Dennis Lind Bolot Kemenangan Di Paul Ricard
Dennis Lind melengkapkan misinya dengan meraih dua kemenangan di litar Paul Ricard, sekaligus menebus kekecewaan dialaminya di Monza dan Silverstone.
Berlumba di pusingan ketiga dari enam Lamborghini Blancpain Super Trofeo Eropah, Lind berjaya memecah kebuntuan apabila bermula dari kedudukan pertama grid dan mencapai kemenangan keempat musim ini, sekaligus mendahului senarai pelumba di hadapan Vito Postiglione dengan kelebihan sembilan mata.
Walaupun mendapat tempat kedua dalam perlumbaan 1, Postiglione terpaksa berpuas hati dengan kedudukan keenam pada perlumbaan 2 setelah kerosakan pada tayar kiri belakang memaksanya untuk membuat hentian pit.
Tempatnya digantikan oleh pelumba 19 tahun Croatia, Martin Kodric yang juga mengakhiri perlumbaan 1 di tempat ketiga. Di belakangnya adalah Harald Schlegelmilch dari Artline Team Georgia manakala krew baru yang terdiri dari Rolf Ineichen dan Jeroen Bleekemolen dari Bonaldi Motorsport menamatkan perlumbaan di tempat keempat.
Tempat kelima pula menjadi milik Rik Breukers yang telah dinaikkan ‘pangkat’ ke kelas PRO-AM. Satu keputusan yang baik untuk pelumba Belanda itu yang baru sahaja menyertai program pemandu muda Lamborghini Squadra Corse. Dia kini berada satu mata di hadapan Adrian Amstutz dan Patrick Kujala, juga dari Bonaldi Motorsport.
Perlumbaan seterusnya akan diadakan di Spa, Belgium dalam masa kurang dari satu bulan.
No Comment