Malaysia Championship Series: Lai Wee Sing Bermula Dari Petak Pertama
Juara berganda Sepang Lai Wee Sing akan bermula dari petak pertama untuk pusingan pembukaan Malaysia Championship Series (MCS) 2016 selepas mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan Sabtu lalu di Litar Antarabangsa Sepang.
Berpasangan dengan Abdul Kaathir untuk pasukan R Engineering dan memandu Honda FD2 , Lai yang pernah memenangi Supersixteen, Supersaloon dan Sepang Drag Challenge memanfaatkan pengalaman luas beliau untuk mencatat masa terpantas iaitu 2 minit 28.454 saat.
Lai akan disertai di bahagian hadapan oleh adik-beradik Pee Sau Fan dan Pee Sau Peng yang mengejutkan pesaing mereka yang lebih mantap untuk mengambil tempat kedua dalam kelas Touring dengan catatan masa 2 minit 28.518 saat dalam satu lagi Honda FD2.
Mitchell Cheah daripada N1 Racing mencatat masa ketiga terpantas iaitu 2 minit 28.724 saa tuntuk mula di bahagian atas barisan kedua. Beliau akan disertai oleh bekas juara Damian Dielenberg, yang mencatat masa 2 minit 29.243 saat dalam Honda Integra.
Kelas Malaysian Touring Car (MTC) diungguli oleh Kenny Lee, yang menundukkannya bekas juara Mark Darwin selepas mencatat masa 2 minit 37.145 saat.
Darwin, yang memenangi kelas Touring Production musim lalu tetapi kembali kepada kejohanan MTC tahun ini, adalah 0.509 saat lebih perlahan dengan catatan masa 2 minit 37.654 saat pada sesi kelayakan Sabtu lalu. Pelumba Singapura Charles Jean dari TOC Motorsports berpuas hati di tempat ketiga dengan masa 2 minit 39.264 saat.
Pemandu bersaing dalam kedua-dua kategori akan mengambil bahagian dalam dua perlumbaan pada hari Ahad. Kedudukan grid untuk Perlumbaan 2 akan diputuskan berdasarkan keputusan Perlumbaan 1.
No Comment