BMW Rai Ulangtahun Ke-30 M3 Dengan Model Edisi Terhad
Sejak diperkenalkan pada tahun 1986, nama BMW M3 terus dijulang sebagai salah satu kereta sports saiz sederhana yang terbaik di dunia. Model istimewa M3 Edisi Ulangtahun ke-30 ini dibina untuk meraikan kejayaan kereta tersebut dan ianya terhad kepada 500 unit sahaja untuk pasaran seluruh dunia.
Kereta ini didatangkan dalam warna “Macao Blue” metalik yang juga pernah ditawarkan untuk model M3 generasi pertama. Ia juga dihiasi dengan tip ekzos berwarna hitam krom, logo khas “30 Years M3” di bahagian hadapan, serta rim aloi 20 inci dengan reka bentuk bintang ‘666 M’ yang pertama diperkenalkan pada model M4 GTS.
Bahagian dalamannya pula dikemaskinikan dengan sulaman khas pada tempat duduk, kemasan kulit Merino dwi-tona dan juga plat nombor siri pengeluaran di bahagian papan pemuka.
Didatangkan standard dengan Competition Package, M3 Edisi Ulangtahun ke-30 ini menghasilkan kuasa sebanyak 444 hp yang datang dari enjin 3.0 liter enam silindernya. Aspek pengendaliannya dipertingkatkan lagi dengan penambahan sistem gantungan dan differential Adaptive M, serta mod pemanduan (Comfort, Sport dan Sport+) yang diubahsuai.
Di Jerman, model edisi khas ini dijual dengan harga tambahan sebanyak €10,000 jika dibandingkan dengan M3 biasa yang dipasang Competition Package. Ia akan berada di pasaran bermula pertengahan tahun ini.
No Comment