BMW G 310 R Baharu Di Bilik Pameran Terpilih Hingga 12 Jun
Selepas beberapa bulan diperkenalkan di peringkat global, motosikal BMW G 310 R kini berada di Malaysia. Menurut BMW Motorrad Malaysia, motosikal berkapasiti kecil itu akan dipamerkan di beberapa bilik pameran BMW terpilih bermula dari 27 Mei hingga 12 Jun.
Seperti yang kita sedia maklum, G 310 R ini dibangunkan oleh pembuat kereta Jerman itu dengan kerjasama sebuah syarikat motosikal India iaitu TVS Motors. Ia dikuasakan oleh enjin 313 cc silinder tunggal yang mampu menjana kuasa sehingga 34 hp @ 9,500 rpm dan 28 Nm @ 7,500 rpm dengan bantuan dari teknologi seperti penyejukan cecair dan sistem suntikan bahan api elektronik.
Motosikal yang seberat 158.5 kg ini mempunyai rangka keluli jenis tiub yang dipadankan dengan sepit udang hadapan terbalik dan lengan berayun di bahagian belakang. Kuasa membrek datang dari brek cakera bersaiz 300 mm di hadapan dan 240 mm di belakang. ABS juga disertakan secara standard.
Berikut adalah tarikh dan lokasi bilik pameran yang terpilih:
- Chear Motorrad, Puchong : 27 Mei – 28 Mei
- Auto Bavaria, Glenmarie : 29 Mei – 30 Mei
- Wearnes Autohaus, Tebrau : 01 Jun – 03 Jun
- Tian Siang Premium Auto, Ipoh : 04 Jun – 05 Jun
- El Chong Motor, Sg. Jawi : 06 Jun – 09 Jun
- Auto Bavaria, Penang : 10 Jun – 12 Jun
No Comment