Audi Dedah A5 Dan A5 Coupe Baharu
Audi akhirnya memperkenalkan Audi A5 generasi kedua serba baharu, sembilan tahun selepas pelancaran A5 generasi pertama. Ditawarkan dalam pilihan empat pintu atau coupe dua pintu, sedan premium ini menggabungkan reka bentuk elegan dengan ruang kabin canggih yang disokong oleh casis terbaharu serta enjin berkuasa lagi efisien.
Muka hadapan A5 baharu ini memaparkan gril hadapan ‘Singleframe’ yang lebih rata dan lebar yang diapit oleh lampu hadapan yang segak yang boleh dimiliki dengan LED atau Matrix LED. Ia juga lebih efisien dari model terdahulu, dengan badan yang 60 kg lebih ringan dan rekaan aerodinamik yang menyumbang kepada kadar seretan 0.25.
Struktur dan rekaan yang lebih besar juga membolehkan A5 mempunyai kabin yang lebih luas. Ia mempunyai rekaan papan pemuka dan lubang peyaman udara mendatar yang mendatangkan rasa luas dan lampu kabin dengan 30 pilihan warna. Ruang bagasinya pula adalah sebesar 465 liter, iaitu 10 liter lebih besar dari sebelumnya. Ia boleh diakses melalui tempat duduk belakang yang boleh dilipat dalam konfigurasi 40:20:40 atau penutup but belakang yang boleh dibuka dengan gerakan kaki pada model coupe dua pintu.
A5 baharu juga tampil dengan sebuah kokpit maya melalui paparan TFT bersaiz 12.3 inci dengan resolusi 1,440 x 450. Ia juga mempunyai skrin 8.3 inci pada papan pemuka untuk sistem MMI navigation plus yang boleh disambungkan ke telefon pintar iOS dan Android, pengecas tanpa wayar dan pilihan sistem bunyi Bang & Olufsen.
Kereta ini akan dilancarkan dengan lima pilihan enjin: dua TFSI dan tiga TDI yang masing-masing menghamburkan kuasa dari 190 hp sehingga 286 hp. Model A5 Coupe akan diperkenalkan dengan enjin 3.0 TFSI V6 baharu dengan kuasa sebanyak 354 hp. Prestasi keseluruhan dikatakan meningkat sebanyak 17% manakala penggunaan bahan api berkurang sebanyak 22%.
Selain casis baharu, A5 juga mendapat stereng kuasa elektromekanikal yang berubah mengikut kelajuan kenderaan serta stereng dinamik dan differntial belakang sebagai pilihan tambahan. Antara teknologi yang disediakan termasuklah Park Assist, Lane Assist, Cruise Control, Stop & Go, Cross Traffic Warning, Exit Warning, dan lain-lain. Ia dijangka dijual di pasaran Eropah bermula musim luruh tahun ini.
No Comment