Kasma Teruja Sertai Latihan Yamaha VR46 Master Camp
Pelumba muda berbakat, Kasma Daniel Kasmayudin begitu teruja setelah berjaya menamatkan sesi latihan intensif Yamaha-VR46 Master Camp bersama empat lagi pelumba berbakat dari Asia di akademi milik juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi, Akademi VR46 di Tavullia, Itali pada 4 hingga 11 Julai lepas.
Pelumba berusia 16 tahun itu terpilih menyertai kem latihan tersebut bersama empat lagi pelumba Yamaha, Peerapong Loiboonpeng dari Thailand, Galang Hendra Pratama dan Imanuel Putra Pratna (Indonesia) dan Soichiro Minamimoto (Jepun) berdasarkan persembahan cemerlang di dalam siri perlumbaan Asia Production 250cc Kejuaraan Motosikal Asia 2016.
Program selama lima hari itu dibentuk oleh Rossi dengan memberi tumpuan terhadap kecergasan fizikal pelumba dan kawalan jentera sebagai faktor utama yang dapat membantu dalam proses perkembangan dan meningkatkan kemahiran pelumba. Pelumba menerima latihan dengan menggunakan jentera ‘dirt bike’ yang dianggap antara latihan terbaik untuk membantu meningkatkan kemahiran pelumba untuk mengawal jentera.
“Saya sangat gembira dengan pengalaman ini. Banyak yang saya perolehi dalam setiap program latihan. Saya berasa sedih apabila terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan kejurulatihan VR46 di ibu pejabat mereka. Pengalaman lima hari di sini sangat berguna dan juga merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Yamaha, jurulatih kami dan juga seluruh kakitangan VR46 yang telah mengatur program latihan yang sangat menakjubkan,” jelas Kasma yang sangat teruja dengan peluang berlumba bersama Rossi di litar latihan ‘flat track’ dan juga di Litar Misano.
Bagi legenda MotoGP, Rossi sendiri menganggap siri latihan bersama lima pelumba itu mencapaian keputusan yang diharapkan. “Pelumba-pelumba ini sangat gembira sepanjang lima hari di sini. Walaupun letih dengan pelbagai program latihan yang dirangka, mereka tetap kelihatan gembira. Mudah-mudahan mereka menerima pendedahan yang sangat berguna di Akademi VR46, bukan sekadar pengetahuan dan juga kemahiran, sebaliknya juga kekuatan mental. Kesemua mereka merupakan pelumba yang bagus dan cepat belajar walaupun banyak perkara yang terpaksa dipelajari dalam tempoh beberapa hari sahaja.”
No Comment