Brabus 850 6.0 Biturbo Cabrio Mampu Capai 350 Km/j
Jika anda tertanya-tanya kereta berhud (convertible) manakah yang paling laju di dunia, ini jawapannya – Brabus 850 6.0 Biturbo Cabrio. Dipertunjukkan di acara 24 Hours of Le Mans hujung minggu lalu, kereta hitam ini bukan calang-calang jentera.
Dibina berdasarkan Mercedes-AMG S63 Cabriolet, rekaan terbaru dari syarikat tuner Jerman terkenal ini dikuasakan oleh enjin pengecas turbo berkembar 5.5 liter V8 yang menghamburkan 838 hp pada 5,400 rpm dan 1,450 Nm antara 2,500 dan 4,500 rpm. Kuasa dihantar kedua-dua gandar melalui sistem pacuan empat roda 4Matic dan kotak gear automatik tujuh kelajuan.
Dengan kuasa sebanyak itu, kereta ini mampu untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 3.5 saat. Ia mencapai 200 km/j dalam 9.4 saat sahaja dan boleh memecut sehingga 350 km/j, itu pun disebabkan oleh kekangan tayar.
Ciri-ciri aerodinamiknya juga dipertingkatkan. Selain dari rim 21 inci (22 inci pun disediakan jika pelanggan berminat), Brabus 850 ini juga didatangkan dengan kit badan gentian karbon yang dibangunkan khas menggunakan terowong angin. Ia juga direndahkan sebanyak 15 mm untuk pemanduan yang lebih stabil.
Selain itu, pelanggan juga boleh memilih untuk menghias kabin mengikut cita rasa tersendiri. Antara kelengkapan yang ditawarkan termasuklah kemasan gentian karbon, paddle shifter dan pedal dari aluminium dan logo ‘Brabus’ yang boleh berubah warna mengikut lampu ‘mood’ cabin.
Menurut Brabus, model 850 6.0 Biturbo Cabrio boleh didapati sebagai model lengkap atau dibina sendiri berdasarkan model Mercedes-AMG S63 Cabriolet sedia ada.
No Comment