BMW Group Malaysia Perkenalkan BMW X5 xDrive40e Baharu
BMW Group Malaysia hari ini memperkenalkan BMW X5 xDrive40e baharu, kenderaan plug-in hybrid premium terkini yang dipasang di dalam negara.
Berucap pada majlis pelancarannya, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, “Sejak mencipta segmen Sports Activity Vehicle (SAV) premium, BMW X5 telah menetapkan penanda aras dalam segmennya di seluruh dunia. Hari ini, BMW X5 xDrive40e sekali lagi akan memacu masa depan industri automotif premium apabila memperkenalkan ambien yang mewah dan fungsi inovatif. Di samping teknologi canggih masa depan daripada BMW i kepada peminat automotif di negara ini.”
Jelas Han lagi, BMW X5 xDrive40e merupakan model ke-11 yang menyertai portfolio model pemasangan tempatan di kemudahan BMW Group Malaysia di Kulim Hi-Tech Park. Model ini mengetengahkan kandungan tempatan, pemasangan dan peralatan ujian yang baru di kilang tersebut.
“BMW X5 xDrive40e baharu membuka era baru BMW EfficientyDynamics. Ia menawarkan prestasi luar biasa dan mobiliti elektrik sepenuhnya dengan emisi sifar. Selain memperkenalkan pengalaman pemanduan yang baru, bersama kombinasi pemanduan dinamik dan elektrik sepenuhnya di dalam sebuah kenderaan aktiviti sukan,” kata Han.
Reka Bentuk: berkuasa dan ekspresif.
Sentuhan rekaan luaran yang eksklusif dan tersendiri pada model ini menyerlahkan BMW X5 xDrive40e sebagai sebuah kenderaan aktiviti sukan yang klasik. Pada masa sama menunjukkan kemampuan hibridnya yang unik.
Ciri paling ketara ialah sambungan pengecasan untuk bateri bervoltan tinggi pada bahagian depan kiri kenderaan. Bagi menunjukkan aliran tenaga, lampu berwarna biru akan menyala sebaik sahaja proses mengecas dimulakan. Sistem ekzos pada BMW X5 xDrive40e pula mempunyai rekaan paip berkembar dengan hujungnya berbentuk trapezoidal. Selain daripada logo model pada bahagian hadapan kenderaan, logo “eDrive” yang biasa dilihat pada model-model BMW i kini dilekatkan berhampiran lampu belakang dan konsol tengah bersama latar berwarna biru.
Karekter dinamik BMW X5 xDrive40e dipertingkatkan menerusi Pakej M Sport Aerodynamic yang hadir sebagai satu ciri standard. Selain lampu utama jenis Adaptive LED, BMW X5 xDrive40e turut dipasang dengan lampu kabus LED. Badan kenderaan ini diserlahkan dengan BMW Individual Exterior Line Aluminium. Jentera ini menggunakan rim aloi ringan dua jejari M bersaiz 19 inci dengan tayar-tayar campuran.
Rangkaian kuasa: Teknologi BMW TwinPower Turbo dan BMW eDrive.
Gabungan kawalan rangkaian kuasa hibrid pintar dan pacuan semua roda menawarkan prestasi serta penjimatan luar biasa di atas jalan raya. BMW X5 xDrive40e baharu memiliki sistem pacuan yang terdiri daripada enjin pentrol empat silinder bersesaran dua liter dengan teknologi BMW TwinPower Turbo dan sebuah motor elektrik bersepadu segerak yang diintegrasikan bersama transmisi Steptronic lapan kelajuan.
BMW X5 xDrive40e baharu dijana oleh enjin pembakaran dalaman 2.0 liter yang telah memenangi anugerah “Enjin Terbaik Antarabangsa” sebanyak tiga kali. Ia menampilkan teknologi pengecas turbo TwinScroll, High Precision Injection, injap pemasaan boleh ubah VALVETRONIC dan kawalan aci sesondol boleh ubah pada bahagian pengambilan serta ekzos.
Sebagai enjin petrol empat silinder paling berkuasa dalam portfolio enjin BMW Group, SAV ini dikuasakan dengan prestasi mengujakan bersama karekter enjin yang telah diperhalusi. Enjin ini berupaya menjana kuasa maksimum 245hp dan tork puncak 350Nm. Sementara motor elektriknya pula menawarkan kuasa mencecah 83kW dengan tork maksimum 250Nm yang boleh diperolehi secara serta-merta. Ia berperanan meningkatkan output enjin untuk maklum balas lebih pantas apabila memecut dari titik pegun. Di samping menawarkan prestasi terbaik ketika kelajuan diperlukan pada bila-bila masa.
Gabungan rangkaian kuasa ini membolehkan BMW X5 xDrive40e baharu mencatat pecutan 0 hingga 100km/j dalam masa cuma 6.8 saat. Kelajuannya dihadkan secara elektronik kepada 210km/j dan tork puncak 450Nm. Ketika berada dalam mode elektrik sepenuhnya, SAV baharu itu mampu bergerak dengan kelajuan maksimum 120km/j. Pecutan dinamik luar biasa BMW X5 xDrive40e bagaimanapun menawarkan penjimatan bahan api sekitar 3.3 liter bagi setiap 100 kilometer dan emisi C02 hanya 77 gram bagi setiap kilometer.
Kuasa yang dijana daripada dua sumber itu kemudian disalurkan menerusi transmisi Steptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda sepenuh masa BMW xDrive. Tanpa mengira nisbah kuasa daripada enjin atau motor elekttrik, sistem xDrive memastikan cengkaman yang terbaik dalam apa jua cuaca dan kondisi permukaan jalan raya. Ia juga menawarkan pengendalian yang stabil dan lincah ketika mengambil selekoh. Memandangkan ia disambung dengan Dynamic Stability Control (DSC), sistem xDrive mampu bertindak lebih awal untuk mengelakkan kenderaan daripada mengalami masalah understeer atau oversteer.
Talaan kenderaan serta kawalan rangkaian kuasa boleh dikonfigurasi mengikut kehendak pemandu menerusi suis Experience Control dan eDrive. Butang eDrive yang terletak di konsol tengah membolehkan pemandu BMW X5 xDrive40e baharu untuk menukar di antara tetapan AUTO eDrive, MAX eDrive atau SAVE Battery. Dalam tetapan AUTO eDrive, enjin dan motor elektrik bekerjasama dalam kecekapan paling tinggi. Motor elektrik digunakan untuk keperluan kuasa yang normal. Manakala kuasa enjin akan masuk pada kelajuan sekitar 70km/j atau apabila pemandu mahu mula memecut. Dalam mode ini, strategi operasi pintar akan menentukan kombinasi pemanduan yang paling efisien pada setiap masa dan akan menukarnya secara automatik.
Apabila bertukar kepada mode MAX eDrive, pemandu akan bergerak dalam mode elektrik sepenuhnya. Maknanya, kenderaan dikuasakan oleh motor elektrik sahaja. Mode ini direka untuk pemanduan selesa dengan emisi sifar dan enjin tidak diaktifkan. Ia menawarkan jarak maksimum 30km dengan kelajuan maksimum dihadkan kepada 120km/j. Mode ketiga, SAVE Battery membolehkan pemandu menjimatkan atau meningkatkan simpanan tenaga bateri bervoltan tinggi untuk kegunaan berikutnya. Misalnya, ketika memandu di atas jalan, caj akan dibiarkan konsisten atau ditingkatkan untuk membolehkan tenaga bateri digunakan apabila memandu di kawasan bandar nanti. Dengan cara ini, tenaga yang disimpan boleh digunakan apabila perlu sahaja.
Sebagai tambahan, BMW X5 xDrive40e juga didatangkan dengan suis Driving Experience Control sebagai satu ciri standard yang berfungsi mengaktifkan mode talaan kenderaan seperti COMFORT, SPORT dan ECO PRO. Setiap mode ini mengubah suai pemetaan pendikit, karekteristik stereng, maklum balas transmisi Steptronic lapan kelajuan dan suspensi Adaptive M dengan talaan suspensi sportnya, Dynamic Damper Control yang ditala khas dan suspensi udara yang dipasang sebagai standard pada SAV ini.
Mode-mode itu boleh dipilih menggunakan butang eDrive dan Driving Experience Control yang boleh digabungkan di antara satu sama lain. Ia membolehkan kawalan rangkaian kuasa dan talaan kenderaan diubah suai dengan tepat berdasarkan kepada situasi serta kecenderungan pemandu. Ciri ini membolehkan aspek keselesaan, sporty dan kecekapan digabungkan bersama pemanduan hibrid yang dimahukan oleh pemiliknya.
Teman di atas jalan raya yang pintar.
BMW X5 xDrive40e baharu didatangkan dengan kluster instrumen panel berwarna hitam yang mempunyai fungsi hibrid yang spesifik dan pelbagai bacaan lain. Paparan kenderaan sedia untuk dipandu daripada “OFF” kepada “READY” diposisikan pada bahagian bawah suis kaunter rev enjin, sebaik sahaja butang start/stop ditekan. Kondisi caj bateri bervoltan tinggi ditunjukkan dalam bentuk simbol bateri di bawah paparan gear. Suis tetapan Driving Experience Control juga dijelaskan, sebaik sahaja mode pemanduan dipilih selepas butang eDrive ditekan.
Ciri BMW ConnectedDrive yang inovatif membantu merangka perjalanan dengan SAV ini bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya sebanyak mungkin dan berada pada kecekapan maksimum sepanjang masa. Navigation System Professional dengan monitor paparan bersaiz 10.25 inci dipasang pada BMW X5 xDrive40e sebagai satu ciri standard. Ia memberi pilihan kepada pemancu untuk mendapatkan laluan ECO PRO ke destinasi yang dituju. Fungsi pengurusan tenaga pintar pada BMW X5 xDrive40e menggunakan data sedia ada pada profail laluan untuk semua perjalanan yang dibantu oleh navigasi. Ini akan membentuk asas jangkaan dan kawalan rangkaian kuasa yang dioptimumkan kecekapannya bagi memastikan penggunaan bahan api adalah serendah mungkin. Pada masa yang sama dapat menggunakan mobiliti elektrik secara ekstensif.
Untuk perjalanan yang lebih jauh merangkumi kawasan bandar dan kampung misalnya, Brake Energy Regeneration boleh digunakan. Poin beban enjin akan ditingkatkan pada kelajuan tinggi bagi memastikan kuasa adalah mencukupi untuk mode elektrik sepenuhnya digunakan di kawasan urban.
Banyak opsyen turut ditawarkan seperti sistem bantuan pemanduan yang terdiri daripada Lane Departure Warning, City & Pedestrian Collision Warning. Ciri-ciri lain termasuklah Park Distance Control (PDC) pada bahagian hadapan dan belakang yang memberi maklum balas dalam bentuk visual dan akustik, selain Surround View serta kamera belakang. Bagi BMW ConnectedDrive Services pula, BMW X5 xDrive40e baharu hadir bersama perkhidmatan Intelligent Emergency Call, BMW TeleServices, Concierge Services dan eDrive Services.
Opsyen pengecasan daripada BMW 360° ELECTRIC.
Rekaan plug-in hybrid pada BMW X5 xDrive40e menyediakan asas yang ideal untuk penggunaan ekstensif sistem pacuan elektrik bagi mobiliti yang paling efisien. Biarpun dalam pemanduan tanpa emisi di bandar. Bateri bervoltan tinggi menawarkan kapasiti tenaga sehingga 9.2 kWh. Kuasanya boleh ditambah menggunakan soket kuasa biasa di rumah. Apabila dicaj menggunakan soket kuasa konvensional, bateri ini boleh dicaj penuh daripada kosong dalam masa 3 jam 50 minit.
Di bawah pakej BMW 360° ELECTRIC, pelanggan akan ditawarkan dengan perkhidmatan ChargeNow yang merangkumi sekeping kad ChargeNow. Kad itu menawarkan akses terus kepada stesen-stesen pengecasan, ChargEV yang disediakan hasil kerjasama di antara BMW Group Malaysia dengan Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia). Stesen-stesen ChargEV kini sudah beroperasi di 19 lokasi straegik di Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Melaka dan Johor.
BMW X5 xDrive40e didatangkan dalam warna perak (Glacier Silver), putih (Mineral White), kelabu (Space Grey) dan hitam (Carbon Black) bersama pilihan upholsteri kulit Dakota Terra atau Dakota Black.
Harga runcit atas jalan, tanpa insuran, dengan Waranti 5 Tahun BMW Group Malaysia Unlimited Mileage, Program Perkhidmatan Berjadual Percuma dan Program Jaminan BMW Tyre ialah:
BMW X5 xDrive40e baharu – RM 582,800.00
Harga runcit tanpa insurans insentif Hibrid diluluskan kerajaan – RM 388,800.00
No Comment