Ramuan Rahsia Dalam Enjin EcoBoost Yang Memenangi Anugerah
Untuk lima tahun berturut-turut, enjin Ford 1.0 liter EcoBoost telah dipilih sebagai “Enjin Terbaik” dalam kelasnya pada acara 2016 International Engine of the Year Awards. Pemilihan itu adalah berdasarkan kepada kualiti pemanduan, prestasi, penjimatan, kelancaran dan teknologi.
Banyak perkara telah ditulis mengenai resepi kejayaan enjin EcoBoost memenangi anugerah. Tetapi apa yang ramai orang tidak tahu ialah intipati yang sebenar terletak pada perisiannya dan mula dihasilkan selama lebih 40 tahun.
Angkat hud mana-mana model Ford yang dikuasakan oleh EcoBoost, mata anda akan terus tertumpu kepada enjinnya. Tidak ramai yang perasan satu kotak hitam kecil pada bahagian tepinya. Tidak diketahui ramai, kotak kecil itulah yang menjadi kunci kepada keseimbangan kuasa dan penjimatan enjin EcoBoost: jutaan baris kod.
Tetapi bagaimana perisian di sebalik rangkaian enjin EcoBoost yang menjimatkan ini muncul? Asal-usulnya boleh dijejak sejak lebih 40 tahun lalu.
Di mana semuanya bermula
Pada tahun 1970-an, perisian mula memainkan peranan yang besar dalam teknologi enjin. Perubahan itu bukanlah disebabkan oleh kuasa, tetapi keperluan untuk membina kenderaan yang lebih bersih dan efisien.
Jadi Ford mula bekerja. Pengubah bermangkin (catalytic converters) tiga cara yang baru nyata membantu mengurangkan pencemaran. Namun ia memerlukan kawalan yang lebih tepat. Untuk menangani cabaran tersebut, Ford memperkenalkan unit kawalan enjin elektroniknya (EEC) yang pertama. Bentuk awal yang kini dikenali sebagai unit kawalan enjin (ECU) – kotak kecil yang ada pada setiap enjin.
Tiga generasi pertama EEC memberikan kenderaan Ford kawalan asas terhadap elemen- elemen utama enjin. Ini termasuklah sistem pancitan bahan api elektronik, kawalan pencucuh dan nisbah udara-bahan api. Tetapi penemuan utama dalam pemprosesan perisian hadir pada tahun 1980-an menerusi pengenalan EEC-IV dan EEC-V.
Pada masa yang sama, ciptaan diagnostik komputer (OBD) pun bermula. Menjelang pertengahan tahun 1990-an, enjin dikawal sepenuhnya secara elektronik. Perkomputeran perisian juga bukan lagi sekadar untuk mengawal enjin – kemajuan dalam bidang OBD, transmisi dan pengurusan bahan api bermakna ia mampu menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih lancar dan efisien.
EcoBoost: Dibina atas perisian
Pasukan jurutera kawalan perisian Ford – hari ini ada 100 orang dan jumlah itu terus meningkat – memikul tugas sukar untuk mencapai tahap penjimatan bahan api yang tidak pernah dicapai sebelum ini tanpa berkompromi dari segi kuasa. Ia menggunakan kombinasi perisian dan ciptaan terkini teknologi enjin seperti sistem pancitan terus, injap pemasaan boleh ubah dan pengecas turbo.
Untuk mencapai kuasa dan penjimatan yang dicadangkan pada enjin generasi baru ini, satu tahap ketepatan yang luar biasa diperlukan. Daripada pancitan bahan api ultra tepat sehinggalah tekanan pancitan bahan api yang sentiasa stabil, perubahan sangat kecil yang dikawal oleh perisian memberikan banyak perbezaan. Misalnya, pemasaan pancitan ditetapkan sehingga 300 kali sesaat untuk mengoptimumkan pembakaran. Hasilnya, ia menawarkan pembakaran yang lebih bersih dan efisien.
Hasilnya ialah enjin yang menjimatkan bahan api dan padat dengan kuasa. Output kuasa yang tinggi bermakna enjin kecil EcoBoost mampu menjana kuasa yang sama dengan enjin tradisional bersesaran lebih besar. Perisian EcoBoost juga membantu pasukan untuk menghapuskan limitasi enjin pengecas turbo seperti turbo lag. Jadi, apabila pemandu menekan pedal minyak, tempoh lengah adalah minimum. Mereka juga dapat merasai kuasa “oomph” enjin EcoBoost secara serta-merta.
Nadi perisian EcoBoost yang bertanggungjawab untuk semua ini terdiri daripada satu pangkalan data unik yang kompleks – dibina sepenuhnya oleh Ford – ia mengandungi maklumat bagaimana enjin dan transmisi beroperasi. Enjin memiliki akses ke dalam data yang luas untuk membolehkannya berdepan dengan pelbagai senario “what if” dan bersedia terhadap keperluan pemandu.
Biar apa pun jangkaan enjin, pemandu tetap dijanjikan dengan pengalaman pemanduan yang lancar dan mengujakan.
No Comment