Volkswagen Passat B8 Ditemui Di My Auto Fest 2016
Lawatan kami ke My Auto Fest 2016 di MIECC semalam nyata tidak mengecewakan. Bukan sahaja dapat melihat kereta-kereta baharu seperti Hyundai IONIQ, Honda Civic dan Toyota Sienta dengan lebih dekat, kami juga berjaya menemui sebuah Volkswagen Passat B8 di tempat letak kereta bangunan itu.
Jadi apa yang istimewa dengan Passat ini? Seperti yang anda dapat lihat, model ini belum mempunyai nombor pendaftaran kerana ianya masih dalam proses uji pandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia dijangka dilancarkan secara rasmi pada suku kedua tahun ini.
Passat B8 yang merupakan model generasi kelapan dibangunkan menggunakan platform modular MQB baharu milik Volkswagen. Ia dikatakan lebih rendah dan pendek serta lebih ringan berbanding model Passat yang sedia ada. Unit yang kami temui ini memakai lencana ‘380 TSI’ yang merujuk kepada jumlah tork (380 Nm) yang dihasilkan oleh enjin dua liter TSI yang dipadankan dengan kotak gear DSG dwi-klac tujuh kelajuan.
Selain itu, ia juga dipakaikan rim 18 inci yang dibalut tayar bersaiz 235/45. Bahagian belakang sedan ini dihiasi dua corong ekzos bersepadu yang kelihatan kemas. Antara ciri-ciri menarik yang dijangka hadir bersama Passat B8 termasuklah sistem Area View 360-darjah, Trailer Assist, Park Assist, serta sistem pemanduan automatik yang merangkumi Traffic Assist dan Lane Assist.
Volkswagen Passat B8 bagi pasaran negara ini dipasang di kilang DRB-Hicom di Pekan, Pahang.
No Comment