TCR Asia Series 2016: Sritrai Dan Bruins Kutip Mata Berharga Di Korea
Pusingan pembukaan TCR Asia Series 2016 menyaksikan beberapa nama yang gah ditambah ke senarai kemasukan, termasuk beberapa pemandu terbaik di rantau ini. Jadi ia mungkin tidak menghairankan apabila perlumbaan menjadi sengit di bahagian hadapan, walaupun ia ada kena mengena dengan rekrut saat akhir yang tidak dimasukkan ke dalam senarai penyertaan rasmi sehingga hari Jumaat lalu.
Akhirnya, pusingan ini dimenangi oleh Tin Sritrai dari Thailand. Pemenang edisi 2015 ini hampir mustahil dikejar semasa sesi latihan, walaupun penyertaan Roelof (Ricardo) Bruins di saat akhir memberikan saingan sengit terhadap pelumba muda Thai tersebut. Walaupun Bruins memenangi perlumbaan pertama, usaha Sritrai mendatangkan hasil apabila beliau memenangi perlumbaan kedua dengan selesa.
Menjelang pusingan pembukaan, pasukan-pasukan telah diberi peluang untuk membuat lap latihan di Litar Antarabangsa Korea pada hari Khamis. Bruins, yang memandu kereta milik Douglas Khoo, muncul sebagai pemandu terpantas dengan catatan masa 223.720.
PUSINGAN KELAYAKAN#1
Seperti yang dijangka, Sritrai memulai pusingan kelayakan dengan cara yang sama dia menamatkan pusingan latihan – di bahagian atas senarai dengan masa 2:21.915. Pemandu berpengalaman Michael Ho pula bermula pantas untuk mendapatkan tempat kedua, menyingkirkan Bruins serta Andy Yan.
PUSINGAN KELAYAKAN#2
Dalam pusingan ini, Sritrai terus melebarkan jarak antara pesaing-pesaing lain dengan masa terpantas 2:21.137. Kejutan terbesar pusingan ini adalah Kevin Tse dari TeamWork Motorsport yang memacu Volkswagen Polo GTi TCR ke tempat kedua dengan catatan masa 2:22.295.
PERLUMBAAN#1
Perlumbaan pertama bermula dengan sengit apabila Sritrai, Bruins, Ho dan Tse masing-masing bersaing untuk memimpin barisan pelumba. Masuk lap kedua, Sritrai mula mengejar rapat Andy Yan, manakala Bruins dan Ho juga mula mengejar pelumba Thailand dan Hong Kong itu untuk merebut tempat pertama.
Kejadian yang tak diingini berlaku di lap keenam apabila Bruins terlanggar bahagian tepi kereta Sritrai ketika cuba memotong di selekoh ke-10. Ini memberikan Bruins peluang untuk merapati Yan, yang akhirnya dipotong di selekoh ke-12 di lap terakhir. Ho yang mengekori rapat kedua-dua pelumba tersebut terpaksa akur dengan tempat ketiga.
PERLUMBAAN#2
Penyongsangan grid pada perlumbaan kedua meletakkan Terrence Tse di petak pertama, manakala Filipe de Souza yang mencatat masa ketujuh terpantas pada pusingan kelayakan kedua duduk di tempat kedua di grid permulaan.
Sritrai yang bermula di petak kelapan tidak mengambil masa yang lama untuk mendahului perlumbaan apabila beliau memotong kedua-dua Yan dan Bruins yang sedang bersaing di bahagian hadapan perlumbaan. Pelumba kelahiran Thailand itu terus melebarkan jurang untuk memenangi tempat pertama, sekaligus menebus kekecewaan di babak pertama. Yan sekali lagi mengakhiri perlumbaan di tempat kedua manakala Bruins terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.
Kemenangan ini juga meletakkan Sritrai sebagai pendahulu senarai pelumba dengan 42 mata, Bruins di tempat kedua dengan perbezaan satu mata, manakala Yan di tempat ketiga dengan 39 mata.
Selepas ini, fokus TCR Asia Series akan beralih ke Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand, dimana Sritrai akan menggunakan kelebihan sebagai tuan rumah.
No Comment