Martin Rump Ungguli Pusingan 4 Piala Audi R8 LMS
Tiga pemandu termuda di grid melengkapkan podium pada pusingan 4 Piala Audi R8 LMS 2016 di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand. Martin Rump dari Champion Racing Team mempamerkan pemanduan hebat untuk menang perlumbaan dari petak pertama, manakala Alessio Picariello pula meraih naib juara untuk memanjat kedudukan keseluruhan kejohanan. Jan Kisiel pula mendapat mendapat podium pertamanya dengan kemenangan di tempat ketiga.
Dengan berakhirnya dua pusingan di Thailand, Picariello mendahului kedudukan dengan 65 mata. Di belakangnya adalah bekas juara dan pemenang pusingan 3 iaitu Alex Yoong dengan 62 mata dan Rump dengan 61 mata.
Sejurus perlumbaan bermula, Rump terus memecut meninggalkan pesaingnya untuk mendapat kemenangan keduanya musim ini. Pemandu muda dari Estonia itu turut mencatat masa terpantas perlumbaan. Picariello pula lincah memecut dari tempat keempat ke kedudukan kedua sambil memotong Yoong dan Kiesel walaupun membawa pemberat 35 kg hasil dari kemenangan tempat kedua pada pusingan 3 pada Sabtu lalu.
Kisiel berjaya menghalang asakan dari Yoong, yang kemudiannya dipintas oleh Marchy Lee. Ryo Ogawa dari KCMG turut mengasak Yoong, namun pemandu kelahiran Malaysia itu berjaya bertahan di tempat kelima untuk membawa pulang mata berharga. Jauh di belakang adalah Aditya Patel yang terpaksa melupakan hasrat akibat kerosakan teknikal hasil dari perlanggaran dengan Rahel Frey.
Pusingan 5 dan 6 Piala Audi R8 LMS akan berlangsung pada 13 dan 14 Ogos di Litar Antarabangsa Sepang, Kuala Lumpur.
No Comment