Honda Malaysia Panggil Semula 147,894 Unit Kenderaan
Honda Malaysia hari ini melanjutkan langkah proaktifnya dalam menjamin keselamatan pengguna dengan memanggil semula 147,894 kereta bagi tujuan menggantikan pengepam beg udara penumpang hadapan.
Model yang terlibat dalam inisiatif ini adalah Accord (2003-2011), City (2009-2011), Civic (2007-2011), CR-V (2008-2011), Freed (2009-2011), Insight (2011), Jazz (2009-2011) dan Odyssey (2004-2008).
Honda Malaysia memberi jaminan kepada pelanggan bahawa keselamatan adalah keutamaan syarikat dan sebarang kesulitan adalah dikesali. Syarikat itu juga menegaskan bahawa semua model jualan semasa tidak terjejas dan akan terus menegakkan ketelusan dan kawalan ketat demi keselamatan pelanggan.
Semua pelanggan yang terbabit akan dimaklumkan menerusi surat pemberitahuan. Pelanggan yang menerimanya dinasihatkan membawa surat tersebut dan kenderaan mereka ke pusat Honda berdaftar yang terdekat untuk pemeriksaan lanjut.
Kerja penggantian akan dilaksanakan apabila alat ganti sudah disediakan. Caj alat ganti dan buruh akan ditanggung sepenuhnya oleh Honda Malaysia.
Pemilik Honda juga boleh memeriksa status kenderaan mereka dengan membuat panggilan ke talian Bebas Tol Honda 1-800-88-2020, melayari www.honda.com.my atau lawat mana-mana pusat Honda yang sah. Sekali lagi, pemilik Honda yang terbabit dengan panggilan semula melibatkan pengepam beg udara dinasihatkan untuk segera membawa kenderaan mereka ke pusat Honda bertauliah sebaik sahaja menerima surat pemberitahuan.
No Comment