Berita Auto

5 Sebab Anda Mungkin Mahukan Proton Perdana Baharu

Ketahanan Honda dan adanya alat ganti

Semua orang tahu bahawa Proton Perdana yang dilancarkan baru-baru ini berkongsi enjin dan kotak gear dengan Honda Accord generasi kelapan. Gabungan enjin ‘naturally aspirated’ dan kotak gear automatik konvensionalnya mudah untuk diselenggara dan boleh diservis oleh mana-mana mekanik di negara ini.

Proton Perdana

Enjin K24Z2

Varian Perdana 2.4 mendapat enjin K24 Honda yang mengujakan. Walaupun mempunyai kebolehan untuk untuk meligat sehingga 7,000 rpm, ia juga menjanjikan prestasi lancar di dalam bandar jika anda menekan pedal dengan cermat. Ketiadaan ‘turbo lag’ juga akan menggalakkan tingkah laku pemanduan yang lebih baik.

Proton Perdana

Ia salah satu kereta terbesar dalam kelasnya

Berukuran 5,020 mm panjang, 1,845 mm lebar dan 1,475 mm tinggi, Perdana dikatakan lebih lebar dan tinggi dari kebanyakan kereta segmen D. Jarak rodanya yang berukuran 2,800 mm juga menjanjikan ruang kabin yang luas untuk pemandu dan penumpang.

Proton Perdana

Reka bentuk ‘Fastback’ moden

Walaupun menggunakan platform Accord, sentuhan tersendiri dari Proton menjadikan Perdana baharu ini lebih menarik di mata pelanggan. Garis bumbungnya yang menjunam di bahagian belakang itu merupakan ciri yang kerap digunakan pada kereta premium seperti Jaguar XF dan XE.

Proton Perdana

Tiga pilihan kemasan dalaman

Atas kekangan masa, Proton mengakui rekaan dalaman Perdana tidak banyak berubah berbanding model asalnya. Walaupun begitu, pembuat kereta nasional itu menawarkan tiga pilihan kemasan dalaman yang jarang-jarang dilakukan oleh jenama lain. Model asas iaitu Perdana 2.0 mendapat kemasan kulit dan fabrik berwarna hitam, manakala Perdana 2.4 boleh didapati dengan kemasan kulit ‘beige’ atau hitam.

 

 

Previous post

BMW Bahagian "i" Mula Mengusahakan Kereta Pandu Sendiri

Next post

Brabus 850 6.0 Biturbo Cabrio Mampu Capai 350 Km/j

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *