Mercedes-Benz Malaysia Lancarkan Pusat Proven Exclusivity
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) bersama-sama dengan syarikat Hap Seng Star hari ini melancarkan The Hap Seng Star Balakong Proven Exclusivity Centre, sebuah program yang menawarkan kenderaan Mercedes-Benz pra-milik yang berkeadaan baik pada harga yang berpatutan.
Kenderaan di bawah Proven Exclusivity ini yang diperoleh dari pengedar-pengedar sah jenama itu adalah tidak lebih dari enam tahun dan tiada kerosakan struktur yang dikenal pasti. Selain itu, kenderaan-kenderaan ini juga telah diservis sepenuhnya dan diselenggarakan oleh pusat servis MBM yang sah, menggunakan alat ganti tulen serta tidak mempunyai perbatuan lebih dari 125,000.
Setiap kenderaan juga menjalani pemeriksaan ketat dengan 215 titik oleh juruteknik yang bertauliah sebelum diberikan kelulusan. Pemeriksaan menyeluruh tersebut meliputi sejarah kenderaan, keadaan semasa bahagian luaran dan dalaman, enjin dan juga keberkesanan ciri-ciri keselamatan.
Kenderaan yang dibeli di bawah program Proven Exclusivity ini dilindungi jaminan tambahan selama 12 bulan dengan perbatuan tanpa had, sebagai tambahan pada jaminan pengilang yang asal.
Kedua-dua syarikat turut melancarkan pusat Proven Exclusivity baharu yang bertempat di Hap Seng Star Balakong Autohaus. Ia dilengkapi sebuah bilik pameran khusus untuk pelanggan melihat dan memandu uji kenderaan-kenderaan di bawah program tersebut. Untuk menarik minat pembeli, Hap Seng Star juga akan mengadakan karnival dari 3 hingga 12 Jun 2016.
No Comment