Ducati Rai Harijadi Ke-90 Dengan 1299 Panigale S Anniversario
Ducati menyambut ulangtahun ke-90 tahun ini, dan bagi meraikannya, sebuah model edisi terhad telah dilancarkan di World Ducati Week baru-baru ini.
Edisi ‘Anniversario’ ini dibina berasaskan model 1299 Panigale S yang kita tahu memang menjadi idaman setiap peminat motosikal di serata dunia. Ia memakai ‘baju’ dalam warna tradisi Ducati iaitu hitam, putih dan merah serta rim emas bersempena dengan pasukan lumba jenama itu.
Selain itu, motosikal ini juga dilengkapi dengan ekzos titanium Akrapovič, plat ‘blockoff’ titanium, dan beberapa komponen gentian karbon seperti mudguard belakang, pelindung tumit serta penutup penyerap hentak. Dengan ‘steering head inserts’ dan ‘triple top clamp’, ia dikatakan mempunyai geometri casis yang sama dengan Panigale R.
Senarai bantuan elektronik dimulakan dengan kawalan cengkaman (traction control) versi baharu iaitu DTC EVO yang membolehkan penunggang ‘drift’ sambil mengambil selekoh. Ciri-ciri lain termasuklah Cornering ABS, Ducati Wheelie Control, Ducati Electronic Suspension, dan Ohlins Smart EC.
Kuasa masih dibekalkan oleh enjin V-twin 1,285 cc yang menghamburkan 205 hp dan tork 144.6 Nm. Hanya 500 unit akan dikeluarkan dan setiap model akan didatangkan dengan ukiran nombor siri khas.
No Comment