Gaya Hidup / Lifestyle

Sekolah Teknikal ISUZU Mulakan Kursus Perintis

Kerjasama Isuzu Malaysia dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk menghasilkan lebih ramai mekanik mahir ke dalam pasaran kerja telah bermula menerusi pengambilan pertama para pelatihnya.

Lima orang perantis pertama Sekolah Teknikal Isuzu (ITS) daripada kumpulan perintis memulakan kursus selama enam bulan. Mereka akan berusaha untuk mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia – Tahap II (SKM II) pada akhir kursus tersebut. Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Kenji Matsuoka yang menyaksikan majlis pelaksanaan kursus itu di Pusat Pembangunan Isuzu (IDC) di Shah Alam baru-baru ini menyatakan bahawa, penubuhan Sekolah Teknikal Isuzu bertujuan membina asas yang lebih kukuh dalam menghasilkan mekanik-mekanik yang berkemahiran tinggi di dalam negara.

Menurut Matsuoka, program yang dilancarkan oleh Isuzu Malaysia itu bermatlamat meningkatkan kemampuan mekanik berkemahiran. Pada masa yang sama menambah baik tahap kecekapan pusat servis Isuzu.

“Melalui ITS dan sokongan Kementerian Sumber Manusia, kami harap dapat membangunkan satu tahap kecekapan baru dalam kalangan mekanik sebelum mereka memasuki pasaran tenaga kerja. Dengan pengembangan jenis produk dan peningkatan jumlah pengedar Isuzu di seluruh negara, penubuhan ITS akan mengukuhkan lagi komitmen Isuzu untuk menawarkan perkhidmatan selepas jualan yang cemerlang kepada para pelanggan,” kata Matsuoka.

Kursus ITS yang merangkumi kelas teori dan amali itu akan dijalankan selama enam bulan dengan menggunakan silibus yang dibangunkan oleh Isuzu Malaysia di bawah bimbingan Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia. Ia melibatkan prinsip-prinsip asas operasi bengkel, sistem operasi kenderaan komersial, prosedur servis dan penyelenggaraan serta kemahiran baik pulih (overhaul) komponen.

Bahagian terakhir program itu melibatkan latihan amali di bengkel-bengkel Isuzu. Para perantis akan didedahkan dengan persekitaran pekerjaan dalam dunia sebenar di bengkel-bengkel komersial, memantapkan lagi prosedur kerja,  mengurus kehendak pelanggan dan mengendalikan operasi alat ganti.

Menurut Ketua Latihan & Pembangunan Kemahiran Isuzu Malaysia, Syaiful Azuan, objektif Sekolah Teknikal Isuzu adalah untuk menghasilkan kakitangan jualan dan selepas jualan yang berkemahiran tinggi. Selain mampu meningkatkan tahap kepuasan pelanggan dengan lebih efektif.

“Sebagai pengeluar kenderaan bertaraf dunia, sudah menjadi matlamat kami untuk menghasilkan kakitangan generasi seterusnya yang berkemahiran tinggi menerusi Sekolah Teknikal Isuzu. Tahap persijilan kami kini berada di tahap kedua dan ketiga. Kami harap apabila program ini semakin matang, kami akan mampu menawarkan tahap latihan kemahiran yang lebih tinggi serta membina satu asas profesional  untuk para mekanik tempatan,” kata Syaiful.

Untuk menyertai Sekolah Teknikal Isuzu, para calon berpotensi perlu memiliki kredit SPM dalam mata pelajaran matematik dan sains. Untuk maklumat lanjut berkaitan program latihan ini, mereka boleh menghubungi Sekolah Teknikal Isuzu menerusi laman web: www.isuzu.net.my

Previous post

BMW Group Malaysia Perkenalkan Edisi Ketiga Program BMW Safety 360°

Next post

2016 Honda Civic Dipratonton: Perkakas Standard Paling Best Sekali

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *