VUHL 05RR Muncul Di Goodwood Festival of Speed
Walaupun kurang dikenali, jenama kereta Mexico VUHL mampu untuk membuat lawannya yang lebih gah kecut perut. Model 05RR ini dikatakan lebih ringan dan mempunyai 25 peratus lebih kuasa berbanding model 05 yang dikeluarkan dua tahun lalu.
05RR mendapat manfaat terbesar dari badannya yang dibina menggunakan gentian karbon. Kereta yang melalui ujian terowong udara di MIRA ini juga dilengkapi dengan ‘spoiler’ belakang yang besar, ‘diffuser’ ala kereta lumba F1 dan rim gentian karbon yang disalut tayar Michelin Cup 2.
‘Jantungnya’ adalah sebuah enjin pengecas turbo 2.3 liter EcoBoost yang berupaya untuk menjana 385 hp, iaitu 100 hp lebih banyak berbanding sebelum ini. Dengan berat badan 640 kg, 05RR mempunyai nisbah kuasa-kepada-berat 600 hp per tan yang sebenarnya lebih tinggi berbanding Ferrari F12 tdf, McLaren P1 dan Bugatti Veyron.
Dipadankan dengan kotak gear manual enam kelajuan, kereta ini memerlukan hanya 2.7 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j dari pegun, dan akan terus memecut sehingga 257 km/j. Untuk perbandingan, Veyron mampu mencapai kelajuan sama dalam 2.6 saat, P1 juga dalam 2.6 saat manakala F12 tdf dalam 2.8 saat.
No Comment