Mitsubishi Motors Malaysia Panggil Balik Triton Atas Isu Beg Udara Takata
Mitsubishi Motors Malaysia ( MMM) telah mengumumkan panggilan balik yang melibatkan 35,115 unit Triton buatan tahun 2006 hingga 2014 untuk menggantikan pengepam (inflator) beg udara pemandu Takata.
Varian yang terjejas adalah Triton 3.2 liter, Triton 2.5 liter automatik dan manual, dan Triton VGT 2.5 liter. Menurut MMM lagi, beg udara pemandu tersebut disyaki boleh melepaskan serpihan besi yang membahayakan nyawa pemandu serta penumpang.
Pada masa yang sama, MMM juga melancarkan kempen membaikpulih butang lampu yang rosak untuk sesetengah model Mitsubishi yang dibuat pada tahun yang sama. Kerosakan tersebut boleh menjejaskan lampu hadapan, lampu kecil, lampu kabus depan dan belakang, lampu belakang, lampu isyarat, lampu plat nombor serta lampu kabin.
MMM akan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada pemilik yang terjejas dan kos penggantian akan ditanggung oleh syarikat tersebut.
Pemilik kenderaan juga boleh menyemak status kenderaan mereka dengan memasukkan Nombor Pengenalan Kenderaan (VIN ) di www.mitsubishi-motors.com.my.
Pemilik-pemilik model Lancer buatan September 2004 hingga April 2006 juga digesa untuk memeriksa jika kenderaan mereka terlibat dalam kempen panggilan balik pengepam beg udara penumpang yang diumumkan awal tahun ini.
No Comment