Honda HR-V Kini Dengan Pilihan Warna Dark Ruby Red Pearl
Honda Malaysia hari ini memperkenalkan warna baharu Dark Ruby Red Pearl untuk model HR-V. Warna baru itu, yang pada awalnya ditawarkan pada model Jazz dan City, dipadankan dengan rim bersaiz 17 inci dengan rekaan terkini.
Sejak dilancarkan pada Februari 2015, Honda Malaysia telah berjaya menjual sebanyak 28,500 unit HR-V sehingga April tahun ini. Dengan sasaran jualan sebanyak 1,500 unit sebulan, syarikat itu yakin warna baharu itu akan diterima baik oleh orang ramai.
Selain itu, rak belakang baharu turut ditawarkan kepada pemilik HR-V sebagai aksesori tambahan. Ia boleh didapati di semua 88 pengedar sah Honda pada harga RM550 (termasuk GST).
HR-V dikuasai enjin 1.8 liter SOHC i-VTEC yang dipadankan dengan transmisi jenis CVT, menjadikan ia berstatus kenderaan cekap tenaga (EEV). Ia juga mempunyai kelebihan dari segi praktikaliti dengan tempat duduk belakang yang boleh dikonfigurasikan kepada beberapa mod.
Dari segi keselamatan pula, model HR-V datang dengan ciri-ciri seperti Automatic Brake Hold dan Electric Parking Brake. Ia juga mendapat rating 5 bintang dari ASEAN NCAP.
Menurut Honda Malaysia, walaupun permintaan terhadap HR-V adalah tinggi, ia masih mampu mengekalkan tempoh menunggu antara 1 hingga 2 bulan dengan meningkatkan kadar pengeluaran.
No Comment