daripada BMW ConnectedDrive. Perkhidmatan dan aplikasi BMW ConnectedDrive merangkumi Panggilan Kecemasan Pintar, Khidmat Concierge dan Remote Services. Sementara sistem Bantuan Pemandu BMW ConnectedDrive ialah Parkir Pintar dan BMW Navigation Professional.

BMW X1 CKD baharu ini didatangkan dalam warna putih (Alpine White), hitam (Black Sapphire), kelabu (Mineral Grey) dan Sparkling Storm untuk varian petrol. Manakala warna hitam (Black Sapphire), putih (Alpine White), kelabu (Mineral Grey), perak (Glacier Silver) dan biru (Mediterranean Blue) pula untuk varian diesel, bersama pilihan warna upholsteri kulit Dakota berwarna hitam, merah dan coklat.

BMW 03 (4)

BMW X4 Pemasangan Tempatan Baharu.

BMW X4 diperkenalkan buat pertama kali sebagai penerus inovasi BMW dalam segmen Coupe Aktiviti Sport (SAC) bersaiz sederhana. Kini sudah dipasang di dalam negara, BMW X4 sekali lagi menawarkan satu konsep kenderan yang luar biasa dan revolusionari. BMW X4 CKD baharu ini hadir bersama penampilan yang menyerlah di atas jalan raya – reka bentuk hadapan yang maskular dan lincah, garis bumbung rendah gaya coupé serta garis signatur gerumit (swage).

BMW X4 CKD baharu dijana oleh enjin petrol termaju dan teknologi BMW TwinPower Turbo yang memenangi anugerah. Maka, ia mampu menawarkan karekter rev tinggi yang sememangnya sinonim dengan BMW, bersama hantaran kuasa, kehalusan buatan dan kecekapan yang mengagumkan.

Enjin petrol empat silinder bersesaran 2.0 liter yang berupaya menghasilkan kuasa sehingga 245hp dan tork puncak 350Nm itu dipadankan dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan. Pecutan dari 0 hingga 100km/j boleh dicapai dalam masa hanya 6.4 saat. Angka itu kemudian digabungkan dengan purata penggunaan bahan api sekitar 7.3 liter bagi setiap 100km dan emisi CO2 sebanyak 169 gram untuk setiap satu kilometer. Keseronokan pemanduan dan kelincahan yang tiada tandingan BMW X4 CKD baharu terus dipertingkatkan melalui sistem pacuan semua roda pintar BMW xDrive dan Performance Control. Kedua-duanya didatangkan sebagai ciri standard untuk menawarkan cengkaman optimum dan kemampuan mengambil selekoh yang luar biada dalam apa jua keadaan.

Apa yang pasti, BMW X4 CKD baharu menjadi peneraju dalam aspek  ketersambungan di dalam kenderaan melalui satu set  ciri BMW ConnectedDrive yang komprehensif. Ia merangkumi rangkaian pelbagai sistem Bantuan Pemandu, Perkhidmatan serta Aplikasi. Antaranya ialah  Intelligent Emergency Call, Concierge Services dan Remote Services yang mendahului industri.

Warna-warna untuk BMW X4 yang dipasang tempatan ialah putih (Alpine White), hitam (Carbon Black), kelabu (Sophisto Grey), perak (Glacier Silver) dan merah (Melbourne Red). Pilihan upholsteri dalaman pula ialah kulit berwarna coklat (Leather Nevada Mocha) dan hitam (Leather Nevada Black).

BMW 01 (6)

BMW 5 Series Baharu.

Kereta eksekutif premium yang paling berjaya di dunia, BMW 5 Series kini menerima beberapa peralatan tambahan sebagai ciri standard. Penambahan baharu tersebut termasuklah Pakej M Sport, Comfort Access, Tempat Duduk Sports untuk pemandu dan penumpang hadapan. Di samping  BMW ConnectedDrive yang mendahului industri dan ditawarkan sebagai ciri standard pada semua variannya iaitu BMW 520i, BMW 520d dan BMW 528i.

BMW 528i khususnya, menerima ciri tambahan seperti bumbung cermin dan spoiler belakang M untuk menjadikannya lebih sporty. Dari segi tawaran rim pula, BMW 520i M Sport dan BMW 520d M baharu menerima rim aloi M jejari berkembar yang ringan bersaiz 18’’. Sementara   BMW 528i M Sport pula menerima rim aloi M jejari berkembar yang ringan bersaiz 19’’.

BMW 06

Harga runcit baharu dengan Insentif Status Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) (di atas jalan, tidak termasuk insurans bersama Jaminan Perbatuan Tanpa Had selama 5 Tahun terkini daripada BMW Group Malaysia, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Jaminan Tayar) untuk model BMW 3 Series GT, BMW X3 dan BMW 5 Series ialah:

 

  Harga Runcit Sekarang Harga Runcit dengan Insentif EEV
BMW 118i Sport RM 188,800.00 RM 173,800.00
BMW 120i M Sport RM 219,800.00 RM 202,800.00
BMW 318i Luxury RM 219,800.00 RM 202,800.00
BMW 320i Sport RM 249,800.00 RM 231,800.00
BMW 330i M Sport RM 319,800.00 RM 297,800.00
BMW 320d GT RM 296,800.00 RM 278,800.00
BMW 328i GT RM 327,800.00 RM 308,800.00
BMW X3 xDrive 20i RM 325,800.00 RM 296,800.00
BMW X3 xDrive 20d RM 345,800.00 RM 316,800.00
BMW 520d M Sport RM 354,800.00 RM 317,800.00
BMW 520i M Sport RM 367,800.00 RM 329,800.00
BMW 528i M Sport RM 417,800.00 RM 378,800.00

 

BMW 05

Previous post

T-Prime Concept GTE Pratonton Volkswagen SUV Masa Depan

Next post

Pengenalan Sulung Jaguar XF Di Malaysia

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *