Ford Akan Dedahkan Cadangan Penyelesaian Untuk Masalah Kesesakan Pada Acara Kongres Mobiliti Sedunia
Apabila anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang tiada penghujungnya atau terpaksa berhimpit-himpit di dalam gerabak kereta api sesak untuk satu perjalanan yang sukar, bukan mudah untuk membayangkan orang lain mengetahui atau memahami kekecewaan anda itu.
Mungkin lebih sukar untuk dibayangkan bahawa sebuah syarikat seperti Ford bukan sahaja memahami anda, malah sentiasa mencari jalan secara aktif untuk melegakan kesesakan dengan merevolusikan mobiliti di seluruh dunia. Pada acara Kongres Mobiliti Sedunia Shanghai yang bakal berlangsung tidak lama lagi, Ford akan memberi peluang kepada pengguna untuk melihat sendiri beberapa penyelesaian tercanggih yang sedang dibangunkannya. Ini termasuklah eksperimen-eksperimen Mobiliti Pintar Ford yang meneroka jalan untuk membuatkan urusan memarkir kenderaan di bandar raya sesak lebih mudah. Di samping mengoptimumkan perkhidmatan transit awam untuk menjadikannya lebih reaktif terhadap keperluan pengguna.
“Sebagai sebuah syarikat automotif global dan mobiliti, kami memberi perhatin terhadap apa yang dinyatakan oleh pengguna mengenai keadaan perjalanan serta masalah kesesakan jalan raya yang mereka hadapi setiap hari – terutama di Asia Pasifik,” kata Pengarah Mobiliti Pintar Ford, Ford Asia Pasifik, John Larsen. “Penyelidikan kami juga menunjukkan bahawa pengguna di rantau ini bersedia untuk menggunakan pelbagai penyelesaian yang berbeza. Daripada berkongsi kenderaan, teknologi canggih di dalam kenderaan sehinggalah transit awam yang lebih pintar.”
Dalam satu kaji selidik melibatkan pengguna di seluruh Asia Pasifik yang dijalankan bagi pihak Ford, hampir separuh responden menyatakan mereka menghabiskan lebih banyak masa dalam kesesakan trafik berbanding setahun lalu. Cuma 18 peratus melaporkan keadaan trafik semakin baik. Kaji selidik itu juga mendapatkan pandangan pengguna mengenai bagaimana untuk mengurangkan kesesakan. Ramai yang bersetuju bahawa masa depan mobiliti bergantung kepada kemampuan yang dikongsi oleh kerajaan tempatan, syarikat mobiliti dan pengguna sendiri.
Di China, negara yang mengalami masalah kesesakan paling teruk di dunia menyaksikan ramai tidak sabar untuk menggunakan teknologi baharu masa depan seperti kenderaan berautonomi. Hampir separuh responden China memilih kereta yang lebih pintar dan penyelesaian teknologi, termasuklah teknologi berautonomi serta informasi trafik pada masa sebenar sebagai satu daripada tiga penyelesaian terbaik terhadap masalah kesesakan, kadar paling tinggi di rantau ini.
Penyelesaian popular yang lain di China adalah seperti menambah baik infrastruktur iaitu 63 peratus. Di samping kerjasama yang lebih mantap di antara syarikat-syarikat swasta, institusi penyelidikan dan kerajaan, dengan 40 peratus. Satu perempat responden di China menyatakan program perkongsian kereta mungkin menjadi penyelesaian utama kesesakan. Satu daripada lima responden pula mengakui pentingnya aplikasi mendapatkan pengangkutan seperti Didi Chuxing dan Uber.
Di seluruh rantau ini, lebih 65 peratus responden menyenaraikan rangkaian pengangkutan awam yang lebih baik sebagai antara tiga penyelesaian penting masalah kesesakan. Data ini disokong oleh pasaran-pasaran yang berbeza seperti Taiwan (79 peratus) dan Australia (73 peratus).
Bagi menunjukkan kepelbagaian di rantau ini, hampir dua kali ganda responden di China serta Vietnam melihat kereta lebih pintar dan teknologi sebagai salah satu daripada tiga penyelesaian masalah kesesakan yang terbaik.
Tidak semua menggemari penyelesaian yang melibatkan teknologi maju atau pelaburan infrastruktur yang tinggi. 40 peratus responden di seluruh Asia Pasifik dan 69 peratus di Vietnam menyatakan pendidikan pemandu yang mudah dan mematuhi peraturan jalan raya boleh menjadi penyumbang penting dalam mengurangkan kesesakan.
“Kita semua mungkin terpaksa berdepan dengan kesan kesesakan jalan raya pada setiap hari. Tetapi penyelesaian terbaik mungkin berbeza di antara pasaran,” kata Larsen. “Sebab itulah amat penting bagi kami mengetengahkan mobiliti masa depan dengan pemahaman yang jelas terhadap apa yang dimahukan oleh pengguna dan paling berkesan untuk mereka. Kami teruja untuk berada di MWC Shanghai dan berkongsi bagaimana kami boleh memainkan peranan dalam merealisasikan penyelesaian mobiliti.”
Acara MWC Shanghai akan berlangsung pada 29 Jun hingga 1 Julai di Pusat Pameran Antarabangsa Shanghai yang baru.
No Comment