Porsche Macan GTS Kini Tiba Dengan Harga RM710,000
Di majlis pelancaran Porsche 911 Carrera generasi baharu, Sime Darby Auto Performance (SDAP) juga sempat memperkenalkan ahli baru keluarga Macan iaitu Macan GTS. Seperti mana-mana model Porsche yang menggunakan nama GTS, crossover ini diinspirasikan oleh sukan bermotor.
Macan GTS boleh dikenal pasti melalui aksen luarannya yang berwarna hitam dengan kemasan berkilat serta rim RS Spyder berukuran 20 inci. Untuk pencahayaan optimum, lampu hadapan LED dengan teknologi Porsche Dynamic Light System Plus juga boleh dipesan khas.
Bahagian dalamannya pula dihiasi dengan kemasan Alcantara, tempat duduk sport ‘GTS’ serta sistem infotainment Porsche Communication Management (PCM). Dengan modul Connect Plus, PCM menawarkan navigasi atas talian dengan info trafik serta sistem Apple Car Play untuk pengguna iPhone.
Berada di bawah bonet Macan GTS ini adalah enjin dwi-turbo 3.0 liter V6 yang menghamburkan 360 hp dan 500 Nm. Dipadankan dengan transmisi dwi-klac PDK dan pakej Sport Chrono, ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa lima saat dan mencapai kelajuan maksimum 256 km/j.
Selari dengan kuasanya, pengendalian Macan GTS dipertingkatkan lagi dengan casis Porsche Active Suspension Management (PASM) yang direndahkan sebanyak 15 mm dan Porsche Traction Management (PTM). Ia juga mendapat sistem ekzos sport untuk ngauman yang lebih garang.
Porsche Macan GTS kini boleh menjadi milik anda dengan harga RM710,000, termasuk waranti selama empat tahun dan pakej penyelenggaraan percuma.
No Comment