Yamaha SCR950 Untuk Peminat Scrambler Di US
Yamaha telah memperkenalkan model SCR950 baharu yang merupakan sebahagian dari barisan Sport Heritage-nya. Sayang sekali, motosikal ini hanya ditawarkan di Amerika Syarikat buat masa ini.
SCR950 dibangunkan berasaskan model XV950 Bolt dan ditambah dengan profil yang lebih rendah, komponen-komponen ‘scrambler’ serta subframe baru. Ia menggunakan kerangka buaian berkembar yang direka untuk tunggangan sporty dan tempat duduk rata yang sesuai untuk semua golongan.
Secara visual, gaya scrambler-nya diserlahkan lagi dengan bar hendal yang lebih tinggi dan lebar, nombor plat ala retro, pelindung sepit udang dan juga roda aluminium jejari lidi. Ia juga dilengkapi dengan ciri-ciri moden seperti lampu LED dan boleh dipasang dengan aksesori tambahan lain.
Seperti XV950, SCR950 ini dikuasakan oleh enjin 942 cc dengan silinder V berkembar yang menjana 49 hp. Sistem penggantungannya terdiri dari sepit udang terbalik 41 mm di hadapan dan penyerap hentak berkembar di belakang. Brek cakeranya pula bersaiz 298 mm di kedua-dua bahagian.
No Comment