Berita Auto

Pandu Uji Volkswagen Golf 1.4 TSI Facelift

Sebut sahaja hatchback, Volkswagen Golf pasti akan jadi antara nama pertama yang muncul di benak fikiran anda. Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana sejak kewujudannya lebih 40 tahun lalu, nama Golf menjadi semakin sinonim di kalangan penggemar kereta hatchback di luar negara mahupun di sini. Formulanya mudah: reka bentuk Golf yang sederhana tetapi menarik digabungkan dengan enjin yang ligat serta pengendalian yang mantap. Ini sahaja sudah cukup untuk membuatkan peminat-peminat kereta jatuh cinta pada pandangan pertama.

2016 Volkswagen Golf 1.4 TSI 03

Apa yang anda lihat di sini ialah Volkswagen Golf 1.4 TSI generasi ketujuh (Mk7) versi dinaik taraf yang mula diperkenalkan ke pasaran Malaysia sejak bulan Mac tahun ini. Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu Comfortline yang merupakan varian asas serta Highline yang nyata mempunyai kelebihan dari segi kelengkapan standard.

2016 Volkswagen Golf 1.4 TSI 04

Dari aspek luaran, walaupun kelihatan tidak jauh berbeza dengan model asal sebelum ini, varian Highline ini kini tampil dengan lampu hadapan baharu yang nampak lebih tampan dengan lebih kemasan krom serta lampu belakang jenis LED yang diinspirasikan oleh kembarnya yang jauh lebih berkuasa iaitu Golf R. Tidak cukup dengan itu, perwatakan agresif Golf ini diserlahkan lagi dengan kehadiran rim dwi-tona “Madrid” bersaiz 17 inci.

2016 Volkswagen Golf 1.4 TSI 07

Jika anda menyukai rekaan luarnya, tunggu hingga anda menjengah masuk ke dalam kabinnya. Suasananya nyata lebih kemas dan teratur dari sebelum ini dengan kemasan fabrik bermotifkan “Mel Stripe” yang menampilkan corak jalur berkembar di bahagian tengah tempat duduk. Ciri-ciri lain yang dikekalkan seperti sebelumnya termasuklah roda stereng “flat-bottomed” pelbagai fungsi serta papan pemuka tengah dengan skrin sesentuh 5.8 inci yang dikelilingi kemasan aluminium.

2016 Volkswagen Golf 1.4 TSI 08

Bukan setakat kemasan fabrik baharu, Golf facelift ini juga dilengkapi dengan sistem Keyless Entry & Push Start (KESSY) yang membolehkan anda masuk ke dalam kereta atau menguncinya setelah selesai memandu tanpa perlu mengeluarkan kunci dari poket ataupun tas tangan. Sistem ini juga merangkumi sebuah butang penghidup enjin yang diletakkan sebelah tombol gear. Tidak dinafikan, walaupun kecil, penambahan kedua-dua ciri ini menjadikan pengalaman memandu lebih mudah.

2016 Volkswagen Golf 1.4 TSI 09

Selain itu, terdapat juga sistem Park Assist (Bantuan Parkir) yang bertujuan membantu pemandu memarkir kenderaan pada kedudukan sisi. Jujur berkata, penulis lebih gemar memarkir kereta tanpa bantuan ciri seperti Park Assist ini (lagipun Golf ini bukan besar sangat) tetapi ia mungkin sesuatu yang sangat berguna untuk pemandu-pemandu yang kurang berpengalaman atau mudah gementar apabila berhadapan dengan ruang letak kereta yang sempit.

2016 Volkswagen Golf 1.4 TSI 10

Golf facelift ini juga dilengkapi dengan Rest Assist (Bantuan Rehat) yang pada asasnya mampu mengesan keletihan pada pemandu dengan mengukur kadar penggunaan pedal dan roda stereng. Penulis tidak berkesempatan untuk mencuba ciri ini kerana amat sukar untuk berasa letih, mengantuk mahupun bosan sepanjang memandu kereta yang mengujakan seperti ini.

2016 Volkswagen Golf 1.4 TSI 05

Seperti yang dijangka, pemanduan hatchback ini sangat tidak mengecewakan apatah lagi apabila enjin pengecas turbo TSI bersesaran 1.4 liter nya kini menghamburkan 150 PS, iaitu lebih 10 PS berbanding model pra-facelift. Walaupun jumlah tork kekal pada 250 Nm, Golf ini masih mampu untuk memberikan keseronakan pada sesiapa sahaja yang mengendalikannya dengan kuasa pecutan yang mengagumkan. Walaupun begitu, turbo lag yang menjadi kebiasaan pada kereta berenjin turbo masih dapat dirasakan dengan jelas terutamanya apabila jarum RPM berada di bawah aras 2,000.

2016 Volkswagen Golf 1.4 TSI 06

Digandingkan dengan kotak gear DSG tujuh kelajuan yang membuktikan kemampuannya dengan penukaran gear yang lancar dan segera, enjin empat silinder tersebut membolehkan Golf ini memecut dari 0 ke 100 km/j dalam 8.2 saat serta mencapai kelajuan maksimum 216 km/j. Tidak hairanlah jika ianya sering dibandingkan dengan kereta-kereta berenjin dua liter dalam segmen yang lebih besar.

SONY DSC

 

Dari segi pengendalian pula, Golf ini membuktikan bahawa ianya antara hatchback yang paling tangkas boleh anda beli di pasaran tempatan. Ditambah dengan sistem stereng yang komunikatif, kereta kecil ini membolehkan anda melayan selekoh-selekoh tajam yang mencabar dengan kesan olengan yang minimum. Walaupun terasa agak keras, suspensinya masih mampu menangani jalan-jalan berlubang serta kurang rata tanpa menyakitkan tulang belakang anda. Pendek kata, kereta ini sangat meyakinkan dan selesa tidak kira di mana ia dipandu.

2016 Volkswagen Golf 1.4 TSI 02

Secara keseluruhannya, Volkswagen Golf 1.4 TSI versi facelift ini terbukti sebagai kereta yang serba-boleh. Bukan sahaja dari segi rupa serta prestasi, kereta hatch Eropah ini juga mempunyai ruang kaki dan but yang luas, menjadikannya kenderaan yang praktikal terutama bagi mereka yang berkeluarga. Lebih menarik lagi, walaupun didatangkan dengan pelbagai ciri baharu, model ini dijual dengan harga yang lebih murah berbanding model terdahulu pada RM159,888 (tidak termasuk insurans dan pendaftaran).

 

Previous post

Pasukan Audi Asia Alami Hujung Minggu Yang Mencabar Di Nürburgring

Next post

Jeep Menyambut Ulang Tahun ke-75 Dengan Memandu Grand Cherokee SRT Naik Gunung Berapi

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *