Berita Auto

Pandu Uji Volkswagen Vento Highline 1.2 TSI

Pasaran kereta segmen B di negara ini menjadi semakin sengit dari tahun ke tahun dengan kehadiran model-model terbaharu tidak kira dari jenama-jenama Asia, Eropah , Amerika Syarikat mahupun tempatan. Dengan pilihan yang semakin banyak, pembeli harus teliti dalam memilih kereta yang bersesuaian untuk mereka. Bagi yang berkeluarga dan mahukan praktikaliti, kereta sedan menjadi pilihan mereka kerana ianya lebih besar dan luas berbanding kereta hatchback dalam segmen yang sama.

Pandu-Uji-Volkswagen-Vento-Highline-

Selain dari nama-nama yang selalu kita dengar seperti Honda City, Nissan Almera dan Toyota Vios, salah satu model sedan yang bersaing dalam segmen yang kompetitif ini adalah Volkswagen Vento, pengganti kepada Polo Sedan yang sudah berada di pasaran negara ini sejak 2013. Ia menawarkan pelanggan sebuah kenderaan yang praktikal dengan prestasi yang lebih baik dalam pakej keseluruhan yang lebih menarik.

Pandu-Uji-Volkswagen-Vento-Highline-

Tidak seperti Polo Sedan yang hanya ditawarkan dalam satu varian, Vento didatangkan dalam tiga pilihan bermula dari Trendline yang asas, Comfortline dan Highline sebagai model utama. Dalam satu sesi uji pandu ke Pulau Pinang yang dianjurkan oleh Volkswagen Group Malaysia baru-baru ini, pihak media diberi peluang untuk mencuba Vento Highline yang merupakan satu-satunya varian yang dikuasakan enjin 1.2 liter TSI.

Pandu-Uji-Volkswagen-Vento-Highline-

Sebelum itu, mari kita lihat dari segi luaran. Vento tampil lebih segar berbanding sebelum ini dengan lambakan kemasan krom di bahagian muka hadapan dan belakang, serta rekaan bampar hadapan dan belakang yang baharu untuk kelihatan lebih bergaya. Selain dari lampu belakang, gril nya juga dikemaskini dengan tiga batang bar krom berbanding dua sebelum ini. Varian Highline mendapat rim aloi 16 inci, manakala varian yang lain berpuas hati dengan rim 15 inci.

Pandu-Uji-Volkswagen-Vento-Highline-

Pertama kali menjejakkan kaki ke dalam Vento, jelas ia mempunyai kabin yang luas ditambah pula dengan ruang tempat duduk belakang yang cukup besar untuk memuatkan tiga penumpang dengan selesa. Walaupun rekaannya tidak banyak berubah, papan pemuka Vento tetap kelihatan kemas dan tidak menyerabutkan. Kemasan perak di bahagian konsol tengah berkesan dalam menambah seri ruang kokpit kereta ini.

Pandu-Uji-Volkswagen-Vento-Highline-

Kelengkapan yang boleh didapati di dalam Vento Highline termasuklah sistem penyaman udara automatik dengan lubang udara belakang, roda stereng pelbagai fungsi serta ruang penyimpanan sejuk, yang berguna untuk hari yang panas. Ia juga didatangkan dengan sistem radio 320G yang dilengkapi fungsi USB, Bluetooth dan antaramuka iPod, slot kad SD, AUX serta empat pembesar suara.

Pandu-Uji-Volkswagen-Vento-Highline-

Tidak syak lagi prestasi enjin pengecas turbo tersebut nyata lebih mengujakan berbanding enjin aspirasi natural 1.6 liter MPI (Multi-point Injection) yang terdapat pada model Vento yang lain dan Polo Sedan sebelum ini. Walaupun mempunyai kuasa kuda yang sama iaitu 105 PS, enjin TSI ini nyata mempunyai kelebihan dari aspek pecutan dengan jumlah tork 175 Nm yang boleh dinikmati dari serendah 1,550 rpm sehingga 4,000 rpm. Dengan ini, turbo lag yang merupakan simptom yang biasa di kalangan kereta dengan enjin turbo tidak begitu terasa.

Pandu Uji Volkswagen Vento Highline 21

Prestasi kotak gear DSG tujuh kelajuan yang dipadankan dengan enjin tersebut juga tidak kurang hebatnya. Penukaran gear yang lancar dan cepat bukan sahaja menjimatkan penggunaan bahan api, malah menjadikan pengalaman memandu lebih menyenangkan. Lebih hebat lagi, unit ini juga terbukti mampu beraksi dengan baik di bawah pemanduan yang lebih agresif. Masukkan gear ke S dan anda akan disambut dengan ngauman enjin yang mengujakan.

Pandu Uji Volkswagen Vento Highline 22

Walaupun menggunakan platform yang sama dengan Polo Sedan, Vento masih mampu beraksi dengan stabil dan meyakinkan meskipun dipandu pada kelajuan tinggi. Ini tidak bermakna yang sistem penggantungan kereta ini terlalu keras untuk anda. Ia masih lembut dan selesa, terutamanya jika dipandu pada kelajuan antara 110 hingga 140 km/j. Selain itu, pengendalian Vento juga boleh dikatakan cukup mantap untuk melayan selekoh. Tayar Continental bersaiz 215/45 R16 yang dipakainya juga mempunyai cengkaman yang baik untuk semua jenis permukaan jalan baik lebuhraya mahupun jalan kampung.

Pandu-Uji-Volkswagen-Vento-Highline-

Ini boleh dikaitkan dengan kehadiran Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) yang hanya disertakan dalam Vento Highline. Keberkesanan ciri ini diuji ketika sesi perbandingan di Pulau Pinang, di mana Vento terasa lebih terkawal dalam situasi mengelak halangan jika dibandingkan dengan model yang tidak dilengkapi ciri yang seumpama ini. Bukan itu sahaja, penambahan ciri keselamatan tersebut juga melayakkan Vento Highline untuk mendapat penilaian lima bintang dari ASEAN NCAP.

Pandu-Uji-Volkswagen-Vento-Highline-

Selain ESC, Vento Highline juga dilengkapi ciri-ciri keselamatan komprehensif termasuk empat beg udara, ABS, EBD dan juga Intelligent Crash Response System (ICRS) yang berfungsi dengan menghentikan penghantaran bahan api ke enjin dan membuka kunci semua pintu jika berlaku kemalangan. Anda yang mempunyai anak kecil boleh memanfaatkan ciri ISOFIX yang dipasang pada tempat duduk belakang.

Pandu-Uji-Volkswagen-Vento-Highline-

Meskipun hanya sempat memandu untuk beberapa jam, penulis berpendapat bahawa Volkswagen Vento baharu ini mempunyai potensi besar untuk menjadi model sedan segmen B yang paling laris di pasaran. Ia mungkin tampak biasa sahaja di kalangan pesaingnya tetapi ia mempunyai kelebihan yang tersendiri termasuk gabungan enjin dan kotak gear yang padu, pengendalian yang baik serta ciri-ciri tambahan yang berfaedah. Dijual pada harga bermula dari RM79,888 hingga RM93,888 untuk Vento Highline, ia datang dengan harga berpatutan yang tidak jauh berbeza dengan model-model lain yang setaraf, jadi wajarlah jika anda mencuba kereta ini dahulu sebelum membuat pilihan.

 

Previous post

Lindungi Cat Kereta Anda

Next post

Ribut Menumbang Pokok & Merosak Kereta. Siapakah Yang Akan Membantu?

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *