Porsche Bawa Misi Pertahan Kejuaraan Di Le Mans
Tekanan akan diberikan kepada Porsche di kejohanan Le Mans 24-Hours hujung minggu ini. Pembuat kereta sport Jerman tersebut akan kembali ke perlumbaan tersukar di dunia itu bukan sahaja sebagai pemegang rekod dan juara bertahan, malah sebagai pendahulu kejuaraan pemandu dan pengeluar.
Setakat ini, trio Romain Dumas, Neel Jani dan Marc Lieb akan berlumba di Le Mans (yang juga pusingan ketiga World Endurance Championship) sebagai pendahulu senarai pelumba. Juara bertahan Timo Bernhard, Brendon Hartley dan Mark Webber pula tidak sabar untuk menebus kekecewaan setelah kurang bernasib baik pada dua pusingan pertama di Silverstone dan Spa-Francorchamps.
Bagi Porsche, ini adalah kejohanan Le Mans ketiga buat jenama itu setelah membuat kemunculan semula pada tahun 2014. Tahun 2015 menyaksikan pasukan itu merangkul kemenangan 1-2. Kereta lumba 919 Hybridnya dijana dengan enjin turbo dua liter V4 yang digandingkan dengan dua sistem pemulihan tenaga pada brek dan ekzos. Dengan kuasa sebanyak 900 hp, kereta itu mampu mencapai kelajuan 320 km/j.
Secara keseluruhan, keenam-enam pemandu itu telah mengambil bahagian dalam Le Mans sebanyak 49 kali. Bernhard/Hartley/Webber yang menduduki tempat kedua tahun lalu akan memandu kereta nombor 1 manakala Dumas/Jani/Lieb akan berkongsi kereta nombor 2. Kejuaraan tahun lalu dicapai oleh Earl Bamber, Nico Hülkenberg dan Nick Tandy.
No Comment